Keunikan Sains dalam Tradisi Islam Silam
Ketokohan
sarjana sains Muslim sewaktu zaman kegemilangan Islam telah menarik minat para
sarjana Muslim kontemporari membongkar rahsia sains yang diasaskan oleh mereka.
Kesedaran untuk menerapkan Islam dalam sains ini diperdebatkan secara kritis
oleh para cendekiawan Muslim kontemporari baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Hal ini kerana, sains yang berasaskan Islam ini mempunyai tasawur (pandangan
alam atau worldview) dan sumber pengetahuan yang berbeza dengan sains yang
acuannya dari Barat.
Terdapat tiga asas penting untuk mengembalikan semula sains berasaskan Islam ini. Pertama, peranan masyarakat dalam mencorak peradaban; kedua, pembentukan tasawur yang khusus dan ciri-ciri yang unik; dan ketiga, mengelak ancaman sains Barat terhadap kesejahteraan manusia. Ketiga-tiga asas ini merupakan pandangan yang dikemukakan oleh Prof. Dr. Ziauddin Sardar dalam bukunya Explorations in Islamic Science.
Secara
khususnya, pengenalan kepada konsep ketuhanan sememangnya dijumpai dalam kebanyakan
karya ilmiah para ilmuwan Islam kurun ke-10 dan ke-11 Masihi seperti karya gerakan
Ikhwan al-Safa, al-Biruni, Ibn Sina dan Ibn al-Haytham. Sungguhpun mereka
mengolahnya dengan cara yang tersendiri, namun ilmuwan-ilmuwan Islam ini
bersependapat bahawa kuasa yang menghubungkan ilmu-ilmu sains tersebut ialah Allah
SWT.
Ibn
al-Haytham misalnya, menjalankan kajian saintifiknya berasaskan kerangka
tauhid. Sungguhpun orientalis Barat mengatakan Ibn al-Haytham seorang saintis
Muslim yang sekular pemikirannya, namun hujah itu dapat ditolak kerana Ibn
al-Haytham turut menguasai bidang teologi terlebih dahulu walaupun selepas itu penyelidikannya
mengkhusus kepada bidang optik. Malah, beliau pernah menegaskan dalam sebuah karyanya:
“… Kita tidak boleh melepaskan diri daripada sebarang kelemahan sebagai suatu
fitrah, namun kita perlu berusaha dengan kudrat yang dikurniakan. Daripada
Allah SWT kita memohon pertolongan dalam setiap pekerjaan.”
Selain
itu, tradisi Islam juga memperakui kedudukan sumber ilmu melalui ilham (atau
intuisi) daripada Allah SWT sebagai sebahagian daripada kaedah menyelidiki sains.
Hal ini kerana, proses berfikir dalam Islam adalah berdasarkan akal dan juga
hati (al-qalb). Justeru, perbezaan antara sains Barat dengan sains Islam
adalah dari sudut sumber pengetahuannya yang turut mementingkan aspek ilham.
Antara cara memperoleh ilham ini adalah dengan sentiasa melakukan aktiviti penyucian
jiwa (tazkiyah al-nafs).
Sepertimana
firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi diri manusia dan (Tuhan) yang
menyempurnakan kejadiannya serta mengilhamkannya (mengenal) jalan yang membawa
kepada kejahatan dan yang membawa kepada ketakwaan. Sesungguhnya berjayalah
orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih, dan
sesungguhnya rugilah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut
dan terbenam kebersihannya.” (Surah al-Syams ayat 7-10).
Di
samping itu, keunikan tradisi ilmuwan-ilmuwan Islam silam juga terletak pada
matlamat akhir penyelidikan mereka iaitu untuk menyingkap rahsia kebesaran
Tuhan dan mencapai keredhaan-Nya. Dalam perkataan lain, ia berperanan untuk membangunkan
aspek rohani mereka. Perkara ini memberi kesan juga kepada pemahaman para
ilmuwan silam terhadap alam semula jadi yang berbeza daripada pemahaman masa kini.
Alam semula jadi sebagai suatu ‘ayat’ Allah SWT yang terbuka untuk dikaji,
bukan untuk diekploitasi semata-mata manfaatnya. Hal ini kerana, pemahaman kini
telah didominasi dengan pengaruh pemikiran sekular tamadun Barat moden.
Jelasnya,
penerokaan sains berasaskan Islam oleh ilmuwan-ilmuwan Muslim silam didasari
oleh falsafah yang sama sekali berbeza dengan falsafah Barat. Oleh itu, sains
berasaskan Islam ini perlu dikaji dan diteliti dengan sebaik-baiknya supaya
dapat diterapkan pada semua peringkat pengajian. Para pelajar Muslim juga
seharusnya didedahkan dengan pandangan sains yang menekankan unsur tauhid
kepada Allah SWT agar pengajian ilmu sains itu akan mendekatkan diri para
pelajar dengan Allah SWT.
0 Comments to "Keunikan Sains dalam Tradisi Islam Silam"
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Catat Ulasan