Saintisme dan Hakikat Penciptaan Alam Semesta dari Perspektif Islam


Tugasan Blog SIW505
Saintisme dan Hakikat Penciptaan Alam Semesta dari Perspektif Islam
Mohd Syahmir bin Alias
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik: P-SM0120/12



Pada 7 Ogos 2011, Discovery Channel telah menyiarkan sebuah dokumentari bertajuk ‘Curiosity’ dalam episod pertamanya mengupas mengenai persoalan ketuhanan dan alam semesta ‘Did God Created the Universe?’ dari sisi pandang Profesor Stephen Hawking (J. Smithson, 2011). Hal ini menarik minat penulis untuk menganalisis dokumentari tersebut kerana ia sangat berkait rapat dengan akidah dan falsafah hidup Muslim yang perlu dibezakan dengan ideologi dan falsafah masyarakat Barat. Masyarakat Barat yang dimaksudkan di sini adalah masyarakat yang berpegang selain daripada akidah Islam dan termasuklah golongan mulhid yang begitu pesat membangunkan ilmu pengetahuan pada masa ini. Selain itu, pandangan Profesor Stephen Hawking ini sangat merasionalkan pemikiran penonton dengan fakta sains yang empirikal dan rasional. Justeru, akidah yang mapan sahaja yang mampu menjadi penapis bagi kenyataan-kenyataan saintifik dan rasional yang dikemukakannya.

Sebelum mengupas lanjut mengenai beberapa doktrin yang ditekan dalam dokumentari tersebut, adalah lebih baik untuk menganalisis falsafah yang menjadi asas pemikiran Stephen Hawking melalui dokumentari itu. Pemikiran beliau berdasarkan aliran falsafah saintisme (scientism). Saintisme bermaksud kekaguman yang berlebihan pada kemajuan sains dengan kaedah-kaedahnya yang saintifik (Ahmad Saifuddin Amran, 2009). Secara umumnya, ia mempunyai dua ciri. Pertamanya, keyakinan dan kepercayaan hanyasanya melalui kaedah saintifik sahajalah yang paling absah untuk mendapatkan data yang bernilai seterusnya diterjemahkannya sebagai fakta. Keduanya, kaedah-kaedah selain kaedah empirikal dan eksperimental ini tidak akan diiktiraf kesahihannya (Abdul Rahman Abdullah, 2010:180). Justeru, pengetahuan sains dan kaedah saintifik menjadi ‘dewa’ yang mampu menyelesaikan setiap inci permasalahan manusia.

Dari sudut epistemologi pula, falsafah saintisme yang menjadi pegangan Stephen Hawking ini datang daripada jalur empirisisme dan positivisme yang dipelopori oleh tokoh Revolusi Sains, Auguste Comte. Hal ini kerana, aliran ini berpandangan bahawa ilmu pengetahuan hanya boleh diperoleh daripada pengamatan pancaindera dan akal positif semata-mata tanpa mengiktiraf teori sumber ilmu selainnya. Tambahan pula, walaupun falsafah saintisme ini menafikan bahawa ia tidak berpegang kepada mana-mana ideologi, namun di sini telah jelas pemisahan nilai agama dan moral daripada epistemologi dan pandangan sarwanya. Pemisahan ini dikenali sebagai ideologi sekularisme (Baharuddin Ahmad, 2010). Maka, ini yang menjadi asas kepada pemikiran Profesor Stephen Hawking dalam mengendalikan dokumentari ilmiah ini.

Jelas sekali berdasarkan tasawur Islam, falsafah saintisme tidak memberi peluang bagi aktiviti spiritual seperti keyakinan kepada alam transendental dan perkara metafizik sepertimana yang ada dalam Islam. Semua bentuk kegiatan berkenaan dengan agama dan kerohanian dipandang tidak rasional, manakala kepercayaan yang lahir daripadanya dikatakan tahyul dan merintangi kemajuan. Hal ini tidak mampu menyelesaikan masalah dalaman manusia seperti penyakit kejiwaan manusia kerana ia tidak dapat diukur dengan alat empirikal dan eksperimen seterusnya tidak mampu menyelesaikan setiap inci masalah manusia (Abdul Hadi W.M., 2007). Sifat neutral falsafah saintisme yang diuar-uarkan ini sekali gus terbatal kerana ketidakpercayaannya dengan kaedah selain kaedah saintifik dan pemisahan unsur ketuhanan dalam segenap aspek hidup insan yang membawa kepada ideologi sekularisme. Tasawur Islam meyakini wujudnya Allah sebagai Tuhan yang mengatur setiap yang berlaku dalam alam ini, menolaknya adalah kufur.

Seterusnya, dari sudut epistemologi, ia amat berbeza dengan epistemologi Islam. Agama ini mengiktiraf al-Qur’an sebagai sumber ilmu pengetahuan utama. Al-Qur’an yang merupakan kalam Allah s.w.t yang mengaruh atau menginkduksi umat manusia untuk mengkaji alam semesta ini agar lebih mengenali-Nya. Firman Allah:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.” (Ali Imran, 3: 190)

Berdasarkan ayat ini, al-Qur’an menjadi pedoman manusia untuk mencari kebenaran. Selain itu, epistemologi Islam juga mengiktiraf peranan al-Hadith dan intuisi sebagai teori dalam sumber ilmu pengetahuan. Mana mungkin saintisme mampu menjawab persoalan wahyu dan gerak hati sedangkan ia sangat berpaut kepada pengamatan inderawi dan rasional akal semata-mata.

Menyoroti hujah yang dikemukakan di awal dokumentari ini, berkenaan kepercayaan kaum Vikings, penganut polytheism yang berfahaman bahawa aktiviti-aktiviti alam dikawal oleh kewujudan tuhan-tuhan tertentu. Kaum ini menggeruni tuhan bernama Skoll kerana ia menyebabkan peristiwa ‘kematian’ Matahari. Daripada pernyataan masalah ini, hujah saintifik moden digunakan untuk mematahkan kewujudan Tuhan sekali gus peranannya. Menurut Stephen Hawking, ia adalah proses gerhana Matahari yang berlaku kerana tabii Bulan dan Matahari bebas bergerak dengan sendirinya untuk berada pada posisi yang selari, maka terjadilah gerhana Matahari yang dilihat dari Bumi. Ia adalah doktrin untuk mengagungkan falsafah naturalisme. Alam tabii berdiri dengan sendirinya, menuruti tabiatnya berdasarkan hukum semulajadi (law of nature), iaitu natijah perkara yang berlaku berpunca oleh sesuatu sebab atau ketersebaban (causality).

Seterusnya, untuk menafikan kewujudan Tuhan, Profesor Stephen Hawking mengeluarkan dalil ‘aqlī mengenai Teori Dentuman Besar atau Big Bang Theory. Berdasarkan teori ini, alam semesta terhasil daripada sebuah letupan dahsyat yang berlaku berjuta-juta tahun dahulu dan seterusnya menghasilkan segala jirim-jirim (tenaga), masa dan ruang di semesta raya ini. Malah, sebuah analogi rasional akal menyokong falsafah naturalisme yang dimuatkan dalam dokumentari ini adalah;

“kewujudan air sungai disebabkan hujan, hujan disebabkan oleh awan, awan terhasil daripada penyejatan air laut oleh sinaran Matahari, sinaran Matahari disebabkan oleh tenaga, tenaga dihasilkan di dalam teras Matahari kerana pelakuran dua atom hidrogen menjadi atom helium dan atom hidrogen terhasil daripada Dentuman Besar yang disebabkan oleh tiada apa-apa (nothing).”

Hujah terakhir beliau untuk menyanggah kekuasaan Tuhan atas segala sesuatu adalah mengenai masa. Bintang supergiant yang mati disebabkan oleh ledakan supernova akan ‘terkuburnya’ sebuah lohong hitam (black hole). Ia adalah objek angkasa yang gelap, yakni tiada cahaya yang masuk ke dalamnya dapat menembus keluar daripadanya. Sekiranya sebuah jam dilempar ke dalam lohong hitam tersebut, maka detikan saat akan terhenti di dalamnya. Daripada premis tersebut, hal ini diibaratkan dengan Teori Dentuman Besar untuk mencapai suatu konklusi. Sebelum terbentuknya alam semesta, segala isinya termampat dalam suatu lohong hitam yang tidak terhingga (infinity) padatnya. Begitu juga masa, ia tidak sama sekali wujud dan terhenti. Oleh yang demikian, timbul persoalan, bagaimanakah mungkin Tuhan mampu wujud tanpa kewujudan masa, ruang dan tenaga (J. Smithson, 2011)?

Dalam menganalisis aspek akidah dan sains ini dari sudut pandang tasawur Islam, pasti sekali ia berbeza. Dualisme untuk meminggirkan peranan metafizik dan alam transedental (kerohanian) daripada perkara-perkara empirikal dan positif (kejasmanian) dalam weltanschauung Barat sangat berhasil di dunia mereka. Umat Islam yang beriman mempercayai kewujudan Tuhan, malah di dalam kitab suci al-Qur’an banyak menekankan mengenai penciptaan alam semesta dan penciptanya. Manusia diminta untuk merenung dan mengkaji agar dapat mengenal Allah s.w.t yang sifat-Nya jauh sekali berbeza daripada manusia. Segala penyelidikan mengenai sains dan alam semesta yang dilakukan oleh pengkaji Barat kebanyakannya didasari oleh falsafah-falsafah yang mahu menolak Tuhan malah bagi mereka urusan agama hanyalah terbatas kepada aspek ‘ibāda khuūī semata-mata.

Dunia Barat suatu ketika dahulu dikuasai oleh peranan paderi Kristian yang banyak mengekang kegiatan eksplorasi terhadap alam semesta dilakukan. Sebaliknya, al-Qur’an dan al-Hadith sama sekali tidak mengekang sebarang pencarian terhadap kebenaran. Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian.” (Riwayat Bukhari dan Muslim, No. Hadis 4358)

Hadith yang dikategorikan dalam bab akidah ini menekankan bahawa Islam tidak menutup ruang untuk manusia membuktikan kebenaran al-Qur’an dan kewujudan Allah (JAKIM, 2008). Itulah yang dilakukan oleh ilmuwan-ilmuwan Islam silam seperti Ibn Sina, Al-Khawarizmi, Al-Ghazali dan lain-lain dalam mendapatkan ilmu demi mendekatkan diri kepada Allah di samping memudahkan umat Islam melaksanakan syariat-syariat Allah. Ilmuwan Islam silam berhujah dengan tidak menjauhkan diri daripada paksi tauhid bukan sepertimana yang berlaku kepada pendokong naturalisme yang menyatakan tabii alam berlaku secara mutlak (Mohd Yusof Othman, 2009:105).

Adapun, Islam tidak menolak penaakulan logik akal atau mantik dijadikan hujah. Pendokong ateis tidak sama sekali akan mengakui kewujudan Tuhan walaupun mengguna pakai dalil naqlī. Justeru, epistemologi Islam tidak menolak penaakulan mantik sebagai salah satu cabang ilmu pengetahuan untuk berhujah dengan golongan mulhid seperti beliau. Misalnya, Imam Abu Hanifah sangat terkenal dalam bidang penaakulan mantik, berhujah menggunakan logik akal dalam mempertahankan keesaan dan kewujudan Allah s.w.t. Tambahan, Profesor Stephen Hawking mempersoalkan bagaimana Tuhan wujud tanpa masa, ruang dan tenaga adalah soalan yang hampir sama dikemukakan oleh penganut mazhab Dahri suatu ketika dahulu. Imam Abu Hanifah menggunakan pendekatan numerikal dan aritmetik dalam menjawab persoalan bilakah Allah wujud (Shahir Akram Hassan, 2012).

Saintis Barat pada masa ini terlalu bergantung kepada logik akal semata-mata. Seperti yang dikemukakan oleh Stephen Hawking, persoalan causality air sungai berakhir dengan disebabkan oleh tiada apa-apa (nothing) yang mengakibatkan Dentuman Besar berlaku, ia tidak mencapai logik dalam minda manusia. Demikian, perlunya hujah-hujah yang datang daripada dalil-dalil naqlī untuk mencapai haqq al-yaqīn. Epistemologi Islam memartabatkan wahyu sebagai sumber ilmu pengetahuan yang utama (Syed Muhammad Dawilah, 1993:ix). Kenyataan Stephen Hawking bahawa tiada apa-apa yang melahirkan alam semesta ini dapat diragukan dengan sepotong ayat al-Qur’an:

“Dan Dialah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).” (Al-Anbiya’, 21: 33)

Al-Qur’an yang diturunkan Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w terlebih dahulu menjawab persoalan ini 1,400 tahun yang lalu. Kelemahan saintis Barat dalam menyamakan ketuhanan (divinity) dengan jirim dan organisma lain yang wujud di Bumi adalah suatu pemikiran cetek.

“… tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Al-Syura, 42: 11)

Islam sebagai agama yang lengkap telah hadir membawa cahaya kepada seluruh pelusuk alam. Syumulnya ajaran Islam ini tidak menghalang sains dan teknologi dikembangkan namun ia harus mematuhi batas syariat yang ditetapkan oleh Allah. Hal ini kerana, tauhid yang menjadi paksi dan pendinding yang membezakan akidah Islam dengan ideologi dan falsafah selain Islam. Selain itu, Islam juga tidak melarang umatnya menuntut ilmu pengetahuan daripada sesiapapun baik daripada sarjana Muslim mahupun bukan Muslim. Firman Allah s.w.t:

“… oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Al-Nahl, 16: 43)

Jelas sekali, Islam menggalakkan kita mempelajari perkara yang memberi kebaikan kepada masyarakat umumnya selagi acuan yang dipakai adalah berlandaskan agama (Aqil Fitri, 2009). Daripada dokumentari ini, serangan pemikiran yang cuba dilakukan sangat ketara. Umat Islam seharusnya mempersiapkan diri dengan kemantapan akidah untuk menghalang diri daripada terjerumus ke lembah kesesatan.

Begitu juga dengan alternatif dalam bidang falsafah sains Islam perlu mengikut acuan tauhid. Kini, terdapat para intelektual Muslim dan pengkaji al-Qur’an giat berusaha untuk memadankan ayat-ayat al-Qur’an dengan penemuan-penemuan saintifik kontemporari. Usaha yang bertunjangkan akomodasionisme ini dilihat mahu meyakinkan umat Islam tentang kebenaran al-Qur’an. Namun, umat Islam harus jelas, teori-teori seperti Teori Dentuman Besar seperti yang disebut dalam dokumentari berdurasi 45 minit ini adalah di peringkat ‘ayn al-yaqīn. Malah, epistemologi pencipta teori tersebut adalah menyimpang daripada epistemologi Islam. Mereka tidak sedikitpun merujuk apatah lagi memandang al-Qur’an sebagai sumber ilmu pengetahuan yang datang daripada Allah, pencipta sekalian alam (Shaharir Mohamad Zain, 2010). Oleh yang demikian, hal ini mempengaruhi tasawur atau worldview mereka terhadap penciptaan alam semesta bukan diciptakan oleh Tuhan. Justeru, usaha-usaha untuk meng-haqq al-yaqīn-kan teori tersebut dilihat sesuatu yang kurang murni dan perlu disemak kembali oleh sarjana Muslim.


Rujukan
Abdul Hadi W.M. (2007). Krisis Manusia Moden: Tinjauan Falsafah Terhadap Saintisme dan Relativisme Kultural. KATHA - The Official Journal of the Centre for Civilisational Dialogue, 3, 1-17.
Abdul Rahman Abdullah. (2010). Wacana Falsafah Sains: Sejarah dan Pemikiran. Pulau Pinang: Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam Universiti Sains Malaysia.
Ahmad Saifuddin Amran (2009). Cerpen: Sains Islam atau Saintisme? diakses pada 1 Oktober 2012 daripada http://komuniti.iluvislam.com/topic/11210-cerpen-sains-islam-atau-saintisme/.
Aqil Fitri. (2009). Bangunkan Sains Dalam Acuan Islam: Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj. Othman diakses pada 1 November 2012 daripada http://www.majalahsains.com/2009/08/bangunkan-sains-dalam-acuan-islam-prof-dato-dr-mohd-yusof-hj-othman/.
Baharuddin Ahmad. (2010). Sains dan Kerohanian diakses pada 1 November 2012 daripada http://www.majalahsains.com/2010/07/sains-dan-keruhanian/.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. (2008). Islam Bersifat Terbuka diakses pada 16 November 2012 daripada http://www.islam.gov.my/e-hadith/islam-bersifat-terbuka.

Mohd Yusof Othman. (2009). Sains, Masyarakat dan Agama. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Shaharir Mohamad Zain. (2010). Laris, Terhiris dan Tergores: Ulasan Buku Quran Saintifik Karya Dr. Danial Zainal Abidin diakses pada 27 Oktober 2012 daripada http://www.kesturi.net/archives/category/buku/page/2
Shahir Akram Hassan. (2012). Penaakulan Mantik Imam Abu Hanifah. Kertas Kerja The 7th ISDEV International Graduate Workshop. Universiti Sains Malaysia. 30-31 Oktober.
Sheikh Abdullah Basmeih. (2001). Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran. Kuala Lumpur: Darul Fikri.
Smithson, J. (Producer). (2011). Curiosity: Did God Created the Universe?. New York: Discovery Channel.
Syed Muhamad Dawilah Al-Edrus. (1993). Epistemologi Islam: Teori Ilmu dalam al-Qur’an. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

1 Comment to "Saintisme dan Hakikat Penciptaan Alam Semesta dari Perspektif Islam"

  1. terima kasih atas perkongsian, sangat membantu dari segi ilmu dan gaya penulisan. Semoga dimurahkan rezeki.

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft