Intipati Sebenar Dunia Material (Siri II)

Ringkasan: ‘Keabadian Masa dan Hakikat Takdir’ tulisan Harun Yahya
             
Semua yang kita lihat, sentuh, dengar, hidu, rasa dan terima sebagai material, dunia malahan alam semesta tidak lebih daripada isyarat-isyarat elektrik yang berlaku di dalam otak kita.

“Dunia Luar” di dalam Otak Kita
            
 Satu lagi fakta yang perlu diambil kira iaitu perasaan kita tentang jarak. Jarak hanyalah satu perasaan kekosongan yang terbentuk di dalam otak. Objek yang kelihatan berjarak pada pandangan seseorang juga wujud di dalam otak. “Dunia luar” yang disampaikan kepada kita oleh persepsi kita sebenarnya adalah himpunan teraan elektrik yang sampai ke otak kita. Dalam kehidupan kita, isyarat-isyarat ini diproses oleh otak sehingga kita tidak sedari bahawa kita telah tersalah anggap dengan menyangka semuanya itu adalah versi asal kebendaan yang wujud di “dunia luar”. Walau bagaimapun, hakikatnya, kita tidak dapat mencapai kebendaan melalui deria-deria kita dengan sendiri. Kita melihat jasad kita dan menyangka berada di dalamnya, sebaliknya badan kita juga adalah sebuah imej yang terbentuk di di dalam otak.

 
“Dunia luar” bergantung sepenuhnya kepada penerima. Sedikit kerosakan kecil pada retina mata boleh menyebabkan rabun warna. Setengah orang menerima warna biru sebagai hijau, merah sebagai biru, dan beberapa warna lain sebagai tona-tona kelabu yang berbeza. Pada peringkat ini adalah tidak penting sama ada objek di luar berwarna atau pun tidak. Kesimpulannya, kita melihat sesuatu objek berwarna bukan kerana ia mempunyai warna atau kerana ia mempunyai bahan sokongan kewujudannya di luar kita. Material ialah gambaran kepada objek yang sebenarnya berada dalam diri kita dan bukannya di “dunia luar”.

Perlukah Kewujudan “Dunia Luar”?
              
Memandangkan kita tidak dapat mencapai “dunia luar”, jadi bagaimanakah dapat dipastikan bahawa dunia seperti itu benar-benar wujud? Sebenarnya kita tidak boleh, memandangkan setiap objek hanyalah satu himpunan persepsi dan yang hanya wujud di dalam minda kita, lebih tepat untuk mengatakan satu-satunya dunia yang benar-benar wujud ialah dunia persepsi. Satu-satunya dunia yang kita tahu ialah dunia yang dibentuk, dirakamkan dan diciptakan di dalam minda kita. Hanya dunia ini yang kita pasti kewujudannya. Persepsi-persepsi ini mungkin datang daripada sumber-sumber “tiruan”.
             
Mudah sekali bagi kita untuk diperdaya di dalam tanggapan pasif yang nampak seperti benar, tetapi tiada sebarang material berkaitan. Kita sering mengalami perasaan ini dalam mimpi seperti berhadapan dengan peristiwa, melihat manusia, objek dan latar yang kelihatan seakan-akan betul. Sebaliknya, ia tidak lebih daripada sekadar persepsi.Tidak ada perbezaan di antara “dunia mimpi” dengan “dunia sebenar” kerana kedua-duanya berlaku di dalam otak.

Siapakah yang Menerima?
             
Timbul di sini beberapa persoalan, sekiranya semua peristiwa-peristiwa fizikal yang kita ketahui hanyalah tanggapan kita, bagaimana pula dengan otak? Memandangkan otak kita juga adalah sebahagian daripada dunia fizikal seperti tangan, kaki, atau objek-objek lain, ia juga sepatutnya adalah sebuah persepsi, seperti objek-objek lain. Maka, sudah pasti kewujudan yang melihat imej tersebut bukannya otak, tetapi satu “kewujudan yang jauh lebih tinggi”.
             
Apabila otak dianalisis, didapati ia hanyalah molekul-molekul lipid dan protein, yang juga wujud dalam organisma lain. Hal ini bererti otak itu sendiri tiada padanya sebarang “kewujudan yang lebih tinggi” untuk melihat imej, membentuk kesedaran atau untuk menjadikan kewujudan yang kita panggil “diri sendiri”. Kewujudan inilah yang bergandingan dengan persepsi di hadapannya yang menggunakan imej jasad kita yang disebutkan sebagai “ROH”. Oleh itu, “dunia material” adalah sebuah mimpi yang dialami oleh ROH.

“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: ‘Roh itu dari perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja’.” (Surah Al-Isra, 17: 85)

Kewujudan Mutlak Sebenar
            
 Justeru, apakah sumber persepsi-persepsi ini? Memandangkan material adalah suatu tanggapan, oleh itu ia bersifat “tiruan”. Dengan kata lain, ia pasti telah diciptakan. Tambahan pula penciptaan ini berterusan dan konsisten, sehinggakan jika ia tidak konsisten, maka kebendaan ini akan hilang lenyap. Hal ini membuktikan dengan jelas kewujudan Pencipta Yang Agung, yang telah menjadikan seluruh alam material tanpa henti. Memandangkan Pencipta ini memperlihatkan satu penciptaan yang menakjubkan, sudah pasti Dia mempunyai kekuasaan dan kekuatan yang Maha Agung.

Pencipta ini telah menurunkan sebuah kitab untuk menceritakan tentang Dirinya, alam semesta ini dan tujuan kewujudan kita. Pencipta ini ialah ALLAH dan kitab tersebut ialah AL-QURAN.

“Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi supaya tidak berganjak dari peraturan dan keadaan yang ditetapkan baginya dan jika keduanya (ditakdirkan) berganjak maka tidak ada sesiapapun yang dapat menahannya daripada berlaku demikian selain dari Allah. Sesungguhnya Dia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” (Surah Fathir, 35: 41)
             
Sebahagian manusia tidak mempunyai pemahaman yang tepat tentang Allah dengan membayangkan seolah-olah Allah itu berada di atas langit dan tidak campur tangan dalam urusan-urusan duniawi. Asas pemikiran ini berdasarkan kepercayaan bahawa alam semesta ini adalah sebuah himpunan kebendaan dan Allah berada "di luar" daripada ruang material ini iaitu berada di sebuah tempat yang jauh. Tetapi, satu-satunya kewujudan mutlak yang sebenar ialah ALLAH. Segala-galanya melainkan-Nya adalah kewujudan bayangan.

“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia , Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya  mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafa'at (pertolongan) disisiNya melainkan dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedangkan mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah menghendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).” (Surah Al-Baqarah, 2: 255)
             
Hakikat ini mendedahkan bahawa Allah tidak tertakluk dengan ruang dan Dia merangkumi segala-galanya.

“Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, 2: 115)

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” (Surah Qaf, 50: 16)

“Apabila hamba-hambaKu bertanya kepada engkau (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku hampir. Aku memperkenankan permohonan orang yang meminta jika dia meminta kepada Aku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan aku serta beriman kepada Aku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran.” (Surah Al-Baqarah, 2: 186)

“Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya) dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.” (Surah Al-Isra, 17: 60)
            
 Justeru, inilah hakikatnya. Seseorang manusia mungkin tidak mahu menerima hal ini dan merasakan bahawa dirinya tidak bergantung kepada ALLAH (takbur) tetapi dia tidak akan dapat mengubah apa-apa. Sudah tentunya penafian atas ketakburan ini adalah kehendak dan iradat ALLAH. Wallahu’alam. Nantikan rahsia mimpi anda dalam siri seterusnya!!!

1 Comment to "Intipati Sebenar Dunia Material (Siri II)"

  1. Saya tidak mempercayai apa yang saya baca di sini,sebab apa yang saya lihat dan baca di sini hanyalah persepsi semata-mata.Ia adalah ilusi.Tetapi saya mempercayai al-Quran dan Hadis yang saya lihat,pegang dan baca,walaupun berdasarkan perspektif Harun Yahya,al-Quran dan Hadis ini adalah ilusi kerana ia adalah persepsi semata-mata.

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft