Penulisan dan Umat Islam
Pernah saya menghadiri
sebuah Workshop. Sewaktu ucapan Keynote Address, dipaparkan kepada para peserta
Workshop tersebut statistik penulisan jurnal yang diterbitkan oleh umat Islam
di seluruh dunia. Malangnya, saya tidak sempat menyalinnya mahupun mengingatkan
angkanya tetapi adalah sesuatu yang menyedihkan apabila dunia Arab dan alam
Melayu yang rata-rata masyarakatnya beragama Islam amat kurang dalam penerbitan jurnal
berbanding sarjana-sarjana Barat dan Timur terutama di Jepun. Walhal, wahyu pertama yang diturunkan kepada
Nabi Muhammad (Sallahu ‘alaihi Wasallam) iaitu Surah al-‘Alaq ayat 1-5 dimulai
dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Pengasihani yang bermaksud:
“Bacalah (wahai
Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia
menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha
Pemurah; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; Dia mengajarkan manusia
apa yang tidak diketahuinya.”
Saidina ‘Ali bin Abi
Talib (Karamallahu Wajhah) pernah berkata dalam atharnya untuk menjelaskan
perkara yang mempunyai persamaan dengan ayat al-Quran di atas:
Jelaslah bahawa ajaran Islam menyuntik semangat dalam diri umatnya untuk membaca. Malah, Islam mengajar kita untuk menganalisis dan melakukan kajian terhadap sesuatu perkara. Seperti mana yang dimaklumi, pembacaan perlu bermula dengan bahan bacaan yang berbentuk tulisan. Tulisan pula datangnya daripada dakwat pena yang diterjemahkan oleh kajian dan pemikiran penulis. Oleh itu, dalam ayat keempat Surah al-‘Alaq dijelaskan bahawa Allah (Subhanahu Wa Ta’ala) menyampaikan ilmu-Nya yang Maha Luas itu kepada manusia yang serba kekurangan ilmu dan kerdil ini melalui penulisan.
Maka amatlah penting
bagi kita memahami kepentingan penulisan yang berkualiti dan mempunyai input
yang bermanfaat kepada manusia. Dengan penulisan, ilmu pengetahuan dan pemikiran
yang ingin disampaikan boleh bertahan mencecah berabad lamanya. Contohnya,
penulisan Kitab al-Manazir oleh Ibn al-Haytham mengenai ilmu optik bertahan
hampir satu millennium lamanya dan ia menjadi rujukan serta masih dilakukan
kajian mendalam terhadapnya buku tersebut untuk mengembangkan imu yang ada
padanya. Malah, penulisan mempunyai kuasanya yang tersendiri untuk mempengaruhi
pemikiran manusia lainnya berbanding percakapan ataupun pengucapan umum. Justeru,
ia menjadi bahan rujukan buat sekalian umat.
Tambahan, di abad
kemajuan teknologi kini, manusia tidak lagi mempunyai banyak kesulitan untuk
menulis menggunakan komputer, mencetak melalui mesin pencetak dan menggandakan
bahan percetakkan dengan mesin fotostat. Bayangkan sekiranya al-Qur’an dan
al-Hadith tidak dikumpul, dibukukan serta dijilidkan, masihkah manusia punya
panduan untuk menyuluhnya mengenal Allah dan Rasul-Nya, mendalami Islam seterusnya
mencapai redha Allah dalam kehidupan di dunia ini? Ayuh, kita mengizzahkan Islam dengan penulisan.
0 Comments to "Penulisan dan Umat Islam"
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Catat Ulasan