Demonstrasi - Apa Salahnya, Apa Baiknya?


Oleh: Mohd Syahmir bin Alias


Demonstrasi menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat didefinisikan kepada dua maksud. Definisi yang pertama merujuk kepada penerangan atau peragaan tentang kaedah atau cara kerja sesuatu perkara. Manakala definisi kedua ialah tunjuk perasaan dengan cara berkumpul secara beramai-ramai melalui perarakan untuk menyatakan pendapat. Disini,penulis ingin membicarakan soal demonstrasi yang merujuk kepada definisi yang kedua iaitu tunjuk perasaan secara berkumpulan.

Suasana kemelut dalam kancah politik dunia dewasa ini dan ketidakadilan pihak pemerintah terhadap rakyat jelata telah mendesak rakyat bangun bersuara untuk menentang kezaliman dan penindasan yang berlaku. Pelbagai tindakan yang diambil oleh rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka, baik melalui media massa, media alternatif, sesi dialog pemimpin, ceramah, forum dan tidak kurang juga menggunakan kaedah berdemonstrasi. Namun, persoalannya di sini, apakah natijah daripada tindakan masyarakat yang berdemonstrasi ini?

Terdapat beberapa tujuan berlakunya demonstrasi oleh sekelompok masyarakat. Di antaranya adalah, mereka ingin:
-menyerlahkan pengaruh dan kuasa
-menyedarkan tentang kezaliman dan penindasan
-menyatakan pandangan secara terbuka
-memperkasakan kecenderungan kelompok masyarakat
-mempamerkan kekuatan kelompok masyarakat
-menyampaikan hasrat
-mempertahankan hak

Seperti kita sedia maklum, dalam membahaskan soal demonstrasi ini, sudah pastinya kita dapat lihat pandangan dari sisi pro dan kontranya. Ajaran Islam mengajarkan kita cara terbaik dalam mempertahankan sesuatu kebenaran, iaitu dengan memberi penerangan dan bermusyawwarah. Pada pendapat penulis, demonstrasi ini merupakan langkah yang terakhir untuk menyatakan pendapat setelah beberapa tindakan telah dibuat. Mungkin kerana kedegilan golongan pemerintah dalam mendengar pandangan rakyat dan sikap tidak ambil tahu membuatkan golongan ini menggunakan metod lain untuk menyatakan hasrat mereka. Mengikut kaedah usul fiqh, “sesuatu hal yang tidak akan tercapai dan terlaksana kewajipan kecuali dengannya, maka hal tersebut menjadi wajib”. Dengan demikian Islam membenarkan demonstrasi sekiranya ia dilakukan dengan cara yang betul dan dilandasi dengan niat yang jujur bagi menuntut keadilan tanpa melanggar syariat yang telah digariskan. 

Akan tetapi, sekiranya masih ada ruang untuk bernegosiasi, adalah lebih baik untuk kita mengambil peluang bersidang secara harmoni dan mencari titik kesefahaman dalam mencari keadilan daripada melakukan keagresifan dengan cara berdemontrasi. Hal ini kerana, tunjuk perasaan ini terkadang boleh menyebabkan perkara-perkara di luar kawalan terjadi tanpa disedari. Dengan melakukan demonstrasi secara tidak sah, kebarangkalian untuk berlakunya perpecahan dalam masyarakat, kerosakan harta benda awam dan perkara-perkara yang meragut nyawa adalah tinggi dan ia adalah sesuatu yang tidak dibenarkan oleh ajaran Islam. Bertepatanlah, dengan  ayat suci Al-Quran sendiri yang mengajarkan kita supaya berbincang untuk mencari jalan penyelesaian agar kita tidak melampaui batas dalam satu-satu perkara. Firman Allah, mafhum-Nya:

“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya; Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu perbuatan secara zalim, mereka hanya bertindak membela diri (sepadan dan tidak melampaui batas).” (Surah Asy-Syura, 42: 38-39)

Apapun perkara yang dilakukan, ia perlu didasari dengan niat yang benar sepertimana dalam hadis Rasulullah s.a.w:

“Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan…” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
           
Sebagai seorang mahasiswa, penulis ingin menyentuh satu isu yang berlaku di Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kedah baru-baru ini. Menurut laporan di media massa,  seramai 6 orang mahasiswa KUIN telah dikenakan tindakan tatatertib di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana terlibat dalam satu demonstrasi yang menuntut agar pembinaan Sekolah Insan Bestari berdekatan dengan kediaman penuntut di Kuliyyah Tahfiz dihentikan. Hal ini kerana, pembinaan tersebut terletak pada tempat yang tidak strategik dan menggangu proses pembelajaran mereka.

Pada hemat penulis, setelah melihat kepada tuntutan dan peristiwa yang berlaku, perbincangan secara intelektual antara pihak pentadbiran dan golongan mahasiswa seharusnya membuahkan titik persefahaman antara kedua-dua belah pihak. Kita perlu menolak mudarat yang lebih besar sepertimana dalam kaedah fiqh “kemudaratan hendaklah dihilangkan” dalam melakukan sebarang tindakan supaya sesuatu perkara tidak memberi kesan negatif kepada mana-mana pihak. Justeru, penulis mencadangkan agar pihak pentadbiran KUIN dan mahasiswa duduk bersama semula dan mencari jalan penyelesaian untuk isu tersebut, mendalami dan memahami isi hati golongan anak muda tersebut. Pastinya kita tidak mahu melihat proses pembelajaran mahasiswa terbabit terganggu dengan pergantungan yang dikenakan dan nama baik institusi pentadbiran KUIN tercemar. Dan isu ini tidaklah sepatutnya dipolitikkan. Wallahua’lam.

 

2 Comments to "Demonstrasi - Apa Salahnya, Apa Baiknya?"

  1. sangat bermaklumat dan bermakna,terima kasih..artikel yang baik : ) teruskan usaha.Untuk makluman,saya adalah pelajar diploma UTeM..

  2. bagus....dan bermaklumat... saya dari pelajar sarjana muda ukm

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft