Petunjuk Wahyu Pandu Akal Mengenal Tuhan [22 Disember 2013]
Fitrah Bertuhan Berasaskan Wahyu
Manusia
diberikan kelebihan akal yang membezakan peranan manusia dengan makhluk-makhluk
lain seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Menurut Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’
Ulumuddin, kerohanian manusia turut terkomposisi bersama nafsu dan hati.
Ketiga-tiga komponen spiritual ini merupakan pemberian Tuhan yang menuruti fitrah
diri manusia serta masing-masing mempunyai fungsinya yang tertentu. Sudah pasti
pemberian ini akan membawa manusia secara semula jadi untuk mengenal Pemberinya
dengan fitrah bertuhan. Melalui naluri tersebut, jiwa manusia terdorong untuk
memenuhi keinginannya dalam memperhambakan diri kepada suatu kuasa yang lebih
tinggi sebagai tempat bergantung dalam kehidupan. Keberadaan elemen inilah yang
menyebabkan manusia ingin melakukan penyembahan atau amalan ritual yang seumpamanya.
Apabila
disemak kembali sejarah kemunculan amalan-amalan ritual manusia, semuanya wujud
berdasarkan pengharapan mereka untuk dijauhkan daripada sebarang bencana.
Misalnya penyembahan berhala bermula sejak zaman Nabi Nuh a.s, penyembahan matahari
oleh kaum Saba’, penyembahan api oleh penganut Majusi, malah tidak kurang juga
penyembah-penyembah manusia seperti yang berlaku pada zaman Firaun. Semua ini
bermatlamatkan untuk keselamatan diri sendiri dan menghapus dosa mereka (salvation).
Walau bagaimanapun, keinginan amalan penyembahan berhala atau taghut ini
tidak berasaskan petunjuk dan bimbingan yang benar. Penyembahan yang dilakukan itu
semata-mata menurut kehendak nafsu mereka. Malah mereka sekadar mengikut amalan
nenek moyang mereka secara bertaklid. Secara rasionalnya, adakah sesuatu pegangan
itu dikatakan benar apabila manusia melantik batu yang diukir manusia, api,
matahari dan makhluk lainnya yang tidak mempunyai sebarang kekuatan untuk
disembah dan menjadi tempat memohon pertolongan? Justeru, Allah SWT memberi analogi
dalam Surah al-Ankabut ayat 41 hingga 42 bahawa golongan yang memohon
pertolongan daripada makhluk adalah seperti labah-labah yang membuat sarang
yang sangat rapuh. Jelaslah bahawa dorongan nafsu yang tidak berpaksikan akal
yang sihat untuk menilai hakikat kebenaran mengakibatkan mereka berada pada
landasan yang salah.
Dari
konteks peranan akal untuk mengenal Tuhan pula dapat dilihat dengan teknik golongan
ahli falsafah Yunani silam misalnya Aristotle. Meskipun beliau bijak dalam
menganalogikan kewujudan Tuhan menggunakan senjata logik, namun kekuatan
inteleknya masih tidak mampu mencapai hakikat kekuasaan Tuhan yang menciptakan
segala yang ada di langit dan di bumi. Hal ini kerana Aristotle membataskan
skop ‘Tuhan’ sebagai kuasa yang tidak mengambil tahu mekanisme alam semesta selepas
Ia menciptakannya. Pendapat tersebut adalah untuk meluaskan peranan dan
kemampuan akal melebihi segala-galanya. Situasi ini lebih membimbangkan dengan
hujah rasional ahli sains yang mahu menolak kewujudan Tuhan pada zaman ini. Skop
perbincangan intelek manusia juga lebih bersifat materialistik sehinggakan
mereka tidak menghiraukan perkara yang berhubung dengan spiritual. Malah, akal
manusia juga dinisbahkan kepada organ dalam kepala manusia iaitu otak. Penyempitan
fungsi akal kepada fungsi otak manusia menyebabkan akal yang sepatutnya menjadi
alat untuk memahami alam dan mengakui kebesaran Tuhan telah menjadi sebaliknya.
Hal
ini boleh dilihat melalui kenyataan Profesor Stephen Hawking, ahli kosmologi terkenal
dalam bukunya bertajuk The Grand Design menyatakan bahawa sains moden tidak meninggalkan ruang untuk kewujudan
Pencipta. Malah bagi beliau, sains itu
sendiri boleh menjelaskan asal-usul
alam semesta kerana terdapatnya
undang-undang seperti graviti dan sebagainya. Justeru,
kekaguman ahli sains kepada penemuan sains moden semata-mata juga menjadikan
akal mereka tidak mampu untuk berfungsi untuk meyakini kewujudan Tuhan.
Oleh
itu, manusia memerlukan panduan wahyu daripada Tuhan yang Maha Benar (al-Haq).
Hakikatnya, Allah SWT tidak membiarkan hamba-hamba-Nya tersesat dalam kekaburan
nafsu dan akal untuk mengenal Tuhan yang sebenar. Oleh yang demikian, Allah SWT
mengutuskan para Rasul sebagai penyampai risalah kebenaran kepada manusia. Risalah
kebenaran inilah yang disebut wahyu yang terbahagi kepada dua iaitu al-Qur’an (wahyu
secara langsung) dan Hadith (wahyu secara tidak langsung). Sememangnya wahyu merupakan
sumber yang tepat dalam memberitakan mengenai perkara-perkara ghaib (intangible)
dan alam malakut (metafizik). Oleh itu, manusia seharusnya meletakkan al-Qur’an
dan Hadith sebagai sumber yang berautoriti agar ia menjadi pembimbing kepada
akal dan nafsu. Wahyu tidak bertentangan dengan akal manusia kerana akal
digunakan untuk memahami ayat-ayat al-Qur’an dan saranan Hadith. Nafsu pula
bukanlah perkara yang perlu dihapuskan tetapi ia merupakan suatu entiti dalam kerohanian
manusia yang perlu dididik. Malah, cara mendidik nafsu banyak diterangkan dalam al-Qur’an dan Hadith itu sendiri.
Kesimpulannya,
akal perlu dipandu dan nafsu manusia perlu ditarbiah dengan petunjuk wahyu
dalam memahami fitrah bertuhan yang hakiki. Hal ini kerana, manusia sewaktu di
alam roh lagi telahpun membuat penyaksian bahawa Allah SWT adalah Tuhan kepada
seluruh alam seperti yang dimaktub dalam Surah al-A‘raf ayat 172. Fitrah
bertuhan berasaskan wahyu inilah yang dapat membangunkan insan yang mempunyai
hala tuju penyembahan (ibadah) dan matlamat hidup yang jelas iaitu mencapai keredhaan
Allah SWT.
0 Comments to "Petunjuk Wahyu Pandu Akal Mengenal Tuhan [22 Disember 2013]"
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Catat Ulasan