Dua Khutbah yang Mengisi Jiwa dan Membuka Minda


Segala puji bagi Allah, dengan izin-Nya, saya masih bernafas sehingga ke Hari Raya Eid Al-Adha yang jatuh pada hari Jumaat (26 Oktober 2012). Pastinya, perkara yang paling menarik pada hari ini adalah kaum Muslimin akan mendengar khutbah sebanyak dua kali. Khutbah pertama selepas selesai mengerjakan Solat Sunat Eid Al-Adha, solat sunat muakkad dan sebelum menunaikan Solat Jumaat, solat fardhu yang dikhususkan bagi kaum Muslimin di seluruh pelusuk dunia. Sebenarnya, mendengar khutbah merupakan peringatan kepada umat Islam bagi menyegarkan semula jiwa dan sanubari manusia agar kembali bertaqwa kepada Allah. Antara ayat Al-Quran yang selalu diperdengarkan ketika di dalam khutbah adalah, mafhum firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Surah Ali Imran, 3: 102)
            Ayat ini memerintahkan orang-orang yang mengimani Allah s.w.t untuk bertaqwa atau dengan erti kata lain rasa takut kepada Allah. Betapa ayat ini sarat dengan pesanan untuk memelihara aqidah ummah sejagat dalam menghadapi hidup sehingga menemui ajal dalam keadaan beriman kepada Allah. Teringat akan pesanan-pesanan dalam kedua-dua khutbah yang banyak menyentuh isu semasa dan peringatan memelihara aqidah Islamiyyah. Alhamdulillah, kedua-dua khatib juga terdiri daripada golongan pemuda dan ruh penyampaian khutbah juga sedikit sebanyak berbeza. Antara perkara yang disentuh:

Mengenai pensyariatan hudud yang menjadi polemik politik pada saat ini. Jelas pada masa ini, rakyat Malaysia sering dimomokkan mengenai kejumudan undang-undang hudud dan betapa ia tidak ‘waqi’iyyah’ untuk dijalankan di Malaysia. Saya menulis pastinya tidak mahu memihak kepada mana-mana badan politik tetapi hukum hudud adalah pensyariatannya datang daripada Allah dan termaktub dalam ayat Al-Quran. Sebagai umat Islam kita seharusnya mempertahankannya dan tidak membiarkan mereka yang tidak memahami terus menerus menyalahkan hukum Allah ini. Justeru, perlunya usaha pemahaman terhadap hukum hudud ini giat dilakukan bukan sekadar mencanang dalam manifesto mana-mana badan politik. Kefahaman adalah asas utama manusia untuk mencintai sesuatu perkara. Tetapi agak malang kerana kefahaman mengenai hudud ini jarang menerjah ke peti televisyen yang pastinya dipunyai paling tidak sebuah di setiap rumah di Malaysia. Saya sendiri jarang menonton usaha pendakwah-pendakwah memberi kefahaman hudud di stesen-stesen TV percuma di Malaysia. Mungkin kerana sentimen politik yang dimainkan, namun inilah yang memberi parah kepada masyarakat sedangkan masyarakat sangat memerlukan usaha pemahaman di media popular seperti TV. Perkara yang sering ditayangkan di TV kebanyakannya adalah rancangan-rancangan yang memberi kelalaian kepada masyarakat malah membuka pintu maksiat kepada umat!


Mengenai isu filem kontroversi yang menghina Nabi Muhammad s.a.w iaitu Innocence of Muslims. Filem ini jelas merupakan serangan saraf skeptis-skeptis Islam kepada umat Islam. Perlakuan mereka ini dikatakan hak kebebasan bersuara, namun harus diingat, mencaci, menghina individu dan menyakitkan hati orang lain bukanlah tergolong dalam kebebasan bersuara. Itu adalah bebas bercakap! Bersuara ertinya memberi buah pendapat dan melontarkan idea untuk memberi kemaslahatan manusia sejagat. Dalam khutbah tadi turut diperihalkan mengenai sejarah penghinaan terhadap batang tubuh Rasulullah s.a.w yang berlaku di negara Nigeria. Kerana insiden itu dan bangkitnya pemuda-pemudi Islam Nigeria, tidak lagi berlaku penghinaan seperti itu di negara tersebut. Di YouTube ada ditayangkan video respon kepada isu penghinaan Nabi Muhammad s.a.w. Pada pandangan peribadi, isu seperti ini walaupun ianya adalah saraf musuh Islam, namun sikap umat Islam yang terleka ini banyak menjejaskan nama baik Islam itu sendiri dan saya memandang positif usaha dakwah melalui video yang diterbitkan oleh Al-Fozan  Social Foundation dalam memberi kefahaman terhadap kebebasan bersuara dan tindakan ganas sekelompok kecil Muslim di negara Pakistan.


Mengenai perkara-perkara yang menggugat keamanan negara. Perkara yang saya dengar tidaklah seperti yang dilihat di kaca TV iaitu sekian perhimpunan yang membawa gugatan kepada keharmonian negara tetapi keruntuhan akhlak dan moral rakyat serta pemimpin yang sebenarnya menjadi punca keamanan negara tergugat. Manakan tidak, sekiranya rasuah menjadi alat mainan sebahagian rakyat dan sebahagian pemimpin, maka akan hancurlah ekonomi dan kesejahteraan sosial negara yang tercinta. Khatib turut menambah, pintu-pintu serangan pemikiran dan kemaksiatan yang dibuka melalui filem-filem dan karya-karya ‘seni’ kini semakin luas. Penapisan filem yang semakin longgar malahan banyak drama dan filem yang ‘menyemarakkan’ kejumudan fikiran rakyat dengan amalan-amalan sihir dan mistik semakan menjadi-jadi. Hiburan yang melalaikan menjadi juadah hidangan mata masyarakat sehinggakan hari keraian Islam seperti Eid Al-Fitri disajikan dengan hiburan berunsur hedonistik di kaca TV. Memberi kesalahan 100 peratus kepada stesen TV dan pihak berkuasa bukan satu penyelesaian sebaliknya didikan agama oleh ibu bapa yang merupakan kunci utama dan pertama anak-anak mengenal jati diri. Ibu bapa seharusnya memberi didkan awal kepada anak-anak untuk memelihara diri dengan menjaga akhlak dan maruah serta menutup aurat. Betapa pentingnya tarbiyah al-aulad dalam pembinaan bait al-muslim. Jelasnya, akhlak dan moral masyarakat kita hari ini yang semakin meruncing akan menyebabkan runtuhnya tamadun manusia walau di arus kemodenan sekaligus menggugat keamanan negara.

Mengenai kesyukuran yang seharusnya dipanjatkan kepada Allah s.w.t bukan kepada manusia. Al-Quran jelas memberi pedoman dalam firman Allah yang menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi juga bertujuan mengabdikan diri kepada-Nya. Keamanan dan ketenteraman yang dikecapi bukan hanya terletak pada realiti material tetapi terletak kepada utuhnya aqidah kita kepada Allah. Manusia menjadi alat kepada manusia lain dan ia sebagai manifestasi rahmat Allah. Keamanan dan kekayaan sesebuah negara yang dikecapi adalah milik Allah dan Allah s.w.t berhak menariknya apabila Muslim melupai Allah. Rezeki yang kita dapati adalah bukan kerana kurniaan manusia tetapi ia adalah kurniaan Allah melalui manusia. Justeru, seharusnya rakyat Malaysia terutama umat Islam mensyukuri nikmat dan memanjatkan setinggi-tinggi pujian atas rahmat Allah kepada kita dan bukannya bersyukur kepada kerajaan atau mana-mana manusia. Tegasnya, umat Islam perlu berterima kasih kepada manusia dan wajib bersyukur kepada Tuhan kerana tanpa sifat Ar-Rahman-Nya mungkin negara tidak mengecapi pembangunan material seperti sekarang. Namun yang memberi ketenangan jiwa yang sebenar adalah pembangunan rohani dan ia seharusnya holistik dengan pembangunan fizikal. Titik tolaknya, ia berbalik kepada aqidah kita.

Demikianlah sebahagian daripada pengisian yang dapat dikongsikan bersama dan pendapat yang diutarakan adalah bersifat peribadi. Semoga beroleh manfaat. Pengisian dalam khutbah kini pada hemat saya perlu bersifat semasa dan peringatan yang diberikan harus memberi gambaran holistiknya Islam dalam mengatur kehidupan insani. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w kerana perjuangan baginda yang suci untuk menyebarkan mesej Islam kepada manusia akhir zaman, umatnya. Khutbah selalunya diakhiri dengan mafhum firman Allah:

“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah Al-Ahzab, 33: 56)
Justeru, bertaqwalah kepada Allah dan berselawatlah kepada Nabi Muhammad agar beroleh syafaatnya di Hari Perhitungan kelak. Selamat Hari Raya Eid Al-Adha. Salah dan silap harap dimaafkan.

0 Comments to "Dua Khutbah yang Mengisi Jiwa dan Membuka Minda"

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft