Kontradiksi Hukum Akal dan Hukum Wahyu (Bagaimana Menjaga Islam?)

Aminah Wadud berfahaman liberal

Oleh: Mohd Syahmir bin Alias (Tugasan Sumber dan Prinsip Perundangan Islam)
 
Fahaman Islam Liberal dan Sekularisme

“’Wahai orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam keamanan (agama Islam) dengan sepenuhnya dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan.’ Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.” (Surah Al-Baqarah, ayat 208)

Pada abad ini, kita dapat melihat pelbagai peperangan saraf yang cuba dilakukan oleh pihak yang memusuhi Islam untuk menolak kebenaran agama ini. Antaranya adalah penyebaran fahaman-fahaman ataupun isme-isme yang menyelinap secara halus dalam memporak-perandakan kesyumulan Islam. Fahaman yang semata-mata berasaskan akal fikiran ahli-ahli falsafah yang tidak berpegang kepada agama ini telahpun menyerang banyak negara yang mempunyai ramai umat Islam. Pendokong fahaman sekularisme dan liberalisme ini telah berjaya memisahkan hal agama daripada perihal pentadbiran negara, perundangan, ekonomi, politik malah sistem pendidikan dan mereka memahami agama dengan tafsiran akal sahaja.

Menurut Syed Naquib Al-Attas dan Dr. Yusuf Qaradhawi, dua orang ulama kontemparari ini sepakat mengatakan bahawa fahaman sekular ini telah dipelopori oleh ahli falsafah Yunani, Aristotle. Aristotle berpendapat bahawa Tuhan tidak mempunyai hubungan dengan alam, tidak mengambil peduli dengan keadaan di alam ini dan tidak mengurus tadbirnya. Justeru, mereka yang meletakkan agama ke tepi dan hanya tertakluk kepada perkara-perkara ibadah khususi semata-mata sudah pastinya menyimpang daripada apa yang difirmankan Allah dalam ayat di atas.

Jenayah Murtad

“Hak Asasi Manusia” adalah satu agama yang sedang berkembang pesat kini dipelopori pejuang sosialis. Kepesatannya menyebabkan sebahagian umat Islam, yang sebelum ini memang menghadapi masalah sikap kekerdilan diri, terpengaruh dengannya. Mereka berpandangan Islam juga memberi perhatian kepada “Hak Asasi Manusia”, tetapi tidak tahu apa dan bagaimana. Akhirnya mereka mencairkan Islam agar ia larut ke dalam agama “Hak Asasi Manusia” buatan manusia. Bersama slogan ini, mereka meletak beberapa syubhat, iaitu keraguan dan kesamaran, ke dalam syariat Islam, terutamanya berkenaan hukuman hudud bagi kes murtad.

Murtad atau orang yang berpaling dari agama Islam dihukum dengan hukuman bunuh kerana Islam sangat menitikberatkan penjagaan agama seseorang individu Muslim. Sesetengah manusia dengan sewenang-wenangnya mentafsirkan ayat 256, Surah Al-Baqarah:

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)…”
            
Oleh kerana orang-orang yang ingin keluar Islam ini merasai mereka mempunyai hak untuk memilih agama, tanpa menghiraukan hukum Allah, ada sesetengah yang berani mengisytiharkan murtad mereka di khalayak ramai. Namun, syariat Islam menjatuhkan hukuman bunuh ke atas jenayah murtad kerana ia adalah satu perbuatan yang merosakkan agama Islam dan dasar-dasar kemasyarakatannya. Jika jenayah ini dipandang ringan, seluruh sistem kemasyarakatan Islam akan roboh. Maka hukuman yang berat dikenakan atas tujuan menghapuskan kes murtad dan menghindari orang lain daripada melakukannya. Demikianlah, hukuman itu selayaknya dikenakan kepada pemurtad yang mengisytiharkan dirinya murtad.

0 Comments to "Kontradiksi Hukum Akal dan Hukum Wahyu (Bagaimana Menjaga Islam?)"

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft