Ilmu Sains Alat Mengenal Pencipta [30 Januari 2014]
Sains sebagai Ilmu Alat Bukan Ideologi
Masyarakat
Akidah
merupakan acuan daripada Allah SWT yang bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Setiap umat Islam wajib meyakini bahawa Allah SWT merupakan
Pencipta yang mengatur perjalanan alam ini sejak dari permulaan ia diciptakan sehinggalah
kepada pengakhirannya kelak. Antara cabang ilmu yang menjadi instrumen penting
untuk membuktikan kewujudan Allah SWT adalah ilmu sains. Sains sangat
mementingkan penelitian secara sistematik terhadap sesuatu fenomena yang membolehkan
manusia mengetahui sifat fenomena tersebut dan dapat membuat andaian perkara
yang boleh berlaku melalui penjelasan sebab dan akibat (causality). Walau
bagaimanapun, era kemajuan sains dan teknologi kini menyaksikan terdapat fahaman
yang terlalu menekankan kepercayaan bahawa sains berupaya untuk meramal masa
hadapan sehingga mereka menafikan kebergantungan manusia dengan Allah SWT.
Fahaman seperti inilah dikenali sebagai saintisme.
Fahaman saintisme yang bermula
sejak Revolusi Sains sekitar abad ke-16 dan 17M di Barat membawa suatu bentuk pemikiran
yang melakukan ‘penyembahan intelektual’ (intellectual idolatry). Ia dianuti
oleh segelintir masyarakat yang terlalu mengagumi kemajuan
sains moden. Antara
pegangan asas golongan ini adalah mereka meyakini dan mempercayai bahawa hanya
pemerhatian dan penghujahan logik merupakan kaedah yang paling tepat untuk
memperolehi ilmu pengetahuan sehingga menolak kaedah-kaedah yang menggunakan
sumber ilmu lain seperti al-Qur’an dan al-Sunnah. Sememangnya Islam tidak
menolak kaedah pencerapan dan penghujahan logik akal. Hal ini kerana di dalam
al-Qur’an sendiri mengajak manusia untuk memerhati dan berfikir. Firman Allah
SWT yang bermaksud:
“Tidakkah
kamu memerhatikan bahawa Allah telah menciptakan langit dan bumi dengan hak
(benar)?…” (Surah Ibrahim ayat 19).
Firman-Nya
lagi yang bemaksud:
“Sesungguhnya
pada kejadian langit dan bumi serta pada pertukaran malam dan siang, ada
tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi
orang-orang yang berakal.” (Surah Ali ‘Imran ayat 190).
Namun, fahaman saintisme ini terlalu
mengagung-agungkan pengetahuan sains dan kaedah saintifik. Ia seolah-olah
seperti ‘dewa’ yang mampu menyelesaikan setiap inci permasalahan manusia. Pembangunan
berasaskan fahaman saintisme ini sangat mementingkan kebendaan dan bersifat materialistik
serta menolak nilai-nilai keinsanan dalam diri manusia. Malah, ia juga tidak
membuka ruang bagi perbincangan perkara-perkara yang berunsurkan kerohanian
seperti nafsu dan roh serta alam ghaib seperti syurga dan neraka. Hal ini
dilihat bersalahan dengan akidah Islam. Bagi penganut fahaman ini, semua bentuk
kegiatan berkenaan dengan agama dan kerohanian dipandang tidak rasional serta
kepercayaan yang lahir daripadanya dikatakan tahyul dan merintangi kemajuan.
Islam sebagai agama yang lengkap
telah hadir membawa cahaya kebenaran kepada seluruh umat manusia. Komprehensifnya
ajaran Islam ini tidak menghalang ilmu sains dan teknologi dikembangkan namun
ia harus mematuhi batas syariat yang ditetapkan oleh Allah SWT. Dalam perkataan
lain, elemen tauhid perlu menjadi paksi dan pendinding untuk membezakan antara akidah
Islam dengan ideologi dan falsafah pemikiran manusia selain Islam. Sungguhpun
begitu, ajaran Islam tidak melarang umatnya menuntut ilmu pengetahuan seperti
sains dan teknologi daripada pakarnya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“… oleh
itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak
mengetahui.”
(Surah al-Nahl ayat 43)
Oleh itu, ajaran Islam sangat menggalakkan
umatnya mempelajari perkara yang memberi kebaikan kepada masyarakat umum selagi
acuan yang dipakai adalah berlandaskan tauhid. Hakikatnya, fahaman saintisme
ini menampilkan suatu serangan pemikiran dalam bentuk yang rasional dan
mencanangkan fahamannya sebagai suatu bentuk cara berfikir manusia moden. Justeru,
umat Islam seharusnya memahami bahawa ilmu sains seharusnya menjadi ilmu alat
untuk mengenal dan memahami tabii alam ciptaan Allah SWT yang serba indah ini,
bukan menjadi suatu ideologi yang mampu memberi kesan negatif kepada akidah
seseorang Muslim.
Secara keseluruhannya, umat Islam
seharusnya memperkukuhkan diri dengan akidah yang mantap dalam mengahdapi
cabaran pemikiran semasa serta menghadang diri daripada terjerumus dengan
fahaman-fahaman seperti saintisme ini yang jelas bertentangan dengan konsep ketauhidan
kepada Allah SWT.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Macammana? Bagaimana mendalami Sains untuk mengenal pencipta?. Setakat ini sekadar cakap ,cakap dan cakap. Retrorik dan berslogan.
Tetapi bagaimana?. Apa cara? Apa kaedah? Apa hujah? Apa teori? untuk mengenal Allah menerusi Sains?.
Kasi ceritalah.