Sifat Tawaduk Punca Ilmu Berkat [5 Mei 2014]




Sifat Tawaduk Punca Berkatnya Ilmu

Setiap insan memerlukan ilmu pengetahuan sebagai tunjang utama dalam menjalani kehidupan di dunia mahupun di akhirat kelak. Ilmu pengetahuan lazimnya diterima melalui suatu proses pendidikan yang berterusan. Dalam Islam, ibu bapa bertanggungjawab mengajarkan anak-anak mereka ilmu asas untuk mengenal Allah SWT dan mentauhidkan-Nya. Justeru, saranan tersebut bertepatanlah dengan konsep didikan yang pertama datangnya daripada ibu bapa.

Bait-bait azan dilafazkan oleh seorang bapa kepada bayi yang baru lahir ke dunia ini merupakan satu ilmu pengenalan untuk mentauhidkan Allah SWT. Oleh yang demikian, dari perspektif Islam, ilmu pengetahuan yang diperolehi oleh seseorang Muslim sepatutnya menjadikan individu Muslim itu lebih dekat kepada Penciptanya. Sikap ini mampu dipupuk dengan menanamkan sifat tawaduk dalam diri.

Menurut Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah, tawaduk bererti menunaikan segala yang hak dengan bersungguh-sungguh dan memperhambakan diri kepada Allah SWT dengan taat serta tidak memandang tinggi pada diri sendiri. Walau bagaimanapun, realiti hari ini menyaksikan betapa ramai manusia yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, akan tetapi tidak pula memiliki sifat tawaduk yang sedemikian rupa.

Pangkat dan kedudukan sering menjadikan manusia itu alpa dengan ilmu yang dimilikinya. Padahal, ilmu yang dimiliki merupakan sebahagian kecil pemberian Allah SWT daripada keluasan ilmu-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah: Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.” (Surah al-Kahfi ayat 109).

Sifat tawaduk atau kerendahan hati ini merupakan salah satu ciri insan yang dikasihi oleh Allah SWT. Hal ini kerana, orang-orang yang tawaduk dengan ilmu pengetahuan akan menjadikan diri mereka semakin insaf dan bertakwa kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “… sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu…” (Surah Fathir ayat 28).

Malah, orang-orang yang mempunyai ilmu pengetahuan adalah orang yang diangkat darjatnya di sisi Allah SWT. Dalam al-Qur’an, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “… Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat…” (Surah al-Mujadalah ayat 11). Hal ini sepertimana sabda Rasulullah SAW dalam sepotong Hadith yang bermaksud: “dan tidaklah juga seseorang memiliki sifat tawaduk kerana Allah SWT melainkan Allah SWT akan meninggikannya.” (Riwayat Muslim).

Jelaslah bahawa hubungan dua hala antara orang yang berilmu dengan Penciptanya sangat penting untuk memelihara keberkatan sesuatu ilmu itu. Bukan sekadar itu sahaja, ilmu yang diberkati ini pula mampu memberi kesan kebaikan yang berpanjangan kepada orang lain. Misalnya, ilmu fiqah yang ditulis oleh Imam al-Syafie dalam kitab-kitabnya sehingga hari ini masih segar dijadikan rujukan dan dikaji oleh para penuntut ilmu dan pengkaji.

Selain itu, sikap tawaduk yang dimiliki oleh para sarjana dalam bidang-bidang lain juga memberi implikasi besar kepada masyarakat. Contohnya Ibn al-Haytham, seorang saintis Muslim silam juga menyaksikan ilmu optik yang diselidikinya masih berguna sehingga masa kini. Hal ini kerana beliau pernah menegaskan dalam karyanya: “Walaupun semua yang saya tahu tentang ilmu ini ada dalam buku saya, namun ilmu saya terbatas dan mungkin terdapat kesilapan dalam kajian saya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui (wallahua‘lam).

Penegasan bahawa Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui menunjukkan kebergantungan seseorang ilmuwan itu kepada kemutlakan ilmu-Nya. Pengharapan seperti inilah merupakan intipati sebenar kepada sikap tawaduk terhadap ilmu pengetahuan. Penghargaan dan kesyukuran yang ditujukan kepada Allah SWT menjadikan ilmu yang disampaikan melalui penulisan dan wacana-wacana ilmiah bermanfaat kepada orang lain. Hasilnya, keberkatan ilmu tersebut sekali gus menjadi pahala amalan yang berterusan walaupun sesudah seseorang ilmuwan itu meninggal dunia.

0 Comments to "Sifat Tawaduk Punca Ilmu Berkat [5 Mei 2014]"

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft