Sains Islam atau Saintisme?


Oleh: Ahmad Saifuddin Amran



Petang itu hujan turun dengan sangat lebat. Namun itu tidak menghalang dia untuk menghadirkan diri ke Pejabat Dekan Fakulti Sains, Universiti Malaya bagi menyelesaikan urusan kemasukannya ke universiti itu. Hujan masih turun dengan mencurah-curah dan belum menunjukkan tanda-tanda hendak berhenti. Sementara menanti hujan reda, dia mengambil keputusan untuk melabuhkan punggung di atas pangkin yang tersedia di Dataran Sains di fakulti tersebut. Seperti biasa, masa yang terluang itu dia manfaatkan untuk membaca. Kali ini dia memilih buku ‘New World Order (NWO) or New Western Order?: Need for the Re-Organization of Islamic Ummah with its Socio-Political Base’ untuk dibaca.

“Buku lain sudah habis dibaca belum?” saya tersenyum sinis.

“Senyaplah!”

Dia mahu menjadi ahli falsafah. Justeru dia perlu banyak membaca dan memanfaatkan setiap detik dalam hidupnya untuk membaca. ‘A man who dares to waste one hour of time has not discovered the value of life,’ begitulah kata dia ketika saya menyoal tentang ‘kerakusannya’ itu. Dia menaqalkan kata-kata idolanya, Charles Robert Darwin.

“Comelnya ustazah tu,” tiba-tiba dia bersuara perlahan.

Bebola matanya tertancap pada kelibat seorang muslimah bertudung labuh yang duduk di pangkin yang bertentangan. Konsentrasi bacaannya terganggu. Ya, sememangnya comel. Tidak hairanlah ‘filsuf’ sepertinya juga terjelepuk kalah pada penangan kecomelan wanita itu. Tiba-tiba muncul akal jahat di benak saya hendak mengenakan dia.

“Eh, ‘filsuf’ pun ada perasaankah?” terkekeh-kekeh saya menahan ketawa.

“Hei, aku pun manusia juga! Bujang lagi teruna pula,”. Umpan sudah mengena.

“Takkan kau sudah terlupa kata-kata idola kau itu, ‘a scientific man ought to have no wishes, no affections, - a mere heart of stone’. Kata nak jadi ahli falsafah, tapi dengan perempuan pun boleh kalah. Apa cerita?”

“Ah, senyaplah!”

Kali ini kemenangan berpihak pada saya. Tersenyum lebar hingga ke telinga saya dapat mengenakan dia. Dia dengan muka merah padam, menyambung bacaan, sambil matanya menjeling-jeling nakal pada ustazah tadi. Tidak tasauf betul filsuf seorang ini.

“Sudahlah tu. Tak khusyuk pun kalau kau terus membaca. Aku sudah kenal lama dengan perangai kau. Jom sembang-sembang intelektual dengan aku.”

Mendengarkan saja cadangan saya, dia lalu menutup buku selepas mencatatkan bilangan halaman yang telah dibaca di dalam memorinya. Pesanan gurunya, Ustaz Zulkifli Ismail, supaya menghormati buku dengan tidak membuat sebarang lipatan meski untuk tujuan penanda, sentiasa diamalkan. Justeru, sekiranya tidak mendapati sebarang objek untuk dibuat penanda, dia sekadar mengingat nombor halaman sahaja.

“Nak sembang fasal apa?”

Ternyata terlalu mudah untuk memancing dia. Sebut saja intelektual atau falsafah atau buku, bebola matanya akan gemilang dengan cahaya. Langsung dia terlupa akan muslimah yang comel tadi.

“Lama sudah kau tidak menulis artikel baru di MASHAREF tentang sains dan Islam. Mengapa? Kehabisan idea? Ramai yang sudah bertanya,”.

“Kau mahu jawapan jujur atau sofasta’iyyun?” dia tersengih.

Saya turut tersengih. Sofasta’iyyun atau sophist adalah segolongan filsuf Greek Kuno yang pandai serta mahir dalam seni retorik atau sebetulnya pandai dalam memutarbelitkan fakta dan dalil. Melihatkan saya tidak memberi sebarang jawapan, dia menyambung, “Sejujurnya aku malas”. Sudah saya menjangkakan jawapan ini akan terbit dari bibirnya. Saya mendiamkan diri, memberi isyarat supaya dia menghabiskan tutur bicaranya.

“Tapi sebenarnya, banyak perkara yang menyumbang kepada kemalasan itu. Dan perkara yang paling mengesankan ialah, betapa aku mengalami perubahan weltanschauung yang drastik sejak tertubuhnya MASHAREF.”

Weltanschauung?”

“Oh, weltanschauung itu istilah Jerman yang bererti world view atau pandangan sarwa. Secara makna mudah, weltanschauung itu adalah kaca mata atau sudut pandang kita dalam menilai sesuatu.”

“Sungguh engkau ini memang benar-benar filsuf. Cakap kau sukar difahami. Apa pula kaitan weltanschauung dengan kemalasan kau itu?”

“Sabarlah dulu. Aku belum sempat habis mengulas, kau sudah menyampuk. Begini, pada mulanya pemahaman aku tentang falsafah sains Islam adalah seperti kebanyakan orang lain. Tentu saja kau mengenali Dr. Maurice Bucaille, Harun Yahya atau Dr. Danial?”

Saya mengangguk. “Jadi falsafah sains Islam yang kau maksudkan ini ialah penyesuaian ayat-ayat Al-Quran dengan penemuan sains?”

“Tepat sekali. Sememangnya aliran ini kelihatan menarik dan menampakkan seolah-olah sains memihak kepada Islam, justeru secara logika mudahnya Islam itu benar. Namun, tanpa disedari fahaman ini terselit unsur saintisme dan akomodasionisme [1]”

“Hei, engkau ni! Macamlah aku faham maksud saintisme dan akomodasionisme tu.”

“Oh, maaf. Saintisme di sini bermaksud kekaguman yang berlebihan pada kemajuan sains dengan kaedah-kaedahnya yang saintifik manakala akomodasionisme pula bermaksud usaha menyesuai atau menyelaraskan ajaran-ajaran agama yang bersifat tetap dengan prinsip sains moden yang berubah-ubah. Lantaran dua unsur ini, ia disebut saintisme Islam [2]. Tidaklah aku memaksudkan untuk menafikan usaha Dr. Maurice Bucaille, namun aliran ini dibimbangi akan membawa kepada bahaya saintisme, seperti yang ditegaskan oleh Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain; “Though many other advocates of Islamic science (who belong to different school of thought) do not agree with Bucaillism, we believe that a Muslim scientist should, to a certain extent, practive Bucaillism, albeit with care and with critical approach. The Muslim ummah is ever worry of the tendency that Bucaillism could lead to scientism [3]”

Bicara dia terhenti tatkala kilat menyambar bumi, memberi laluan kepada petir untuk berdentum beberapa detik selepas itu. Kelihatan ustazah di hadapan tertunduk sambil menekup telinga. Comel.

“Jadi, adakah saintisme Islam itu silap? Bagaimana sains Islam yang sebenarnya?” ujar saya melihat dia tidak menyambung bicara. Mungkin kaget dengan bunyi dentuman guruh yang tidak semena-mena tadi.

“Eh, apa yang kau tanya tadi? Aku kurang jelas,”.

“Aku tanya, silapkah saintisme Islam itu? Dan bagaimana pula faham yang sebetulnya berhubung sains Islam?”

“Oh, okay begini. Saintisme Islam ini tidak silap, namun kita khuatiri golongan yang memegang fahaman ini akan terperangkap dengan kekaguman terhadap sains sehingga terjebak menafsirkan ayat-ayat Quran dengan penemuan-penemuan sains dengan tanpa batasan. Lebih dikhuatiri lagi, golongan ini akan menurut jejak langkah golongan Muktazilah yang memutarbelitkan ayat-ayat Al-Quran yang bertentangan dengan pendirian-pendirian falsafah mereka sehingga kelihatan seolah-olah dalil yang mengabsahkan pula fahaman mereka. [4]”

Dia membetul-betulkan kedudukannya pada pangkin.

“Perlu kita ketahui bahawa sains moden berlatar-belakangkan epistemologi yang berbeza dengan tradisi sains Islam yang pernah umat Islam kecapi suatu ketika dahulu. Sains moden zaman ini adalah produk kepada pemberontakan dan penolakan terhadap wahyu dan prinsip-prinsip agama. Justeru, secara epistemologi, mana mungkin sains moden akan serasi dengan wahyu. [5]”

Hujan semakin renyai. Beberapa orang siswi kelihatan berlari-lari anak menyeberangi jalan berhadapan dengan Fakulti Sains. Ustazah tadi masih setia duduk di pangkin. Entah apa yang dinantinya, tidaklah saya tahu.

“Aku tidak bermaksud bahawa sains moden itu tidak Islamik,” dia seolah-olah dapat membaca persoalan yang sedang bermain di benak saya.

“Sains sama ada versi Barat atau Islam itu tiada bezanya, akan tetapi yang membezakan adalah tauhid. Barat mencuplik dan menceduk ilmu-ilmu sains dari tamadun Islam suatu ketika dahulu dengan mencabut unsur ketauhidan yang menunjangi ilmu-ilmu tersebut. Mereka mengambil yang sains sahaja tapi yang agama diketepikan. Dengan sebab itu, sains moden hari ini kita sebut sebagai bebas nilai, tidak berpaksikan moral mahupun agama. Falsafah sains Islam yang sebenar itu adalah sains yang ditunjangi dengan nilai-nilai tauhid, iaitu sains yang mengembalikan peranan Allah dalam mengendalikan sunnah-Nya. Konsep tauhid tiada dalam falsafah sains Barat. Sebagai Muslim berjiwa saintifik, konsep inilah yang perlu kita kembalikan. Dan untuk pengetahuan kau, Inilah dia weltanschauung yang menyumbang kepada ‘kemalasan’ aku menghasilkan artikel berkenaan sains dan Islam.”

“Aduh, makin berselirat pula serebrum aku mendengar penjelasan kau! Aku rasa perbualan kita ini perlu disambung ke siri kedualah. Mana mungkin diskusi seberat ini disumbatkan ke dalam satu artikel saja.”

“Ikut kaulah. Bukan aku yang menaip.”

Hujan telah berhenti. Mentari mula menampakkan cahaya cerianya. Jalan di hadapan fakulti mulai sibuk dengan kenderaan yang lalu-lalang tanda waktu pejabat telah tamat. “Eh, ustazah tu pandang kaulah.”

Pantas dia membalas renungan muslimah tersebut. Mata bertentang mata. Muslimah tadi tersedar yang dirinya telah ‘kantoi’ kerana cuba mencuri-curi pandang, lantas tersipu-sipu tunduk, berpura-pura memicit-micit butang telefon bimbit. Pipinya merona kemerahan.

“Aduh, terasa mahu gugur pula jantung ini. Tachycardia aku dibuatnya. I have seen roses damask’d, red and white, But no such roses see I in her cheeks; And in some perfumes is there more delight Than in the breath that from my mistress reeks. [6]”

“Ceh, baru ustazah tu pandang sikit dah jadi tak betul. Ahli falsafah konon! Jangan haraplah ada ustazah yang nakkan Darwinis macam kau ni,” sekali lagi saya terkekeh menahan ketawa. Hendak gelak besar, ada ustazah pula di hadapan. Dia menjeling. Menahan geram tentunya. Hari ini saya menang 2-0.

Sumber:

0 Comments to "Sains Islam atau Saintisme?"

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft