Saintisme dan Hakikat Penciptaan Alam Semesta dari Perspektif Islam
Tugasan Blog SIW505
Saintisme dan Hakikat Penciptaan Alam Semesta dari Perspektif Islam
Mohd Syahmir bin Alias
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik: P-SM0120/12
Pada 7 Ogos 2011, Discovery
Channel telah menyiarkan sebuah dokumentari bertajuk ‘Curiosity’
dalam episod pertamanya mengupas mengenai persoalan ketuhanan dan alam semesta ‘Did
God Created the Universe?’ dari sisi pandang Profesor Stephen Hawking (J. Smithson,
2011). Hal ini menarik minat penulis untuk menganalisis dokumentari tersebut kerana
ia sangat berkait rapat dengan akidah dan falsafah hidup Muslim yang perlu
dibezakan dengan ideologi dan falsafah masyarakat Barat. Masyarakat Barat yang
dimaksudkan di sini adalah masyarakat yang berpegang selain daripada akidah Islam
dan termasuklah golongan mulhid yang
begitu pesat membangunkan ilmu pengetahuan pada masa ini. Selain itu, pandangan
Profesor Stephen Hawking ini sangat merasionalkan pemikiran penonton dengan
fakta sains yang empirikal dan rasional. Justeru, akidah yang mapan sahaja yang
mampu menjadi penapis bagi kenyataan-kenyataan saintifik dan rasional yang dikemukakannya.
Sebelum mengupas lanjut mengenai beberapa
doktrin yang ditekan dalam dokumentari tersebut, adalah lebih baik untuk
menganalisis falsafah yang menjadi asas pemikiran Stephen Hawking melalui
dokumentari itu. Pemikiran beliau berdasarkan aliran falsafah saintisme (scientism).
Saintisme bermaksud kekaguman yang berlebihan pada
kemajuan sains dengan kaedah-kaedahnya yang saintifik (Ahmad Saifuddin Amran,
2009). Secara umumnya,
ia mempunyai dua ciri. Pertamanya, keyakinan dan kepercayaan hanyasanya melalui
kaedah saintifik sahajalah yang paling absah untuk mendapatkan data yang bernilai
seterusnya diterjemahkannya sebagai fakta. Keduanya, kaedah-kaedah selain
kaedah empirikal dan eksperimental ini tidak akan diiktiraf kesahihannya (Abdul
Rahman Abdullah, 2010:180). Justeru, pengetahuan sains dan kaedah saintifik menjadi
‘dewa’ yang mampu menyelesaikan setiap inci permasalahan manusia.
Dari sudut epistemologi pula, falsafah
saintisme yang menjadi pegangan Stephen Hawking ini datang daripada jalur
empirisisme dan positivisme yang dipelopori oleh tokoh Revolusi Sains, Auguste
Comte. Hal ini kerana, aliran ini berpandangan bahawa ilmu pengetahuan hanya boleh
diperoleh daripada pengamatan pancaindera dan akal positif semata-mata tanpa
mengiktiraf teori sumber ilmu selainnya. Tambahan pula, walaupun falsafah
saintisme ini menafikan bahawa ia tidak berpegang kepada mana-mana ideologi, namun
di sini telah jelas pemisahan nilai agama dan moral daripada epistemologi dan
pandangan sarwanya. Pemisahan ini dikenali sebagai ideologi sekularisme
(Baharuddin Ahmad, 2010). Maka, ini yang menjadi asas kepada pemikiran Profesor
Stephen Hawking dalam mengendalikan dokumentari ilmiah ini.
Jelas sekali berdasarkan tasawur
Islam, falsafah saintisme tidak memberi peluang bagi
aktiviti spiritual seperti keyakinan kepada alam transendental dan perkara metafizik
sepertimana yang ada dalam Islam. Semua bentuk kegiatan berkenaan dengan agama
dan kerohanian dipandang tidak rasional, manakala kepercayaan yang lahir daripadanya
dikatakan tahyul dan merintangi kemajuan. Hal ini tidak mampu menyelesaikan
masalah dalaman manusia seperti penyakit kejiwaan manusia kerana ia tidak dapat
diukur dengan alat empirikal dan eksperimen seterusnya tidak mampu
menyelesaikan setiap inci masalah manusia (Abdul Hadi W.M., 2007).
Sifat neutral falsafah saintisme yang diuar-uarkan ini sekali gus terbatal
kerana ketidakpercayaannya dengan kaedah selain kaedah saintifik dan pemisahan
unsur ketuhanan dalam segenap aspek hidup insan yang membawa kepada ideologi
sekularisme. Tasawur Islam meyakini wujudnya Allah sebagai Tuhan yang mengatur
setiap yang berlaku dalam alam ini, menolaknya adalah kufur.
Seterusnya, dari sudut
epistemologi, ia amat berbeza dengan epistemologi Islam. Agama ini mengiktiraf
al-Qur’an sebagai sumber ilmu pengetahuan utama. Al-Qur’an yang merupakan kalam
Allah s.w.t yang mengaruh atau menginkduksi umat manusia untuk mengkaji alam
semesta ini agar lebih mengenali-Nya. Firman Allah:
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan
pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan
keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.” (Ali Imran, 3: 190)
Berdasarkan ayat ini, al-Qur’an
menjadi pedoman manusia untuk mencari kebenaran. Selain itu, epistemologi Islam
juga mengiktiraf peranan al-Hadith dan intuisi sebagai teori dalam sumber ilmu
pengetahuan. Mana mungkin saintisme mampu menjawab persoalan wahyu dan gerak
hati sedangkan ia sangat berpaut kepada pengamatan inderawi dan rasional akal
semata-mata.
Menyoroti hujah yang dikemukakan di
awal dokumentari ini, berkenaan kepercayaan kaum Vikings, penganut polytheism
yang berfahaman bahawa aktiviti-aktiviti alam dikawal oleh kewujudan tuhan-tuhan
tertentu. Kaum ini menggeruni tuhan bernama Skoll kerana ia menyebabkan peristiwa
‘kematian’ Matahari. Daripada pernyataan masalah ini, hujah saintifik moden
digunakan untuk mematahkan kewujudan Tuhan sekali gus peranannya. Menurut Stephen
Hawking, ia adalah proses gerhana Matahari yang berlaku kerana tabii Bulan dan
Matahari bebas bergerak dengan sendirinya untuk berada pada posisi yang selari,
maka terjadilah gerhana Matahari yang dilihat dari Bumi. Ia adalah doktrin
untuk mengagungkan falsafah naturalisme. Alam tabii berdiri dengan sendirinya,
menuruti tabiatnya berdasarkan hukum semulajadi (law of nature), iaitu natijah
perkara yang berlaku berpunca oleh sesuatu sebab atau ketersebaban (causality).
Seterusnya, untuk menafikan
kewujudan Tuhan, Profesor Stephen Hawking mengeluarkan dalil ‘aqlī mengenai
Teori Dentuman Besar atau Big Bang Theory. Berdasarkan teori ini, alam
semesta terhasil daripada sebuah letupan dahsyat yang berlaku berjuta-juta
tahun dahulu dan seterusnya menghasilkan segala jirim-jirim (tenaga), masa dan
ruang di semesta raya ini. Malah, sebuah analogi rasional akal menyokong
falsafah naturalisme yang dimuatkan dalam dokumentari ini adalah;
“kewujudan air sungai disebabkan hujan, hujan
disebabkan oleh awan, awan terhasil daripada penyejatan air laut oleh sinaran Matahari, sinaran Matahari disebabkan oleh tenaga, tenaga dihasilkan di
dalam teras Matahari kerana pelakuran dua atom hidrogen menjadi atom helium dan
atom hidrogen terhasil daripada Dentuman Besar yang disebabkan oleh tiada
apa-apa (nothing).”
Hujah terakhir beliau untuk
menyanggah kekuasaan Tuhan atas segala sesuatu adalah mengenai masa. Bintang supergiant
yang mati disebabkan oleh ledakan supernova akan ‘terkuburnya’ sebuah
lohong hitam (black hole). Ia adalah objek angkasa yang gelap, yakni tiada
cahaya yang masuk ke dalamnya dapat menembus keluar daripadanya. Sekiranya
sebuah jam dilempar ke dalam lohong hitam tersebut, maka detikan saat akan
terhenti di dalamnya. Daripada premis tersebut, hal ini diibaratkan dengan
Teori Dentuman Besar untuk mencapai suatu konklusi. Sebelum terbentuknya alam
semesta, segala isinya termampat dalam suatu lohong hitam yang tidak terhingga
(infinity) padatnya. Begitu juga masa, ia tidak sama sekali wujud dan
terhenti. Oleh yang demikian, timbul persoalan, bagaimanakah mungkin Tuhan
mampu wujud tanpa kewujudan masa, ruang dan tenaga (J. Smithson, 2011)?
Dalam menganalisis aspek akidah dan
sains ini dari sudut pandang tasawur Islam, pasti sekali ia berbeza. Dualisme
untuk meminggirkan peranan metafizik dan alam transedental (kerohanian)
daripada perkara-perkara empirikal dan positif (kejasmanian) dalam weltanschauung
Barat sangat berhasil di dunia mereka. Umat Islam yang beriman mempercayai
kewujudan Tuhan, malah di dalam kitab suci al-Qur’an banyak menekankan mengenai
penciptaan alam semesta dan penciptanya. Manusia diminta untuk merenung dan
mengkaji agar dapat mengenal Allah s.w.t yang sifat-Nya jauh sekali berbeza daripada
manusia. Segala penyelidikan mengenai sains dan alam semesta yang dilakukan
oleh pengkaji Barat kebanyakannya didasari oleh falsafah-falsafah yang mahu
menolak Tuhan malah bagi mereka urusan agama hanyalah terbatas kepada aspek ‘ibādaṯ khuṣūṣī
semata-mata.
Dunia Barat suatu ketika dahulu
dikuasai oleh peranan paderi Kristian yang banyak mengekang kegiatan eksplorasi
terhadap alam semesta dilakukan. Sebaliknya, al-Qur’an dan al-Hadith sama
sekali tidak mengekang sebarang pencarian terhadap kebenaran. Dalam sebuah
hadith, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Kalian lebih mengetahui
urusan dunia kalian.” (Riwayat
Bukhari dan Muslim, No. Hadis 4358)
Hadith yang dikategorikan dalam bab
akidah ini menekankan bahawa Islam tidak menutup ruang untuk manusia
membuktikan kebenaran al-Qur’an dan kewujudan Allah (JAKIM, 2008). Itulah yang
dilakukan oleh ilmuwan-ilmuwan Islam silam seperti Ibn Sina, Al-Khawarizmi,
Al-Ghazali dan lain-lain dalam mendapatkan ilmu demi mendekatkan diri kepada
Allah di samping memudahkan umat Islam melaksanakan syariat-syariat Allah.
Ilmuwan Islam silam berhujah dengan tidak menjauhkan diri daripada paksi tauhid
bukan sepertimana yang berlaku kepada pendokong naturalisme yang menyatakan
tabii alam berlaku secara mutlak (Mohd Yusof Othman, 2009:105).
Adapun, Islam tidak menolak
penaakulan logik akal atau mantik dijadikan hujah. Pendokong ateis tidak sama
sekali akan mengakui kewujudan Tuhan walaupun mengguna pakai dalil naqlī.
Justeru, epistemologi Islam tidak menolak penaakulan mantik sebagai salah satu
cabang ilmu pengetahuan untuk berhujah dengan golongan mulhid seperti beliau. Misalnya, Imam Abu Hanifah sangat terkenal
dalam bidang penaakulan mantik, berhujah menggunakan logik akal dalam mempertahankan
keesaan dan kewujudan Allah s.w.t. Tambahan, Profesor Stephen Hawking mempersoalkan
bagaimana Tuhan wujud tanpa masa, ruang dan tenaga adalah soalan yang hampir sama
dikemukakan oleh penganut mazhab Dahri suatu ketika dahulu. Imam Abu Hanifah menggunakan
pendekatan numerikal dan aritmetik dalam menjawab persoalan bilakah Allah wujud
(Shahir Akram Hassan, 2012).
Saintis Barat pada masa ini terlalu
bergantung kepada logik akal semata-mata. Seperti yang dikemukakan oleh Stephen
Hawking, persoalan causality air sungai berakhir dengan disebabkan oleh
tiada apa-apa (nothing) yang mengakibatkan Dentuman Besar berlaku, ia
tidak mencapai logik dalam minda manusia. Demikian, perlunya hujah-hujah yang
datang daripada dalil-dalil naqlī untuk mencapai haqq al-yaqīn.
Epistemologi Islam memartabatkan wahyu sebagai sumber ilmu pengetahuan yang
utama (Syed Muhammad Dawilah, 1993:ix). Kenyataan Stephen Hawking bahawa tiada
apa-apa yang melahirkan alam semesta ini dapat diragukan dengan sepotong ayat
al-Qur’an:
“Dan Dialah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan
siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di
tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).” (Al-Anbiya’, 21: 33)
Al-Qur’an yang diturunkan Allah
s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w terlebih dahulu menjawab persoalan ini 1,400
tahun yang lalu. Kelemahan saintis Barat dalam menyamakan ketuhanan (divinity)
dengan jirim dan organisma lain yang wujud di Bumi adalah suatu pemikiran
cetek.
“… tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya,
sifat-sifatNya dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha
Melihat.” (Al-Syura, 42:
11)
Islam sebagai agama yang lengkap telah
hadir membawa cahaya kepada seluruh pelusuk alam. Syumulnya ajaran Islam ini
tidak menghalang sains dan teknologi dikembangkan namun ia harus mematuhi batas
syariat yang ditetapkan oleh Allah. Hal ini kerana, tauhid yang menjadi paksi
dan pendinding yang membezakan akidah Islam dengan ideologi dan falsafah selain
Islam. Selain itu, Islam juga tidak melarang umatnya menuntut ilmu pengetahuan
daripada sesiapapun baik daripada sarjana Muslim mahupun bukan Muslim. Firman
Allah s.w.t:
“… oleh itu bertanyalah
kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Al-Nahl, 16: 43)
Jelas sekali, Islam menggalakkan
kita mempelajari perkara yang memberi kebaikan kepada masyarakat umumnya selagi
acuan yang dipakai adalah berlandaskan agama (Aqil Fitri, 2009). Daripada
dokumentari ini, serangan pemikiran yang cuba dilakukan sangat ketara. Umat
Islam seharusnya mempersiapkan diri dengan kemantapan akidah untuk menghalang
diri daripada terjerumus ke lembah kesesatan.
Begitu juga dengan alternatif dalam bidang
falsafah sains Islam perlu mengikut acuan tauhid. Kini, terdapat para intelektual
Muslim dan pengkaji al-Qur’an giat berusaha untuk memadankan ayat-ayat
al-Qur’an dengan penemuan-penemuan saintifik kontemporari. Usaha yang bertunjangkan
akomodasionisme ini dilihat mahu meyakinkan umat Islam tentang kebenaran
al-Qur’an. Namun, umat Islam harus jelas, teori-teori seperti Teori Dentuman
Besar seperti yang disebut dalam dokumentari berdurasi 45 minit ini adalah di
peringkat ‘ayn al-yaqīn. Malah, epistemologi pencipta teori tersebut
adalah menyimpang daripada epistemologi Islam. Mereka tidak sedikitpun merujuk apatah
lagi memandang al-Qur’an sebagai sumber ilmu pengetahuan yang datang daripada Allah,
pencipta sekalian alam (Shaharir Mohamad Zain, 2010). Oleh yang demikian, hal
ini mempengaruhi tasawur atau worldview mereka terhadap penciptaan alam
semesta bukan diciptakan oleh Tuhan. Justeru, usaha-usaha untuk meng-haqq
al-yaqīn-kan teori tersebut dilihat sesuatu yang kurang murni dan perlu disemak
kembali oleh sarjana Muslim.
Rujukan
Abdul Hadi
W.M. (2007). Krisis Manusia Moden: Tinjauan Falsafah Terhadap Saintisme dan
Relativisme Kultural. KATHA - The Official Journal of the Centre for
Civilisational Dialogue, 3,
1-17.
Abdul Rahman Abdullah. (2010). Wacana Falsafah Sains: Sejarah dan
Pemikiran. Pulau Pinang: Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam
Universiti Sains Malaysia.
Ahmad Saifuddin Amran (2009). Cerpen: Sains Islam atau Saintisme? diakses pada 1 Oktober 2012 daripada
http://komuniti.iluvislam.com/topic/11210-cerpen-sains-islam-atau-saintisme/.
Aqil Fitri. (2009). Bangunkan
Sains Dalam Acuan Islam: Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj. Othman diakses pada
1 November 2012 daripada http://www.majalahsains.com/2009/08/bangunkan-sains-dalam-acuan-islam-prof-dato-dr-mohd-yusof-hj-othman/.
Baharuddin Ahmad. (2010). Sains
dan Kerohanian diakses pada 1 November 2012 daripada http://www.majalahsains.com/2010/07/sains-dan-keruhanian/.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. (2008). Islam
Bersifat Terbuka diakses pada 16 November 2012 daripada http://www.islam.gov.my/e-hadith/islam-bersifat-terbuka.
Mohd Yusof Othman. (2009). Sains, Masyarakat dan
Agama. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Shaharir Mohamad Zain. (2010). Laris, Terhiris dan Tergores: Ulasan
Buku Quran Saintifik Karya Dr. Danial Zainal Abidin diakses pada 27 Oktober
2012 daripada http://www.kesturi.net/archives/category/buku/page/2
Shahir Akram Hassan. (2012). Penaakulan Mantik Imam Abu Hanifah. Kertas
Kerja The 7th ISDEV International Graduate Workshop. Universiti
Sains Malaysia. 30-31 Oktober.
Sheikh
Abdullah Basmeih. (2001). Tafsir
Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran. Kuala Lumpur:
Darul Fikri.
Smithson, J. (Producer). (2011). Curiosity: Did
God Created the Universe?. New York: Discovery Channel.
Syed Muhamad Dawilah Al-Edrus. (1993). Epistemologi
Islam: Teori Ilmu dalam al-Qur’an. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
terima kasih atas perkongsian, sangat membantu dari segi ilmu dan gaya penulisan. Semoga dimurahkan rezeki.
Jazakallahu khair.