Kontradiksi Hukum Akal dan Hukum Wahyu (Pengantar)


Oleh: Mohd Syahmir bin Alias (Tugasan Sumber dan Prinsip Perundangan Islam)
 
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.” (Surah Ali Imran, ayat 190)

             Mafhum firman Allah s.w.t dalam Surah Ali Imran ayat 190 di atas telah cukup untuk menggambarkan kepada kita bahawa manusia, makhluk ciptaan-Nya yang dikurniakan akal sudah pastinya berbeza dengan makhluk-makhluk lain. Akal yang telah dimasukkan dalam diri setiap manusia itu sudah pastinya mempunyai perbezaan dari sudut kemampuan berfikir. Ada sekelompok manusia yang mampu memfokuskan pemikirannya terhadap perkara-perkara saintifik, begitu juga bagi sebahagian manusia yang menjuruskan pemikiran mereka ke arah ekonomi, perundangan dan sebagainya.

            Jika kita melihat daripada konteks hukum akal ataupun dengan erti kata lain, hukum yang manusia itu sendiri menciptanya, akal merupakan satu sifat yang dijadikan Allah sebagai pembeza manusia dengan makhluk lain. Namun begitu, hukum yang akal manusia fikirkan tidaklah sesempurna hukum yang Allah s.w.t tetapkan. Hal ini kerana, manusia juga tidak terlepas daripada terikut-ikutkan nafsu dan hasutan syaitan. Oleh yang demikian, sudah pasti perundangan yang manusia cipta itu mempunyai kelemahan dan kepentingan baik kepada diri sendiri, bangsa tertentu mahupun kepentingan politik.

            Hal ini bermakna, akal yang diberikan oleh Allah kepada manusia mempunyai keterbatasan dalam memikirkan sesuatu. Oleh itu, Allah s.w.t menjelaskan perkara yang menjangkaui batas pemikiran manusia melalui kalam-Nya yakni Al-Quran. Sejenak, Al-Quran didefinisi sebagai kalam Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan Jibrail a.s di dalam bahasa Arab bermula dari Surah Al-Fatihah hingga Surah An-Nas ditulis dalam mushaf yang periwayatan secara mutawwatir dan menjadi ibadah apabila membacanya.

            Jelaslah, melalui pengertian dari sudut istilah syarak ini, dapat kita ungkapkan setiap wahyu yang diturunkan Allah inilah yang menjadi penyatu kepada pelbagai kaedah pemikiran manusia yang menggunakan akal mereka. Al-Quran merupakan sumber rujukan utama perundangan Islam dengan kesepakatan para ulama di seluruh dunia. Oleh yang demikian, segala hukum yang datang daripada Al-Quran wajib dipatuhi oleh setiap umat manusia yang beragama Islam, sepertimana firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat…” (Surah An-Nisa, ayat 59)

            Hukum wahyu atau undang-undang yang ditetapkan oleh Allah ini dari sudut istilahnya bermaksud hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t kepada manusia yang merangkumi aspek akidah, ibadah, syariah, politik, sosial, makanan dan minuman serta akhlak, yang perlu diyakini dan dipatuhi untuk kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Berdasarkan pengertian ini, dapat disimpulkan tujuan hukum wahyu ini ditetapkan kepada sekalian manusia adalah untuk menjaga agama, nyawa, akal, maruah dan harta. Kelima-lima aspek ini menjadi tunjang utama bagi perlaksanaan hukum-hukum Allah.

0 Comments to "Kontradiksi Hukum Akal dan Hukum Wahyu (Pengantar)"

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft