Keunikan Sains dalam Tradisi Islam Silam



Ketokohan sarjana sains Muslim sewaktu zaman kegemilangan Islam telah menarik minat para sarjana Muslim kontemporari membongkar rahsia sains yang diasaskan oleh mereka. Kesedaran untuk menerapkan Islam dalam sains ini diperdebatkan secara kritis oleh para cendekiawan Muslim kontemporari baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Hal ini kerana, sains yang berasaskan Islam ini mempunyai tasawur (pandangan alam atau worldview) dan sumber pengetahuan yang berbeza dengan sains yang acuannya dari Barat.


Terdapat tiga asas penting untuk mengembalikan semula sains berasaskan Islam ini. Pertama, peranan masyarakat dalam mencorak peradaban; kedua, pembentukan tasawur yang khusus dan ciri-ciri yang unik; dan ketiga, mengelak ancaman sains Barat terhadap kesejahteraan manusia. Ketiga-tiga asas ini merupakan pandangan yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Ziauddin Sardar dalam bukunya Explorations in Islamic Science.


Secara khususnya, pengenalan kepada konsep ketuhanan sememangnya dijumpai dalam kebanyakan karya ilmiah para ilmuwan Islam kurun ke-10 dan ke-11 Masihi seperti karya gerakan Ikhwan al-Safa, al-Biruni, Ibn Sina dan Ibn al-Haytham. Sungguhpun mereka mengolahnya dengan cara yang tersendiri, namun ilmuwan-ilmuwan Islam ini bersependapat bahawa kuasa yang menghubungkan ilmu-ilmu sains tersebut ialah Allah SWT.

Ibn al-Haytham misalnya, menjalankan kajian saintifiknya berasaskan kerangka tauhid. Sungguhpun orientalis Barat mengatakan Ibn al-Haytham seorang saintis Muslim yang sekular pemikirannya, namun hujah itu dapat ditolak kerana Ibn al-Haytham turut menguasai bidang teologi terlebih dahulu walaupun selepas itu penyelidikannya mengkhusus kepada bidang optik. Malah, beliau pernah menegaskan dalam sebuah karyanya: “… Kita tidak boleh melepaskan diri daripada sebarang kelemahan sebagai suatu fitrah, namun kita perlu berusaha dengan kudrat yang dikurniakan. Daripada Allah SWT kita memohon pertolongan dalam setiap pekerjaan.

Selain itu, tradisi Islam juga memperakui kedudukan sumber ilmu melalui ilham (atau intuisi) daripada Allah SWT sebagai sebahagian daripada kaedah menyelidiki sains. Hal ini kerana, proses berfikir dalam Islam adalah berdasarkan akal dan juga hati (al-qalb). Justeru, perbezaan antara sains Barat dengan sains Islam adalah dari sudut sumber pengetahuannya yang turut mementingkan aspek ilham. Antara cara memperoleh ilham ini adalah dengan sentiasa melakukan aktiviti penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs).

Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi diri manusia dan (Tuhan) yang menyempurnakan kejadiannya serta mengilhamkannya (mengenal) jalan yang membawa kepada kejahatan dan yang membawa kepada ketakwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih, dan sesungguhnya rugilah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya.” (Surah al-Syams ayat 7-10).

Di samping itu, keunikan tradisi ilmuwan-ilmuwan Islam silam juga terletak pada matlamat akhir penyelidikan mereka iaitu untuk menyingkap rahsia kebesaran Tuhan dan mencapai keredhaan-Nya. Dalam perkataan lain, ia berperanan untuk membangunkan aspek rohani mereka. Perkara ini memberi kesan juga kepada pemahaman para ilmuwan silam terhadap alam semula jadi yang berbeza daripada pemahaman masa kini. Alam semula jadi sebagai suatu ‘ayat’ Allah SWT yang terbuka untuk dikaji, bukan untuk diekploitasi semata-mata manfaatnya. Hal ini kerana, pemahaman kini telah didominasi dengan pengaruh pemikiran sekular tamadun Barat moden.

Jelasnya, penerokaan sains berasaskan Islam oleh ilmuwan-ilmuwan Muslim silam didasari oleh falsafah yang sama sekali berbeza dengan falsafah Barat. Oleh itu, sains berasaskan Islam ini perlu dikaji dan diteliti dengan sebaik-baiknya supaya dapat diterapkan pada semua peringkat pengajian. Para pelajar Muslim juga seharusnya didedahkan dengan pandangan sains yang menekankan unsur tauhid kepada Allah SWT agar pengajian ilmu sains itu akan mendekatkan diri para pelajar dengan Allah SWT.

0 Comments to "Keunikan Sains dalam Tradisi Islam Silam"

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft