Khutbah Terakhir Nabi Muhammad SAW
Allahumma salli 'ala saiyidina Muhammad |
Tarikh:
9 Zulhijjah 10 H
Tempat:
Lembah Uranah, Gunung Arafah.
Wahai
manusia, dengarlah baik baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak mengetahui
apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Wahai
manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini, dan kota ini sebagai suci, maka
anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan
harta yang diamanah kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah sakiti
sesiapa pun, agar orang lain tidak menyakiti kamu pula.Ingatlah bahawa
sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan dia pasti membuat perhitungan di
atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba’, oleh itu segala urusan
yang melibatkan riba’ dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan
demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu
dalam perkara perkara besar, maka berjaga jagalah supaya kamu tidak
mengikutinya dalam perkara perkara kecil.
Wahai
manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga
mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas
kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana
kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah
terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang
setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan
orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai
manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikan
sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikan zakat
dan harta kekayaan kamu, kerjakan ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah
bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah
sama, tidak saorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa
dan beramal soleh. Ingatlah, bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari
untuk di pertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh
itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran
selepas ketiadaanku.
Wahai
manusia, tidak ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak
akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan
fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu. Sesunguhnya, aku
tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan
mengikut kedua keduanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya,
itulah al-Quran dan Sunnahku. hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku,
menyampaikannya kepada orang lain, dan hendaklah orang lain itu menyampaikan
pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari
mereka yang mendengar terus dariku.
0 Comments to "Khutbah Terakhir Nabi Muhammad SAW"
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Catat Ulasan