Isu-Isu Epistemologi Menurut Perspektif Islam
Suntingan Semula: Epistemologi Menurut Perspektif Islam – Beberapa Isu Pilihan untuk Diskusi
Oleh: Prof Osman Bakar
Mana-mana
epistemologi – teori ilmu – semestinya berkemampuan menghubungkaitkan dengan
jelas antara dua perkara, iaitu objek yang diketahui dan subjek yang
mengetahui. Perkara yang membezakan sesuatu epistemologi dengan epistemologi
yang lain adalah tanggapan terhadap ruang lingkup realiti objek dan ruang lingkup
realiti subjek yang dapat diterima sebagai meyakinkan. Aliran utama
epistemologi moden umpamanya yang sebenarnya merupakan ciptaan pemikiran Barat
didapati berbeza dengan epistemologi Islam pada umumnya dari segi tanggapan
terhadap kedua dua ruang lingkup ini. Di Barat terdapat sebilangan ilmuwan dan
pemikir yang berpegang pada epistemologi yang hampir serupa dengan epistemologi
Islam. Tetapi mereka ini merupakan golongan minoriti.
Akal bukan terletak dalam otak |
Adalah
jelas bahawa konsep realiti sangat mempengaruhi epistemologi. Bagi majoriti
ilmuwan dan pemikir dalam peradaban Barat moden, perkara yang diakui sebagai realiti
adalah terbatas kepada apa yang dapat disaksikan oleh pancaindera atau yang dapat
disahkan oleh kaedah empirikal. Perkara yang tidak dapat dibuktikan dengan
menggunakan kaedah ini disangsikan kewujudannya atau pun ditolak sarna sekali. Kaedah
saintifik dijadikan penentu tunggal kewujudan sesuatu. Isunya, konsep
pembuktian kebenaran terbatas kepada penggunasuaian kaedah saintifik tetapi
makna dan pengertian saintifik itu sendiri disempitkan kepada pengetahuan
empirikal. Tegasnya, ruang lingkup realiti objek menurut aliran pemikiran ini
adalah terbatas kepada alam fizikal.
Berbeza
kedudukannya dengan konsep realiti dalam pemikiran Islam. Menurut al-Qur’an
realiti objek yang dapat diketahui mencakupi seluruh alam semesta dan Penciptanya
yakni Allah SWT. Alam semesta yang wujud di luar diri manusia bersifat hierarki.
Maksudnya, ia memiliki berbagai tingkat wujud atau eksistensi. Selain alam fizikal,
wujud alam bukan fizikal yang juga dapat diketahui oleh manusia. Alam semesta
atau kosmos yang diperlihatkan oleh al-Qur’an terbahagi secara kasarnya kepada
tiga tingkat wujud dengan sifat realiti masing-masing.
1. Realiti
tingkat terendah adalah realiti fizikal atau dunia material.
2. Realiti
tingkat tengah adalah realiti psikik atau animistik yang juga disebut sebagai
dunia halus. Dari segi peristilahan keagamaan di dalam al-Qur’an, realiti ini
merujuk kepada dunia jin yang dicipta daripada api yang bukan fizikal.
3. Realiti
tingkat teratas adalah realiti spiritual. Dalam al-Qur’an, realitas ini merujuk
kepada dunia malaikat yang menurut Hadith adalah dicipta daripada cahaya.
Juga
menurut al-Qur’an, realiti subjek yang dapat diketahui mencakupi seluruh apa yang
disebut oleh Sayyidina ‘Ali RA sebagai alam kecil (al-‘alam al-saghir).
Di Barat ia dikenali dengan istilah microcosm. Alam ini merujuk kepada
alam diri manusia yang juga terbahagi kepada beberapa tingkat wujud dengan sifat
realiti masing-masing. Al-Qur’an menegaskan: “Dia memulai penciptaan manusia
dari tanah. Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan ruhnya ke dalam (tubuh
manusia) dan Dia menjadikan bagi kamu (fakulti) pendengaran, penglihatan dan
hati tetapi kamu sedikit sekali bersyukur.” (al-Sajdah, 32:7-9). Fakulti
pengetahuan manusia meliputi pancainderanya, fakulti-fakulti batin (internal)
seperti fakulti ingatan dan daya khayal, fakulti rasional dan spiritualnya,
yakni akal dan hati (qalb). Fakulti-fakulti yang membentuk realiti subjek
inilah yang memungkinkan manusia mengetahui realiti alam semesta yang
bertingkat-tingkat wujudnya dalam suatu hierarki.
Epistemologi
Islam menegaskan bahawa setiap disiplin ilmu atau sains dicirikan oleh empat
perkara berikut:
1.
Ada mauduk
(subject matter) yang diberi definisi yang jelas;
2.
Ada
premis-premis (muqadammat) yang diandaikan benar tetapi kebenarannya
tidak boleh dibuktikan dalam ilmu tersebut; kebenaran premis-premis disiplin
ilmu itu perlu dibuktikan dalam disiplin ilmu yang dikira lebih tinggi
kedudukannya dari segi tahap kebenaran yang dibicarakan;
3.
Ada perkaedahan
(tariqah) yang khusus baginya;
4.
Ada objektif-objektif
(ahdaf) khusus bagi disiplin berkenaan.
Dibentangkan
pada: Diskusi Pakar “Krisis Epistemologi di Perguruan Tinggi”, FUF UIN Syarif
Hidayatullah, Jakarta Indonesia, 23 Mei 2008.
0 Comments to "Isu-Isu Epistemologi Menurut Perspektif Islam"
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Catat Ulasan