Sifat Tawaduk Punca Ilmu Berkat [5 Mei 2014]
Sifat Tawaduk Punca Berkatnya Ilmu
Setiap
insan memerlukan ilmu pengetahuan sebagai tunjang utama dalam menjalani kehidupan
di dunia mahupun di akhirat kelak. Ilmu pengetahuan lazimnya diterima melalui
suatu proses pendidikan yang berterusan. Dalam Islam, ibu bapa bertanggungjawab
mengajarkan anak-anak mereka ilmu asas untuk mengenal Allah SWT dan mentauhidkan-Nya.
Justeru, saranan tersebut bertepatanlah dengan konsep didikan yang pertama datangnya
daripada ibu bapa.
Bait-bait
azan dilafazkan oleh seorang bapa kepada bayi yang baru lahir ke dunia ini
merupakan satu ilmu pengenalan untuk mentauhidkan Allah SWT. Oleh yang demikian,
dari perspektif Islam, ilmu pengetahuan yang diperolehi oleh seseorang Muslim sepatutnya
menjadikan individu Muslim itu lebih dekat kepada Penciptanya. Sikap ini mampu
dipupuk dengan menanamkan sifat tawaduk dalam diri.
Menurut
Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah, tawaduk bererti menunaikan segala yang hak dengan
bersungguh-sungguh dan memperhambakan diri kepada Allah SWT dengan taat serta
tidak memandang tinggi pada diri sendiri. Walau bagaimanapun, realiti hari ini
menyaksikan betapa ramai manusia yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, akan
tetapi tidak pula memiliki sifat tawaduk yang sedemikian rupa.
Pangkat
dan kedudukan sering menjadikan manusia itu alpa dengan ilmu yang dimilikinya. Padahal,
ilmu yang dimiliki merupakan sebahagian kecil pemberian Allah SWT daripada
keluasan ilmu-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah: Kalaulah
semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah
tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku,
walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai
bantuan.” (Surah al-Kahfi ayat 109).
Sifat
tawaduk atau kerendahan hati ini merupakan salah satu ciri insan yang dikasihi
oleh Allah SWT. Hal ini kerana, orang-orang yang tawaduk dengan ilmu
pengetahuan akan menjadikan diri mereka semakin insaf dan bertakwa kepada Allah
SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “… sebenarnya yang menaruh bimbang dan
takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah
orang-orang yang berilmu…” (Surah Fathir ayat 28).
Malah,
orang-orang yang mempunyai ilmu pengetahuan adalah orang yang diangkat
darjatnya di sisi Allah SWT. Dalam al-Qur’an, Allah SWT berfirman yang
bermaksud: “… Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara
kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat…” (Surah
al-Mujadalah ayat 11). Hal ini sepertimana sabda Rasulullah SAW dalam sepotong
Hadith yang bermaksud: “… dan tidaklah juga seseorang memiliki sifat
tawaduk kerana Allah SWT melainkan Allah SWT akan meninggikannya.”
(Riwayat Muslim).
Jelaslah
bahawa hubungan dua hala antara orang yang berilmu dengan Penciptanya sangat
penting untuk memelihara keberkatan sesuatu ilmu itu. Bukan sekadar itu sahaja,
ilmu yang diberkati ini pula mampu memberi kesan kebaikan yang berpanjangan
kepada orang lain. Misalnya, ilmu fiqah yang ditulis oleh Imam al-Syafie dalam
kitab-kitabnya sehingga hari ini masih segar dijadikan rujukan dan dikaji oleh para
penuntut ilmu dan pengkaji.
Selain
itu, sikap tawaduk yang dimiliki oleh para sarjana dalam bidang-bidang lain
juga memberi implikasi besar kepada masyarakat. Contohnya Ibn al-Haytham,
seorang saintis Muslim silam juga menyaksikan ilmu optik yang diselidikinya
masih berguna sehingga masa kini. Hal ini kerana beliau pernah menegaskan dalam
karyanya: “Walaupun semua yang saya tahu tentang ilmu ini ada dalam buku
saya, namun ilmu saya terbatas dan mungkin terdapat kesilapan dalam kajian
saya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui (wallahua‘lam).”
Penegasan
bahawa Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui menunjukkan kebergantungan
seseorang ilmuwan itu kepada kemutlakan ilmu-Nya. Pengharapan seperti inilah merupakan
intipati sebenar kepada sikap tawaduk terhadap ilmu pengetahuan. Penghargaan
dan kesyukuran yang ditujukan kepada Allah SWT menjadikan ilmu yang disampaikan
melalui penulisan dan wacana-wacana ilmiah bermanfaat kepada orang lain. Hasilnya,
keberkatan ilmu tersebut sekali gus menjadi pahala amalan yang berterusan walaupun
sesudah seseorang ilmuwan itu meninggal dunia.
0 Comments to "Sifat Tawaduk Punca Ilmu Berkat [5 Mei 2014]"
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Catat Ulasan