Ibn al-Haytham: Saintis Muslim dan Sifat 'Ubudiyyah-nya



Ibn al-Haytham merupakan seorang cendekiawan Islam yang sangat patuh kepada ajaran Islam. Ibn al-Haytham begitu berminat mengkaji ilmu sains tabii (natural sciences). Natijahnya adalah ia menjadi alat untuk beliau mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Beliau turut mempamerkan bahawa dengan tauhid dan sifat ‘ubudiyyat inilah yang menjadikan dirinya taat dan patuh kepada kehendak Allah SWT. Dalam hal ini, beliau melontarkan pandangannya seperti petikan kata-kata berikut:

Saya mengambil keputusan untuk mengetahui perkara apakah yang membawa kita lebih dekat kepada Allah, apakah yang paling diredhai-Nya dan perkara apakah yang membuat kita tunduk kepada kehendak-Nya yang pastinya tidak dapat dihindari.

Berdasarkan petikan kata itu, jelaslah bahawa Ibn al-Haytham telah meletakkan matlamat utama dalam melakukan penyelidikan saintifik adalah untuk mencapai keredhaan Allah SWT atau mardat Allah. Hubungan yang erat antara akidah, ibadah dan akhlak yang dijaga secara bersungguh-sungguh dapat membawa manusia mencapai keredhaan Allah SWT. Pada dasarnya, tasawur pemikiran saintifik Ibn al-Haytham ini ditunjangi oleh ikatan tauhid yang utuh kepada Allah SWT. Perihal tauhid ini telah ditekankan dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tidak beranak dan Dia tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa denganNya.” (al-Ikhlas, 112:1-4).


Di samping itu, kecintaan Ibn al-Haytham kepada Allah SWT juga dibuktikan melalui ungkapan basmalah (bismi Allah al-rahman al-rahim) pada setiap permulaan dalam karya-karyanya. Dengan berpegang kepada konsep keberkatan terhadap ilmu inilah beliau turut mengakhiri penulisannya dengan puji-pujian kepada Allah SWT dan selawat kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabat baginda.

0 Comments to "Ibn al-Haytham: Saintis Muslim dan Sifat 'Ubudiyyah-nya"

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft