Fenomena Mencintai Ilmu dalam Kalangan Mahasiswa
Oleh: Mohd Syahmir bin
Alias
![]() |
Forum anjuran Lajnah Kebajikan dan Akademik PMIUSM 2009/2010 |
Mafhum firman Allah s.w.t.:
Katakanlah: “Kalaulah semua jenis
lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan
habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku walaupun Kami
tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.” (Surah
Al-Kahfi, 18:109)
Demikianlah kalam Allah s.w.t, wahyu yang diturunkan
kepada Nabi Muhammad s.a.w menunjukkan
betapa luasnya pengetahuan Allah itu meliputi langit dan bumi serta apa yang
ada di antaranya. Pendek kata, segala apa yang berlaku di kosmos ini senantiasa
berada di bawah pengetahuan Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Sehingga perkara sekecil elektron pun merupakan urusan tadbiran Allah s.w.t. Sedangkan
manusia pada masa ini, fokusnya mahasiswa yang berada di medan keintelektualan ini
dibuai fikiran jumud, masih diulit budaya hedonisme yang melalaikan sehingga ada
segelintir mahasiswa kini tidak peka malah tidak tahu misi dan visi mereka
menjejakkan kaki ke alam kampus. Perkara ini timbul kerana hambarnya budaya
untuk mewujudkan fenomena kecintaan dan kedahagaan terhadap ilmu.
Seperti apa yang dinyatakan dalam potongan ayat Al-Quran
di atas, dapatlah disimpulkan bahawa pengetahuan manusia itu sangatlah sedikit.
Misalnya, mahasiswa yang mempelajari sains kimia mungkin tidak arif tentang
ilmu kesusasteraan. Hal ini kerana ilmu manusia itu terbatas tetapi jika
pemupukan amalan keintelektualan ini berjaya dilakukan, tidak mustahil generasi
kini boleh menjadi sehebat generasi dahulu yang menguasai pelbagai bidang.
Contohnya, tokoh ilmuwan Islam, Ibnu Sina yang mendalami segenap bidang ilmu pengetahuan
seperti sains kedoktoran, fiqh, kimia, astronomi, politik dan banyak lagi. Kejayaan
para ilmuwan itu diperoleh bukan dengan senang-lenang di zon selesa tetapi mereka
sentiasa berada dalam zon mencabar. Mencabar dari segi pemikirannya untuk
menyelesaikan masalah dan jerih-payahnya berhijrah ke seluruh pelusuk dunia
demi mendapatkan ilmu yang bermanfaat untuk generasinya pada masa akan datang. Justeru,
dalam hadis Rasulullah s.a.w mafhum sabda
baginda:
“Siapa yang berkehendakkan dunia,
dia mestilah mempunyai ilmu; siapa yang berkehendakkan akhirat, dia hendaklah
mempunyai ilmu; siapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia
mempunyai ilmu.” (Riwayat Muslim)
Oleh itu, misi kita untuk mencari ilmu itu
pertamanya bermula dari dalam diri kepada tindakan kita (inside-out), yakni
niat yang betul dan ikhlas menuntut ilmu pengetahuan kerana Allah itu penting
bagi menjamin perbuatan yang bersepadu. Bersepadu dari segi duniawi dan
ukhrawi. Oleh itu, perlunya mahasiswa berpengetahuan luas tentang agamanya
(ilmu fardhu ain) dan ilmu fardhu kifayah agar wujud keintegrasian itu. Kembara
ilmu pula bermula dengan kita berguru dengan para mahaguru yang fakih dalam
bidang mereka. Belajarlah dengan banyak guru, nescaya bertambahlah lagi prospek
ilmu. Mahasiswa perlu menyedari realiti apabila menghadiri majlis ilmu itu menjadi
salah satu daripada budaya berguru. Majlis ilmu merupakan majlis perjumpaan
ilmu yang diadakan di sesuatu tempat. Aktiviti yang dijalankan dalam bentuk
persidangan merangkumi kuliah, ceramah, seminar, kolokium, wacana, bengkel dan
dialog. Melalui majlis ilmu seperti ini, mahasiswa dapat mengetahui, memahami informasi
dan ilmu yang telah disampaikan, malahan mereka dapat menjadi seorang
pendengar, pemerhati yang prihatin, aktif menyoal dan bertanya kerana ingin
mengetahui dengan lebih lanjut mengenai sesuatu perkara yang mereka kurang jelas
kepada orang yang lebih arif. Di samping itu, mahasiswa dapat menggunakan
pendengaran dan penglihatan untuk mendengar dan melihat sesuatu yang baik dan
bermanfaat. Zaman berkuliah ini ada baiknya mahasiswa melatih diri menghadirkan
diri ke majlis ilmu yang semestinya bersifat ilmiah.
Selain itu, sebagai seorang ahli akademik, mahasiswa
perlu sentiasa membudayakan amalan membaca serta menghasilkan tulisan kritis
dari sudut pandangan sendiri. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
Bacalah dengan nama Tuhanmu yang
menciptakan sekalian makhluk, Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku.
Bacalah dan Tuhanmu yang maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan
tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (Surah Al-‘Alaq,
96: 1-5)
Allah telah menurunkan ayat ini sebagai wahyu
pertama kepada Rasulullah s.a.w sebagai pedoman bagi manusia sejagat khususnya
umat Islam agar mencari ilmu melalui pembacaan dan berguru. Dengan yang
demikian, mahasiswa akan lebih cakna, dinamik dan kreatif dari aspek pemikiran
dan mampu melontarkan idea dan pandangan mereka tentang isu semasa dan perihal
akademik. Dalam berpandangan, kita tidak boleh bersikap sekularisme kerana
agama mendidik dan memberikan kita panduan yang jelas dalam pelbagai aspek kehidupan.
Hal ini kerana, ada yang takut menjana idea mereka menurut pandangan agama
kerana mereka takut dikatakan ketinggalan zaman dan menyertakan hujah yang
tidak relevan kini, walhal mahasiswa jelas mereka telah berjaya dididik dengan
telunjuk sekularisme Barat hari ini. Justeru, mahasiswa perlu mengubah paradigma
yang skeptikal ini agar tidak terikutkan budaya Barat itu.
Tambahan, bahan bacaan perlu bersifat kontemporari
dan merintis amalan keintelektualan serta melahirkan rasa keinsafan kepada diri
sendiri sebagai hambaNya yang kurang ilmu kerana kita perlu bersedia dari
segenap sudut ilmu pengetahuan dalam era globalisasi ini. Selain membaca
menjana minda, natijahnya hati pencinta ilmu akan meronta-ronta untuk
menganalisis, mengkaji, berfikir dan berzikir terhadap fakta atau informasi
yang diketahuinya. Lantaran itu, lanjutan hal tersebut membawanya kepada budaya
bertanya dan berkongsi ilmu dengan sahabat-sahabat atau sesiapa sahaja, perkara
yang ingin dianalisis itu. Justeru, wujud satu impak positif terhadap fikrah
dan idealisme dalam kalangan mahasiswa.
Selain
daripada itu, Al-Quran itu sendiri diturunkan sebagai mukjizat agung yang
menjadi ensiklopedia kehidupan bagi manusia sejagat untuk kita berfikir. Kajian
ilmiah saintis silam dan moden kini membuktikan Al-Quran itu memang sarat
dengan ilmu dan pengenal terhadap Pencipta semesta alam. Mahasiswa kini perlu
kenal siapa Penciptanya dan berfikir tentang kejadian langit dan bumi ini untuk
menyingkap rahsia ciptaan Tuhan agar kecemerlangan hidup yang abadi dapat
dikecapi. Berfikir secara proaktif akan menambahkan seri kepada fenomena budaya
mencintai ilmu dalam kalangan masyarakat kampus, khususnya. Maka, marilah kita
menangkis budaya hedonisme, yang sukakan hiburan, mencintai artis dan
menyeleweng dari tujuan asal kewujudan kita di dunia yang hanya sementara ini. Sebaliknya,
kita perlu berperanan mencintai ilmu dan para ulama supaya dapat kita sebarkan
kepada masyarakat umum di bumi Malaysia ini. Oleh itu, sambutlah pencetusan
ledakan fenomena budaya mencintai ilmu pengetahuan dan tuntutlah ilmu yang
bermanfaat buat mahasiswa itu sendiri dan masyarakat sejagat. Mahasiswa perlu
ingat bahawa, jikalau kita mahu melihat bagaimanakah keadaan negara pada masa
akan datang, lihatlah pada generasi muda yang berada pada hari ini. Pilihan di
tangan kita untuk mencetus fenomena budaya mencintai ilmu pengetahuan yang luas
ini. Wallahua’lam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
update blog !!!