Kenali Kemurungan dan Tips Mengatasi

Oleh: Hjh. Kamaliah Abu (Ketua Pegawai Psikologi, UiTM)
28 September 2011

Pengenalan
Kemurungan (depression) adalah salah satu penyakit psikologi yang melibatkan tekanan perasaan yang serius kepada individu baik lelaki atau wanita, kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas. Ia melibatkan rasa kesedihan, kepiluan, kecewa, putus atau  putus harapan, hilang semangat untuk meneruskan kehidupan  yang bermakna dan gembira. Kehidupan dirasakan sunyi dan kosong. Kemurungan yang berlarutan boleh memberi implikasi yang buruk kepada individu. Selain dari terganggu  emosi, individu berkaitan juga akan terganggu fungsi fizikal dan interaksi sosialnya. Rawatan perubatan dan bantuan psikoterapi  dan kaunseling perlu diberi seawal mungkin kepada  mereka yang terlibat.

Punca Kemurungan
  • Mengalami peristiwa trauma yang tidak dapat diterima oleh pesakit. Antaranya:
    • Kehilangan orang yang penting dalam kehidupan secara mendadak seperti meninggal dunia atau berpisah. Pesakit tidak bersedia untuk menghadapi keadaan tersebut. Kebiasaannya mereka adalah orang yang amat dikasihi, disayangi atau dicintai.
    • Kehilangan maruah diri tanpa kerelaan hati.
  • Mengalami penyakit berat dan berpanjangan yang menyebabkan pesakit hilang keupayaan diri. Fungsi diri terbatas dan tidak boleh menjalankan peranan kehidupan yang sewajarnya (peranan sebagai isteri atau suami atau ahli keluarga).
  • Mengalami masalah berat yang tidak mampu diatasi dan ia menjadi bebanan kehidupan (contoh: kegagalan dalam kerjaya atau kegagalan dalam rumahtangga).


Tanda-tanda Kemurungan
  • Kesedihan, kepiluan, kesepian (loneliness), jiwa kosong (emptiness) yang berpanjangan.
  • Gangguan tidur, sukar tidur (insomnia) atau berlebihan tidur.
  • Cepat letih, lesu dan tidak bermaya atau bertenaga.
  • Gangguan selera makan, hilang selera atau makan berlebihan (tanpa kenikmatan).
  • Amat sensitif, pendiam dan suka mengasingkan diri.
  • Perasaan pesimistik, hilang semangat, putus asa atau putus harapan.
  • Hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti-aktiviti lain yang biasanya mendatangkan keseronokan.
  • Rasa bersalah atau menyalahkan diri atas peristiwa buruk yang berlaku.
  • Rasa hidup tidak bermakna atau “lebih baik mati”. Ia tidak semestinya bermaksud keinginan untuk bunuh diri, tetapi suka jika kematian berlaku pada diri. Hal ini menyebabkan pesakit tidak cenderung untuk mengurus diri dan dan membiarkan kesihatan dan keselamatan diri terganggu. Pemikiran dan tindakan percubaan bunuh diri boleh juga berlaku pada pesakit jika kemurungan berlarutan tanpa bantuan atau rawatan.
  • Rasa tidak tenteram dan mudah marah.
  • Kurang daya tumpuan, sukar membuat keputusan.
  • Terlalu bergantung kepada ubat-ubatan, alkohol atau dadah.
  • Simptom-simptom fizikal seperti sakit kepala, sakit belakang, sakit sendi dan gangguan penghadaman, loya serta semput.

Tips Untuk Mengatasi
  • Sentiasa hargai, sayangi dan jaga diri sendiri. Bantulah diri sebaik mungkin dengan mendekatkan diri kepada Allah, pasrahkan diri dan redha dengan ketentuan-Nya. Keredhaan dan keikhlasan itu adalah penawar. Allah akan memberi yang terbaik selagi kita memohon kepada-Nya. Akan ada hikmah di sebalik sesuatu yang berlaku. Yakinkan diri kita.
  • Elakkan bersendirian. Berhubunglah dengan rakan taulan dan saudara-mara yang boleh kita harapkan. Jika harus bersendiri banyakkan ibadat dan mengingati Allah dengan berzikir.
  • Dapatkan bantuan segera apabila sedar berlaku  salah satu simpton di atas. Jangan tunggu sehingga semua  simpton tersebut berlaku.  Keadaan mungkin akan lebih sukar untuk dipulihkan. Bertemu dengan pakar perubatan, psikoterapis, kaunselor atau orang-orang yang berkebolehan membantu.
  • Jika terasa ingin menangis, menangislah untuk menghilangkan  sebak di dada. Menangis adalah fitrah manusia. Apa yang perlu dielakkan adalah menangis dengan ratapan. Ratapan akan didengar oleh perasaan kita. Ia boleh melemahkan perasaan.
  • Kuatkan semangat dengan mengingatkan diri terhadap tanggungjawab kita kepada orang lain. Pada keluarga, rakan taulan, rakan sekerja dan orang-orang lain yang memerlukan kita. Jika kita terperangkap dengan kemurungan, ia akan memberi kesan kepada mereka.
  • Baca buku-buku yang boleh membina semangat dan motivasi diri.
  • Jangan menyalahkan diri dan menghukum diri kerana kelemahan yang berlaku.
  • Libatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang membuatkan anda rasa selesa dan tenang.
  • Tingkatkan kesihatan diri dengan mengambil makanan yang sihat dan teratur.
  • Belajar sedikit demi sedikit untuk menerima kehilangan yang berlaku dan mulakan penghidupan baru. Yang pergi hanyalah jasad tetapi cinta dan kasih sayangnya tetap ada di hati kita. Teguhkan semangat dengan tersebut.
  • Jika hilang sesuatu yang berharga pada diri, binalah yang baru kerana semua itu terletak pada diri sendiri. Orang yang paling penting untuk berusaha mengembalikan kebahagiaan dan keharmonian hidup kita adalah diri kita sendiri.

1 Comment to "Kenali Kemurungan dan Tips Mengatasi"

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft