Meneliti Kebesaran Tuhan Melalui Ilmu Falak [15 April 2014]




Meneliti Kebesaran Allah Melalui Kaca Mata Ilmu Falak

Dunia moden pada hari ini dipenuhi dengan kecanggihan penciptaan teknologi sebagai hasil daripada usaha penyelidikan manusia dari sekecil-kecil teknologi seperti teknologi nano sehingga sebesar-besar teknologi seperti teknologi satelit yang melingkari planet bumi. Realitinya, teknologi merupakan suatu manifestasi daripada perkembangan dalam cabang-cabang ilmu sains. Antara cabang ilmu sains yang berkembang pesat pada hari ini ialah ilmu astronomi atau ilmu falak. Penerokaan demi penerokaan yang dilakukan oleh para ahli falak menjadi kunci untuk mendedahkan sebahagian daripada rahsia isi alam semesta. Dengan bantuan daripada teknologi yang dibangunkan, mereka dapat mencerap dan memerhati secara lebih mendalam terhadap sesuatu objek angkasa.


Walau bagaimanapun, apabila disebut mengenai “ilmu falak”, antara definisi yang bermain dalam minda umat Islam secara umumnya adalah ilmu yang berkaitan dengan penentuan permulaan bulan Ramadan, hari raya Aidilfitri, takwim waktu solat dan seumpama dengannya. Ilmu falak yang berkait dengan ibadah khusus ini dikenali sebagai “falak syarie”. Sungguhpun begitu, ilmu falak tidaklah terbatas kepada pengkajian tersebut sahaja. Hal ini kerana, ia juga merangkumi penelitian terhadap seluruh struktur alam semesta ciptaan Allah SWT. Namun, penyempitan yang berlaku dalam definisi ilmu falak itu sendiri menyebabkan kebanyakan penerokaan alam semesta dilakukan oleh ahli falak bukan Islam.

Seperkara yang penting untuk diambil kira adalah ilmu falak mempunyai kaitan langsung dengan ilmu kosmologi. Secara khususnya, ilmu kosmologi bertindak dengan memberi gambaran menyeluruh (big picture) kepada ilmu falak kerana ia membincangkan asal-usul kejadian alam semesta, perkembangannya dan takdir akhirnya. Dengan itu, terdapat pelbagai teori yang dikemukakan oleh ahli kosmologi bukan Islam, antara yang paling popular ialah teori letupan besar (the big bang theory). Teori ini dikemukakan oleh ahli falak Belgium bernama George LemaƮtre pada tahun 1931.

Walaupun begitu, terdapat perbincangan dalam kalangan sarjana Islam yang mengaitkan teori tersebut dengan sepotong ayat al-Qur’an, firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (ratq), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan daripada air tiap-tiap benda yang hidup. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?” (Surah al-Anbiya’ ayat 30).

Dari satu sudut, teori yang dikemukakan oleh LemaĆ®tre ini mempunyai keselarian dengan ayat al-Qur’an yang dikemukakan di atas kerana asas teorinya adalah alam semesta bermula dari satu titik tunggal terpadu yang kemudiannya mengalami suatu letupan yang dahsyat. Meskipun beliau seorang paderi Kristian Katolik, namun beliau dengan jelas mengakui bahawa teorinya itu tidak mempunyai sebarang perkaitan dengan pandangan agamanya mahupun persoalan metafizik.

Dari sudut yang lain pula, ayat ini memberi bayangan kepada kita bahawa ahli falak bukan Islam yang terlebih dahulu mengkaji mengenai asal usul alam semesta ini. Kenyataan tersebut pada hakikatnya membenarkan betapa ramainya tokoh kosmologi bukan Islam yang terkenal seperti Stephen Hawking, Fred Hoyle dan Arno Penzias yang giat meneliti dan mengembangkan ilmu falak. Maka, persoalan yang dikemukakan oleh Allah SWT di penghujung ayat ini sangat bertepatan dengan realiti semasa.

Walau bagaimanapun, Allah SWT telah banyak menyeru orang-orang beriman untuk memerhati, memikirkan dan bertafakur mengenai kejadian langit dan bumi. Oleh yang demikian, menjadi suatu keperluan kepada ahli falak Islam untuk meneroka rahsia alam semesta ini dan menyebarkan ilmu falak yang berpaksikan tauhid dalam memantapkan keimanan umat Islam kepada Allah SWT. Hal ini kerana, selain daripada teknologi sebagai alat bantuan untuk melakukan penerokaan sains angkasa, umat Islam juga dilengkapi dengan kitab al-Qur’an sebagai petunjuk yang hakiki untuk memandu teknologi dan pengkaji itu sendiri meneliti kehebatan penciptaan Allah SWT di ruang angkasa. Dalam konteks ini, kisah pencarian hakikat ketuhanan oleh Nabi Ibrahim as boleh dijadikan iktibar.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi dan supaya menjadilah dia daripada orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.” (Surah al-An‘am ayat 75).

Berdasarkan ayat 76 hingga 78, Nabi Ibrahim as memerhati objek-objek angkasa iaitu bintang, bulan dan matahari, seterusnya menaakul kebenaran objek-objek itu sebagai realiti ketuhanan ataupun tidak. Namun akhirnya, keikhlasan baginda mencari hakikat ketuhanan ini melahirkan suatu pengakuan tauhid. Ia dapat dilihat melalui ayat berikut yang bermaksud, “Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi (sedang aku tetap di atas dasar tauhid) dan bukanlah aku daripada kalangan orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain).” (Surah al-An’am ayat 79).


0 Comments to "Meneliti Kebesaran Tuhan Melalui Ilmu Falak [15 April 2014]"

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft