Teori Konspirasi Didalangi Tangan Ghaib [27 Februari 2014]
Elakkan Keterlaluan Berfikir Ala ‘Conspiracy
Theorist’
Pada
sekitar tahun 2008 yang lalu, masyarakat dunia pernah dihidangkan dengan
serangkaian dokumentari yang diterbitkan oleh sekumpulan anak muda dari Amerika
Syarikat bertajuk “The Arrivals”. Dokumentari bersiri ini ditayangkan
melalui laman media sosial, YouTube dan mendapat tempat terutama dalam kalangan
remaja dan golongan awal dewasa. Tujuan utamanya adalah untuk mendedahkan
segala tipu muslihat organisasi rahsia seperti Illuminati dan Freemason terhadap
masyarakat dunia umumnya dan kepada umat Islam khususnya.
Melalui
50 episod dokumentari bersiri ini, ia cuba mengemukakan ‘bukti-bukti’ bahawa semua
peristiwa penting yang berlaku, misalnya pengeboman World Trade Centre
(WTC) di Amerika Syarikat serta pembunuhan tokoh-tokoh terkenal dikatakan berlaku
secara terancang oleh organisasi rahsia. Dari satu sudut, apabila diteliti
segala ‘mesej-mesej terselindung’ yang disiarkan melalui siri dokumentari itu dengan
bersungguh-sungguh, memang terdapat semacam ‘konspirasi’ yang direncana oleh
‘tangan-tangan tertentu’.
Walau
bagaimanapun, pembikinan dokumentari ini adalah berasaskan ‘teori konspirasi’.
Teori konspirasi adalah teori yang cuba menjelaskan setiap peristiwa penting
dalam sejarah, ekonomi atau politik di dunia mempunyai hubungan dengan
perencana di sebalik tabir iaitu organisasi rahsia yang berpengaruh. Oleh itu, para
ahli teori konspirasi sering memperinci dan mencari simbol-simbol berkaitan
perencana sebenar di sebalik sesebuah peristiwa itu.
Perkara
inilah yang ditentang oleh sebahagian golongan intelektual Islam kerana teori
ini mempunyai banyak kelemahan dari sudut kesahihan bukti. Malah, dikatakan mereka
berpegang kepada perkara-perkara bersabit dengan kebetulan, prasangka, pendapat,
dakwaan dan tanggapan mereka sendiri. Persoalannya, bolehkah umat Islam
menerima terus teori-teori seperti ini? Hal ini kerana ada juga sebahagian
masyarakat Islam yang terlalu obses berfikir tentang kewujudan simbol-simbol
itu.
Sikap
keterlaluan dalam memikirkan teori ini dapat memberi impak negatif dari segi
akidah dan pemikiran umat Islam. Pertama, dari sudut akidah, obsesi terhadap
teori konspirasi ini hakikatnya seakan menafikan kekuasaan dan takdir (qada’
dan qadar) Allah SWT terhadap manusia dan alam sejagat. Walaupun sebaik
mana perancangan manusia, umat Islam seharusnya sedar bahawa segala yang
berlaku di atas muka bumi ini adalah di atas kehendak dan keizinan Allah SWT sama
ada untuk perancangan tersebut berlaku ataupun tidak. Perkara ini dijelaskan
oleh Allah SWT kepada orang-orang yang beriman di dalam al-Qur’an, maksudnya:
“Sesungguhnya
perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah daripada (hasutan) syaitan
untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita, sedangkan bisikan itu
tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah dan
kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri.”
(Surah al-Mujadalah ayat 10).
Menurut
Hamka dalam Tafsir al-Azhar, perkataan ‘an-najwa’ dalam ayat ini
bererti perundingan rahsia di antara orang-orang yang penuh dengan dendam dan
permusuhan terhadap Rasulullah SAW dan orang-orang beriman. Sungguhpun
perancangan jahat mereka itu dibincangkan secara tertutup, orang-orang beriman
diingatkan agar sentiasa bergantung harap dan bertawakal kepada Allah SWT. Hal
ini kerana Allah SWT yang akan menjadi pelindung kepada orang-orang beriman dan
perancangan mereka tidak akan terlaksana tanpa izin daripada Allah SWT.
Sikap
obses terhadap teori-teori konspirasi yang terlalu banyak kelemahan ini juga
mampu menjauhkan umat Islam daripada takut kepada Allah SWT (takwa). Hal ini
jelas kerana ia akan membawa umat Islam lebih takut kepada kekuatan ‘kuasa-kuasa
besar’ yang dikatakan telah menguasai seluruh dunia ini berbanding kekuatan
Allah SWT.
Selain
itu, implikasi negatif yang kedua adalah dari sudut pemikiran umat Islam. Kepercayaan
kepada teori yang tidak sahih ini dapat melemahkan minda umat Islam daripada memikirkan
perkara-perkara yang boleh memajukan ummah. Sebaliknya, ia mendekatkan umat
Islam dengan prasangka dan memperincikan perkara yang tidak mendatangkan manfaat
yang besar kepada masyarakat. Allah SWT telah memperingatkan golongan yang
beriman agar menjauhi sifat terlalu berprasangka seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan kerana sesungguhnya
sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa…” (Surah al-Hujurat ayat 12).
Oleh
itu, umat Islam seboleh mungkin perlu mengelakkan diri daripada berfikiran ala
golongan teori konspirasi ini. Sebenarnya, Allah SWT beberapa kali memuji
golongan ‘ulul albab’ di dalam al-Qur’an. Ulul albab adalah segolongan
orang-orang beriman yang sentiasa berfikir tentang kehebatan dan kebesaran-Nya
yang ada pada diri manusia itu sendiri dan seluruh alam semesta ini. Hal ini
kerana, dengan memikirkan tentang kesempurnaan ciptaan Allah SWT itu, ia akan
menambahkan keimanan dan ketakwaan kepada-Nya. Malah, dengan melahirkan
generasi ‘ulul albab’ ini, ia dapat menghasilkan umat Islam yang
cemerlang menurut acuan tasawur Islam itu sendiri serta menghasilkan kekuatan
tersendiri berlandaskan ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah.
0 Comments to "Teori Konspirasi Didalangi Tangan Ghaib [27 Februari 2014]"
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Catat Ulasan