Intipati Sebenar Dunia Material (Siri I)

Ringkasan: ‘Keabadian Masa dan Hakikat Takdir’ tulisan Harun Yahya

“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!” (Surah As-Safat, 37: 96)     

Sesiapa yang merenungi alam sekelilingnya dengan penuh kesedaran dan kebijaksanaan akan menyedari bahawa setiap benda di dunia ini sama ada yang hidup atau tidak hidup pasti telah dicipta. Pencipta adalah berbeza dan lebih tinggi daripada apa yang kita lihat dengan mata kita, satu kuasa teragung yang tidak dapat dilihat tetapi kewujudan dan sifat-sifatnya dapat kita rasai pada setiap benda yang wujud.

Kita terlalu dilazimkan dengan andaian terhadap kewujudan benda sehinggakan kita tidak pernah terfikir sama ada ia benar-benar wujud ataupun sekadar kewujudan bayangan. Sains telah memusnahkan andaian ini dan telah mendedahkan hakikat yang sangat penting dan mengagumkan ini.

Dunia Isyarat Elektrik 
Segala maklumat yang kita terima tentang dunia ini telah dihantar kepada kita melalui lima pancaindera. “Dunia luar” yang kita kenali bergantung kepada apa mata yang melihat, tangan yang menyentuh, hidung yang menghidu, lidah yang merasa dan telinga yang mendengar. Tetapi, kita tidak pernah terfikir bahawa “dunia luar” adalah berbeza daripada apa yang disampaikan oleh pancaindera kepada kita, memandangkan kita hanya bergantung kepada pancaindera ini sejak kita dilahirkan.

Penyelidikan terkini di dalam bidang-bidang sains yang berbeza, bagaimanapun telah menemui satu kefahaman yang berbeza dan menyebabkan keraguan yang serius terhadap pancaindera kita dan dunia yang kita lalui kini. Permulaan bagi pendekatan ini ialah bahawa kepercayaan kepada satu “dunia luar” yang terbentuk di dalam otak kita hanyalah respons yang terbentuk oleh isyarat elektrik.
Bagaimana Kita Melihat? 

Perbuatan melihat direalisasikan di dalam satu cara yang sangat progresif. Foton yang bergerak dari objek menembusi kanta mata, terbias dan jatuh dalam keadaan songsang pada retina di bahagian belakang mata. Seterusnya, cahaya diubah menjadi isyarat elektrik yang dihantar oleh neuron-neuron kepada satu titik kecil yang digelar pusat penglihatan pada bahagian belakang otak. Isyarat elektrik tadi diterima sebagai imej selepas beberapa siri proses dan perbuatan melihat sebenarnya berlaku di dalam titik kecil ini yang gelap gelita dan sama sekali terlindung daripada cahaya. Oleh itu, apabila kita menyatakan "saya melihat", kita sebenarnya melihat isyarat elektrik yang terbentuk di dalam pusat penglihatan kita, yang hanya beberapa sentimeter padu daripada isipadu otak.

Bagaimana Kita Mendengar?         
 
Deria pendengaran juga berlaku dengan cara yang sama. Cuping telinga menangkap bunyi dan menghantarnya kepada organ pertengahan telinga yang menghantarkan getaran bunyi dan menguatkannya kepada bahagian dalaman telinga. Berikutnya, organ dalaman telinga menghantar getaran ini ke otak dengan menukarnya kepada isyarat elektrik. Seperti mata, perbuatan mendengar berakhir di pusat pendengaran dalam otak.Oleh itu, walau sebising manapun keadaan di luar otak, keadaan di dalam otak adalah senyap sunyi sama sekali.

Bagaimana Kita Menghidu? 

Selain itu, persepsi bau kita juga terbentuk dengan cara yang sama. Molekul-molekul yang mudah meruap dari objek seperti sekuntum bunga mawar sampai kepada reseptor di dalam rerambut halus pada epitelium hidung dan terlibat dalam satu tindak balas. Tindak balas ini dihantar ke otak sebagai isyarat elektrik yang diterima oleh kita sebagai bau. Semua yang kita hidu, baik wangi mahupun busuk, tidak lebih daripada penerimaan otak terhadap tindak balas molekul-molekul yang mudah meruap setelah ia ditukarkan menjadi isyarat elektrik. Dengan kata lain, bau-bauan yang kita sangkakan kepunyaan objek luar sejak kita dilahirkan sebenarnya hanyalah isyarat-isyarat elektrik yang dirasai melalui organ-organ deria kita.

Bagaimana Kita Merasa?
            
Demikian juga, terdapat empat jenis reseptor kimia yang berbeza pada bahagian lidah manusia iaitu reseptor masin, manis, masam dan pahit. Reseptor rasa kita menukarkan persepsi-persepsi ini kepada isyarat elektrik selepas melalui beberapa proses kimia, menghantar dan diterima sebagai rasa oleh otak kita. Rasa yang didapati daripada makanan kegemaran kita adalah tafsiran isyarat-isyarat elektrik oleh otak. Akan tetapi, kita tidak akan dapat mencapai objek luarannya, iaitu kita tidak akan dapat melihat, menghidu atau merasa coklat itu dengan sendiri tanpa tafsiran tadi. Misalnya, jika saraf rasa yang bersambung dengan otak terputus, maka tidak satu pun yang kita makan pada waktu itu akan sampai kepada otak atau dengan kata lain, kita telah kehilangan deria rasa.

Bagaimana Kita Menyentuh?
            
Deria sentuhan kita juga tidak berbeza dengan deria-deria yang lain. Apabila kita menyentuh sesuatu objek, semua maklumat -maklumat yang akan membantu kita untuk mengenal pasti dunia luar dan objek-objek telah dihantar ke otak oleh saraf deria di atas kulit. Rasa sentuhan terbentuk di pusat sentuhan pada otak kita. Hasil daripada tafsiran terhadap rangsangan elektrik yang datang daripada objek kepada otak, kita merasai sentuhan yang berbeza mewakili objek ini seperti keras atau lembut mahupun panas atau sejuk. Kita memperoleh semua maklumat yang membantu kita untuk mengenal pasti sesuatu objek daripada rangsangan-rangsangan ini.
            
Berdasarkan penjelasan di atas, mustahil bagi kita mencapai sifat dan dunia fizikalnya. Semua objek di sekeliling kita merupakan satu himpunan persepsi atau tanggapan. Dengan memproses data-data di pusat penglihatan dan pusat deria lainnya, oleh itu, otak sepanjang kehidupan kita ini tidak pernah berhadapan dengan “material asli” yang berada di luar kita tetapi hanya mencapai salinannya yang terbentuk dalam otak. Justeru, kita telah tersalah anggap dengan menyangka bahawa salinan-salinan ini adalah benda-benda asal di luar kita.

“Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.” (Surah Ar-Rum, 30: 7)

2 Comments to "Intipati Sebenar Dunia Material (Siri I)"

  1. salam..hye syahmir..bernas sggh idea ni..aniway, keep it up!

  2. wasalam...trima kasih...inshaallah (^_^)

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft