Ulasan Serba Ringkas Buku 'Luqmanul Hakim adalah Socrates Berkulit Hitam'

Secara umumnya, buku ini ditulis oleh Wisnu Sasongko @ Muhammad Alexander berasal daripada Indonesia. Setakat ini beliau telah menulis sebanyak 4 buah buku yang tebalnya sekitar 700 muka surat semua sekali.

Secara zahirnya, buku ini ada tiga bahagian. Bahagian pertama bertajuk 'Mengenali Socrates' yang mengandungi 5 bab. Bahagian kedua bertajuk 'Hikmah Socrates' yang mengandungi 10 bab. Dan bahagian ketiga bertajuk 'Kematian Socrates' yang mengandungi 3 bab dengan 1 bab Kesimpulan.

Secara ringkasan isinya, buku ini mencari siapakah di sebalik Luqman al-Hakim yang Allah SWT bicarakan dalam al-Qur'an. Penulis yakni
Wisnu Sasongko meletakkan calon Luqman iaitulah Socrates. Umum mengetahui bahawa Socrates adalah ahli falsafah Yunani silam yang hidup sekitar 400-300 SM. Banyak penulis Barat menyifatkan beliau sebagai seorang yang berkulit putih seperti bangsa-bangsa Yunani yang lain. Malah, beliau juga dikaitkan dengan tuduhan sebagai seorang lelaki yang melawan tabiinya dan beragama paganisme (politeisme) seperti anutan bagsa Yunani ketika itu. Namun, Wisnu Sasongko berusaha mengemukakan hujahnya bahawa Socrates bukanlah seperti yang disifatkan penulis Barat, malah beliaulah calon Luqman al-Hakim dalam al-Qur'an. Buktinya diutarakan dalam dua sudut. Pertama, sudut fizikal sebenar Socrates; dan kedua, kaedah Socrates berfalsafah.



1. Socrates adalah lelaki berkulit hitam, berbibir tebal, berhidung kemek, anak kepada seorang hamba dan seorang hamba abdi. Dalam bahasa mudah beliau berketurunan Negro.
--> Hal ini dilihat dalam sebuah Hadith Rasulullah SAW bahawa Luqman al-Hakim yang hidup di zaman Nabi Daud adalah seorang yang berkulit hitam. Memang terdapat khilaf antara ulama Hadith tentang kesahihan Hadith tersebut. Namun, WS menyatakan bahawa Hadith tersebut adalah sahih. Sebagai bukti, sila Google imej Socrates dan anda akan dapati wajahnya berbeza dengan Plato, Aristotle dll.

2. Socrates adalah seorang ahli falsafah yang suka menyampaikan kebenaran atau persoalan ketuhanan melalui kaedah soal-jawab atau kaedah dialektik.
--> Hal ini dilihat dengan keselarasan antara isi kandungan al-Qur'an dengan hikmah-hikmah yang disampaikan (didakwah) oleh Socrates kepada anak-anak muda Athens. Ucapan-ucapan ini dibukukan semula oleh beberapa orang muridnya antaranya Plato dan Xenophon. Kesemua nasihatnya dilihat selari dengan isi kandungan al-Qur'an.

Persoalannya, bagaimanakah Socrates dikatakan seorang penganut paganisme? Mengapakah beliau dituduh sebagai lelaki berperilaku luar tabii? Dari manakah Socrates mendapat ilmu ketuhanan sekiranya benar dia seorang monotheisme? Apakah sebab utama penulis Barat menyembunyikan identiti beliau seorang berkulit hitam? Malah di akhir hayatnya dia dihukum bunuh oleh pemerintah Athens, mengapakah ia berlaku? Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, silalah beli dan baca sendiri buku ini. Wisnu Sasongko buat buku ini agar kalian beli dan membacanya, insha-Allah tak rugi.

1 Comment to "Ulasan Serba Ringkas Buku 'Luqmanul Hakim adalah Socrates Berkulit Hitam'"

  1. Tanpa Nama

    Sangat menarik. Terima Kasih.

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft