Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain?


Dapatkan buku ilmiah ini
di pasaran
Oleh: Mohd Syahmir bin Alias
Assalamu'alaikum... Saya berminat sekali mengajak sahabat-sahabat membaca dan menganalisis buku-buku yang bersifat ilmiah dalam entri pertama blog kesayangan saya ini. Jadi sebarang ulasan mengenai buku-buku bersifat politik, sejarah, psikologi dan global yang bersandarkan ISLAM amatlah dialu-alukan.
Apa kata, untuk pertama kalinya, mari kita membedah buku bertajuk 'Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnian?' hasil karya Afareez Abd Razak Al-Hafiz yang mengupas fakta-fakta sejarah dalam Al-Quran. Turut disertakan fakta yang mungkin betul mungkin tidak daripada Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Buku ini menerima penganugerahan ‘Bestseller’ di Malaysia kerana penjualannya melebihi 20,000 nashkah pada peringkat kebangsaan. Buku berkualiti keluaran PTS ini sangat mudah difahami serta tersusun fakta-faktanya.
Sedikit-sebanyak tentang buku ini, saya sertakan empat bab utama yang dikupasi penulis berdasarkan empat pemerintahempayar terhebat pada zaman silam iaitu:
1.      Raja Namrud
2.      Raja Sulaiman
3.      Raja Bukhtanasar
4.      Raja Zulqarnain
Saya sertakan juga sinopsis tentang buku 'Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnian?’. Sejak sekian lama, kita mempercayai Iskandar Zulqarnain adalah individu yang hebat dalam sejarah. Beliaulah yang kita namakan Alexander the Great. Namun, kita tidak pernah tahu sama sekali bahawasanya Iskandar dan Zulqarnain adalah dua individu yang berbeza. Benarkah kenyataan itu? Buku ini ada jawapannya. Buku ini dimulakan dengan kupasan mengenai empat raja agung dunia purba mengikut turutan sejarah hidup mereka iaitu Raja Namrud, Nabi Sulaiman, Raja Bukhtanasar dan Zulqarnain. Ketiga-tiga raja pertama dipanggil dan diketahui dengan nama mereka sendiri sedangkan Zulqarnain pula adalah satu gelaran yang disandarkan kepada beberapa tokoh hebat termasuklah Raja Iskandar (Alexander). Siapakah mereka? Bilakah mereka memerintah? Siapakah yang dahulu dan siapa pula yang datang kemudian? Diskusi di dalam buku ini membantu anda bagi lebih memahami sejarah silam. Namun, di sebalik segala persoalan itu, yang lebih penting adalah persoalan, adakah sesuai jika disandarkan gelaran Zulqarnain kepada Raja Iskandar?
Quran menceritakan mengenai ciri-ciri Zulqarnain yang mana jika dikaitkan dengan sejarah hidup Raja Iskandar, ia adalah bercanggah. Buku ini memuatkan perbincangan serta hujah-hujah yang sesuai bagi mengaitkan tokoh yang paling hampir dan sesuai dengan gelaran Zulqarnain. Bukti hidup daripada peninggalan Zulqarnain adalah tembok yang dibinanya bagi menghalang Yakjuj Makjuj. Siapakah mereka ini dan siapakah yang mereka kacau sehingga Zulqarnain membina tembok serta di manakah tembok itu? Perbincangan ini dan lain-lain lagi ada di dalam buku ini. Jangan lepaskannya.   
Sebelum kedatangan Nabi Muhammad pada tahun 570AD, datang Nabi Isa lebih kurang 570 tahun sebelumnya. Pengiraan kalendar sebelum kelahiran Nabi Isa adalah disebut dengan panggilan ‘sebelum Masihi’. Perkataan ‘Masihi’ di sini adalah sempena gelaran al-Masih bagi Nabi Isa atau ringkasannya adalah BC yang bermaksud ‘before Christ’. Bagi tahun-tahun sebelum Masihi ini, kiraannya adalah terbalik berbanding dengan zaman selepas Masihi. Selepas Masihi ditulis dengan singkatan AD yang berasal dari perkataan Latin Anno Domini bermaksud tahun Masihi.
Contohnya, sekarang adalah tahun 2007AD, maka tahun lepas adalah 2006AD dan tahun hadapan adalah 2008AD, sedangkan bagi tahun sebelum Masihi pula, sekiranya sekarang ini adalah tahun 100BC maka tahun sebelumnya adalah 101BC dan tahun hadapannya pula adalah 99BC. Secara umumnya, perkataan purba di sini bermaksud zaman sebelum kedatangan Nabi Isa.
Akibat daripada pendedahan kepada pembacaan serta kajian berterusan yang menyumbang kepada pengumpulan maklumat-maklumat baru, sejarah sentiasa ditulis semula berulang kali terutamanya mengambil kira daripada perspektif yang berbeza. Contohnya peristiwa perang dunia pertama dan kedua masih lagi ditulis sehingga hari ini. Bahkan catatan Kisah hidup Nabi Muhammad pun masih banyak lagi ditulis, diterbitkan dan dikemas kini bagi kefahaman pembaca.
Bagi lebih memahami konteks perbincangan utama dalam buku ini serta fakta berkaitan Raja Zulqarnain yang sebenarnya, kita perlu mengimbas kembali sejarah silam menurut turutan secara ringkas. Sepanjang sejarah manusia menghuni muka bumi ini, silih berganti raja-raja yang memerintah. Walau bagaimanapun yang sering disebut adalah empat raja yang hebat dan berjaya menakluki sebahagian besar muka bumi ini pada zaman mereka masing-masing. Namun tidak dinafikan terdapat juga raja-raja yang lain yang tidak kurang hebatnya. Namun, perbincangan ini difokuskan kepada empat raja utama yang menjadi bahan diskusi, perbualan dan pengajaran. Kisah mereka  mungkin disampaikan dari mulut ke mulut di dalam budaya kita ataupun sedikit sebanyak diperbincangkan di institusi pendidikan sedia ada.
Dua daripada mereka di dapati beriman dan dua yang lain pula tidak beriman. Tidak asing lagi, dengan mengikut turutan berdasarkan zaman pemerintahan, empat raja itu adalah:
  1. Raja Namrud – tidak beriman, dikenali dengan pembinaan Menara Babel dan dikaitkan dengan penentangannya kepada Nabi Ibrahim.
  2. Raja (Nabi) Sulaiman – beriman, bahkan adalah seorang Nabi utusan Allah serta mewarisi kerajaan ayahnya iaitu Nabi Daud.
  3. Raja Bukhtanasar – tidak beriman, menakluki kerajaan yang pernah dipimpin oleh Nabi Daud dan Sulaiman dan membawa orang-orang Yahudi ke Babylon sebagai hamba abdi.
  4. Raja Zulqarnain – beriman, uniknya adalah raja-raja yang lain dipanggil dengan nama mereka masing-masing tetapi raja ini dengan gelarannya.
Amatlah dialu-alukan untuk memberi pandangan anda tentang buku yang menarik perhatian ramai pencinta ilmu di Malaysia ini.

1 Comment to "Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain?"

  1. salam...cantik profile.. bru buat blog ke.. rajin2 kan la masuk info ye.. kalo rajin buka ana punya blog plak http://dakkemba.blogspot.com.. tq

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft