Sifat Malu Halang Kemungkaran [2 Februari 2015]






Sifat Malu Memelihara Iman
 

Ajaran Islam yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW merupakan suatu panduan hidup yang lengkap. Ia merangkumi panduan untuk manusia mengenal dan mengakui Tuhan yang Maha Esa (akidah), melaksanakan fungsi dan tanggung jawab manusia di bumi (ibadah) dan menghiasi peribadi manusia dengan nilai kebaikan (akhlak). Panduan ini dirangkum di dalam ilmu-ilmu asas Islam atau disebut sebagai ilmu fardu ain. Pada hakikatnya, ketiga-tiga ilmu ini saling berkaitan antara satu sama lain.

Dalam ilmu akhlak, terdapat satu sifat yang menjadi teras kepada ajaran Islam iaitu sifat malu. Malu atau dalam bahasa Arab disebut sebagai “al-haya’”, bolehlah diertikan sebagai suatu sifat yang mendorong manusia untuk tidak melakukan perkara-perkara yang dibenci atau tercela. Namun begitu, mengapakah Islam mementingkan sifat malu ini? Sebenarnya, sifat inilah yang mengukuhkan lagi pegangan akidah dan memandu pelaksanaan ibadah seorang Muslim. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah Hadith Rasululllah SAW bersabda yang bermaksud: “Malu dan iman sentiasa bersama. Apabila salah satunya dicabut, maka hilanglah yang lainnya.” (Riwayat al-Hakim).


Daripada Hadith ini, jelaslah bahawa implikasi daripada sifat malu ini adalah untuk mengukuhkan iman seseorang Muslim. Semakin tinggi iman seseorang, maka semakin tinggi harga dirinya. Apatah lagi, dengan sifat malu juga seseorang Muslim dapat menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah SWT. Dalam Hadith yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya salah satu perkara yang telah diketahui oleh manusia daripada kalimat kenabian terdahulu adalah, ‘jika engkau tidak malu, berbuatlah sesukamu'." (Riwayat Bukhari).

Sesuatu kemungkaran yang berlaku sebenarnya didasarkan kepada ketiadaan sifat malu dalam diri manusia. Kehilangan sifat ini akan menyebabkan seseorang berani melakukan maksiat secara terang-terangan baik di khalayak ramai, apatah lagi di depan Allah SWT.

Sifat malu seharusnya dipupuk sejak daripada kecil lagi oleh para ibu bapa. Hal ini kerana, sifat ini akan menjaga diri anak-anak apabila mereka meningkat dewasa dan apabila berjauhan daripada ibu bapa kelak. Salah satu cara untuk memupuknya adalah dengan memberi kefahaman mengenai sifat ihsan. Dalam sebuah Hadith yang dikenali juga dengan Hadith Jibrail, Nabi Muhammad SAW menjelaskan maksud ihsan iaitu: “... engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.” (Riwayat Muslim).

Secara umumnya, sifat ini perlu ada pada semua umat Islam sama ada kaum Muslimin mahupun Muslimat. Namun, sifat malu diibaratkan seperti perhiasan buat kaum wanita khususnya. Malah dalam Hadith sahih Imam Muslim, sifat malu Rasulullah SAW digambarkan melebihi seorang wanita perawan. Manakala dalam al-Qur’an juga, sifat pemalu ini disebutkan oleh Allah SWT dalam kisah salah seorang daripada anak gadis Nabi Syu’aib a.s yang diminta menjemput Nabi Musa a.s setelah membantu mereka memberi minum haiwan ternakan mereka (rujuk Surah al-Qasas ayat 25).

Oleh yang demikian, sifat malu ini merupakan sebahagian daripada fitrah seorang wanita. Melalui sifat ini, seorang wanita dapat memelihara kehormatan dirinya dan batas-batas pergaulan apabila berhadapan khalayak masyarakat.

0 Comments to "Sifat Malu Halang Kemungkaran [2 Februari 2015]"

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft