Introspeksi Diri - Sidang 2010/2011 yang Mematangkan

Menjejakkan kaki ke alam universiti suatu pengalaman berharga bagi seseorang insan biasa seperti aku. Dengan meletakkan pelbagai harapan daripada kedua ibu bapa dan keluarga, aku berjalan melangkah ke hadapan dengan penuh harapan. Walaupun aku tahu, perjalananku di Universiti Sains Malaysia tidaklah semudah yang disangka. Universiti APEX yang boleh jadi kegilaan siswazah matrikulasi/asasi/STPM mahupun ketakutan mereka menjejakkan kaki ke Menara Ilmu ini. Akademik dan sahsiah yang sepadu yang aku dambakan sebagai seorang Islam.
            Sememangnya, orang yang pandai menilai nikmat pengalaman itu akan lebih menghargai perjalanan hidupnya berbanding mereka yang hanya tahu tiga perkara iaitu kelas, katil dan komputer. Walaupun sudah dua tahun aku berada di USM tercinta ini, namun masih aku merasai serba kekurangan dan kecetekan ilmu serta pengalaman yang ada pada diri ini. Jika ada dari kalangan rakan-rakan mahasiswa bertanyakan padaku tempat-tempat di sekitar Pulau Pinang ini, belum tentu dapat aku beritakan kepada mereka. Almaklumlah, jarang-jarang sekali aku melangkah keluar kakiku ini untuk berjalan-jalan dan menikmati ‘keindahan’ Pulau Mutiara ini.
            Dua tahun bagiku membuatkan aku banyak belajar erti kehidupan. Kewujudan aku sebagai seorang mahasiswa Islam di sini menambahkan lagi kegembiraanku akan pertemuanku dengan Persatuan Mahasiswa Islam USM atau PMIUSM. Apabila aku menjejakkan kakiku di USM, terpampang beberapa banner yang mengucapkan “Selamat Datang” kepada kami, mahasiswa/i tahun pertama sebagai tanda alu-aluan. Di situ, aku melihat keindahan UniSains dan mencari-cari Pusat Pengajian yang akan aku menuntut ilmu Kimia di dalamnya. Di samping itu, mataku terpandang kepada wajah-wajah ceria abang-abang dan kakak-kakak daripada Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM) dan tidak kurangnya juga daripada PMIUSM. Ceria sekali wajah-wajah mereka mengalu-alu kehadiran kami.
            Sepertinya aku ingin menekankan lagi tentang sidang akademik 2010/2011 yang sememangnya penuh dengan cabaran dan dugaan. Suatu hari, datang beberapa orang yang aku kenali untuk berbincang denganku sesuatu perkara yang mengubah paradigma aku selama setahun di USM. Mereka ini menawarkan aku untuk menjadi seorang calon bagi pemilihan ahli MPPUSM. Terkejut dan tertanya-tanya, kenapakah aku? Bukankah di luar sana lebih ramai lagi mahasiswa yang berkelayakan untuk memimpin dan berkaliber dalam kepimpinannya. Sejak dari itu, aku memikirkan hal tersebut dengan penuh kegelisaha. Bukan apa, sesungguhnya menjadi pemimpin mahasiswa itu bukan suatu tugas yang mudah.
Sungguhpun, aku pernah menjawat jawatan sebagai seorang Exco dalam sebuah persatuan anak negeri iaitu Kumpulan Anak-Anak Kedah USM (KAKUSMA). Di sini banyak sekali pengalaman yang aku timba dari sudut pengurusan organisasi. Mana tidaknya, aku telah diminta untuk menjadi Pengarah Projek Bengkel Pengurusan KAKUSMA ketika di bulan Ramadhan seingat aku. Alhamdulillah, projek tersebut berjalan dengan lancar, sekalung penghargaan kepada rakan-rakan sejawat yang banyak membantu aku dalam pengendalian program tersebut. Selain beberapa program yang turut kami jayakan, di sinilah akan kita pelajari bagaimana pengurusan emosi dan kemahiran kita untuk bernegosiasi dengan masyarakat kampus.
Aku mencabar diriku pula untuk turut serta dalam pencalonan ahli MPPUSM melihatkan pengalamanku sedikit sebanyak dalam KAKUSMA dan PMIUSM. Pada hari penamaan calon merupakan saat getir bagi kebanyakan calon. Dek kerana di tarikh inilah akan menentukan kelayakan calon untuk menyertai pencalonan tersebut. Namun, aku sedikit terkilan, walaupun terdapat bantahan yang dilakukan, tiada sedikitpun tindakan yang diambil. Apa fungsi waktu bantahan tersebut? Wallahua’lam. Aku bertanding bagi konstituensi pusat pengajianku sendiri, Pusat Pengajian Sains Kimia di atas tiket Pro-Mahasiswa USM. Sebuah idealisme mahasiswa yang banyak mengajarku erti sebenar dunia mahasiswa.
Dengan Pro-M ini, aku belajar bagaimana cara untuk berpidato, mempromosi diri melalui media, hak dan tugas mahasiswa, sejarah dunia mahasiswa suatu ketika dahulu dan mengeratkan sillaturrahim diantara kami, calon-calon Pro-M. Sebuah pengalaman yang menarik! Teringat lagi, walaupun tempoh berkempen calon-calon terlalu singkat, kami berusaha untuk mempromosi diri kami kepada masyarakat kampus, terutama mahasiswa/I di banyak tempat seperti dewan kuliah, padang kawad, kafe dan desasiswa.
Di sinilah aku belajar bagaimana untuk bercakap di hadapan rakan-rakan mahasiswa menggunakan mikrofon dalam acara Rapat Umum (RU) yang dianjurkan oleh Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPP). Walaupun provokasi yang diterima dan paling menyedihkan adalah melihat usaha kumpulan-kumpulan tertentu untuk menghilangkan fokus para calon di atas pentas. Lucu melihat telatah penyokong-penyokong dengan menyanyikan lagu “Enjet-Enjet Semut” dan melakonkan semula gaya Ucop Wilcha dalam kegilaan mahasiswa dengan watak filem “Hantu Kak Limah Balik Rumah”. Pelik tapi inilah kebenarannya, suatu tindakan yang bagi aku tidak matang. Impaknya, RU menjadi medan menahan provokasi, bukan memperkenalkan diri. Astaghfirullahal’azim.
Di samping itu, calon-calon berusaha mempromosi dan mengajak pengundi-pengundi untuk turut bersama-sama menunaikan hak mereka di dalam pilihanraya kampus (PRK). Selain itu, kami juga menggunakan laman-laman sosial seperti facebook untuk berkempen. Video, gambar-gambar, poster dan pelbagai lagi metod yang digunakan untuk menarik pengundi. Sayang sekali, tempoh berkempen pada sidang kali ini jatuh pada hari cuti iaitu Sabtu dan Ahad. Namun begitu, aku masih merasakan bahang kehangatan berkempen. Kain rentang yang dinaikkan, poster-poster calon yang terpampang di sana-sini merupakan satu suasana kehangatan PRK. Terima kasih kepada semua yang terlibat, bertungkus-lumus untuk menjayakan PRK sidang ini. Hanya Allah s.w.t sahaja mampu membalas penat lelah kalian.
Penat-lelah kami semua diserikan lagi dengan kemeriahan pengundi-pengundi yang turun mengundi. Mengikut statistik, jumlah turun mengundi pada sidang ini meningkat berbanding tahun lepas. Alhamdulillah, bukti keprihatinan mahasiswa USM dengan PRK ini. Di dalam hatiku ini, Allah jua yang mengetahui. Bukan kemenangan yang didambakan, tetapi keprihatinan mahasiswa dan kegembiraan berkempen yang aku ingin rasakan. Sungguh besar taklifan tersebut. Mana tidaknya, menjadi wakil dan ikon mahasiswa yang perlu menjaga kebajikan mahasiswa di seluruh kampus dan bukan hanya semata-mata mengadakan program (program-oriented).
Tiba di malam pengiraan undi, resah hati kian mengganda. Tatkala melihat peti undi dipenuhi kertas-kertas undi. Aku hanya bertawakal, begitu juga calon-calon mahasiswa lainnya. Seusai pengiraan undi yang berlangsung hampir 7 jam di Dewan Utama Pelajar, tibalah saat mengumumkan calon yang akan bergelar ahli MPPUSM di ketiga-tiga kampus USM. Mungkin takdir Allah mendahului semuanya, Dia yang Maha Mengetahui segala sesuatu yang baik dan yang buruk bagi hamba-hambaNya. Aku tidak memenangi pemilihan tersebut bagi kerusi Pusat Pengajian Sains Kimia dan pastinya Allah memberikan kepada mereka yang lebih layak. Kawanku, Nurul Aini Ahmad Rosli memenangi kerusi tersebut, tahniah dan selamat menjalankan tugas kepadanya.
Namun, si sebalik kisah tersebut, kami, penyokong-penyokong Pro-Mahasiswa berasa sangat bersyukur kepada Allah s.w.t dengan kemenangan tiga calon Konstituensi Umum dan lima calon Konstituensi Pusat Pengajian. Mereka inilah YB-YB kami, Lukhman, Fatin, Musmuliadi, Muslihin, Iswandi, Atikah, Husna dan Aifa. Di samping kemenangan rakan-rakan mahasiswa calon Bebas seperti Bayang, Izwan, Shairah, Malihah, Salwa dan Fathirah serta calon-calon Aspirasi yang lainnya. Sesungguhnya, ia satu pengalaman yang menarik berada dalam suasana politik kampus.
Apa yang pasti, rezeki Allah berada di mana-mana sahaja. Yang pastinya kita perlu meyakini dengan rezeki Allah dan ujian yang Allah datangkan itu pastinya seupaya dengan kekuatan kita untuk memikulnya. Bagi aku, berada di dalam Muktamar Sanawi ke-41 PMIUSM telah memberikan suatu paradigma baru dan sebuah pengertian baru dalam hidup. Sudah pasti Allah mentakdirkan kita dengan seupaya kemampuan kita. Ayat Allah, mafhum-Nya:
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang juga diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahkannya…” (Surah Al-Baqarah, 286)
            Kini, menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung PMIUSM pasti akan mengundang 1001 suka-duka dalam perjuangan sebagai seorang mahasiswa Islam. Bersama sahabat-sahabat pimpinan PMIUSM sidang 2011/2012, pasti akan memberikan satu dimensi baru dan pengalaman yang semakin luas. Semoga Allah memudahkan urusan kami dan menguatkan bahu kami untuk memikul taklifan ini. Sebagai seorang mahasiswa yang akan melangkah ke alam tahun akhir di kampus, ia pasti memberikan satu lembaran baru bagi aku dengan pengurusan akademik dan organisasi Islam di kampus USM ini. Bukan jawatan yang dipinta tetapi redha Allah-lah yang utama. Wallahua’lam…

0 Comments to "Introspeksi Diri - Sidang 2010/2011 yang Mematangkan"

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft