Membudayakan Ilmu dalam Kehidupan
Khutbah Jumaat di Masjid al-Malik Khalid 24 Mei 2013
Khatib: Saudara Musmuliadi Kamaruding
Sidang Muslimin,
Pada hari Jumaat ini penghulu segala hari, di pertengahan bulan Rejab ini, kita masih lagi diberi kesempatan dan peluang untuk berada di bumi yang bersifat sementara ini. Justeru, saya ingin menyeru kepada diri saya sendiri serta saudara sekalian agar sama-sama kita memperlihat tanda syukur kita ini dengan mengikhlaskan diri mempertingkat nilai keimanan dan ketaqwaan kepada Allah dengan erti taqwa yang sebenarnya. Marilah kita melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangannya. Semoga kita beroleh kemenangan di dunia dan akhirat kelak. Tidak lupa juga, marilah sama-sama kita berselawat kepada Nabi Muhammad SAW untuk mendapat syafaat baginda di akhirat kelak. InshaAllah, khutbah pada hari ini berkisarkan “Kronologi Membudayakan Ilmu dalam Kehidupan”.
Sidang Muslimin,
Kepentingan dan peranan ilmu dalam Islam terserlah menerusi wahyu pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW tentang asas agama yang diajarkan kepada manusia oleh Tuhan yang Maha Bijaksana menerusi proses ilmu dengan ilmu pembacaan:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk) Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-‘Alaq ayat 1-5).
Ringkasnya, secara hakikatnya, sejarah kegemilangan Islam menjadi saksi bahawa ia bermula dengan revolusi keilmuan yang tercetus daripada ayat mukjizat ini, transformasi kemanusian dan kebudayaan yang merubah pengembala unta menjadi ilmuan cendekia, manusia badawi jahiliah menjadi muslim hadhari-madani. Paparan al-Qur’an tentang kisah-kisah para anbiya’ dan mursalin sebagai transformational leaders bagi umat dan zaman masing-masing jelas memberikan petunjuk bahawa antara ramuan utama kepimpinan mereka terumus dalam ungkapan hukman wa ‘ilman (kebijaksanaan atau wisdom dan ilmu) kurnian Allah.
Sidang Muslimin,
Dalam konteks kita pada hari ini, kita harus menjadikan para anbiya’ sebagai contoh dan teladan yang telah diterangkan kisahnya dalam al-Qur’an yang bukan karya fiksyen penglipur lara, tetapi realiti sejarah yang sarat dengan hikmah. Mereka telah ditampilkan sebagai uswah dan qudwah sebagai teladan unggul sebagai model manusia berbudaya ilmu, yang menempatkan nilai ilmu di puncak urutan set nilai budayanya sehingga untuk itu sanggup berbuat apa sahaja, walau sesukar mana. Kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir as dapat diangkat sebagai contoh bagaimana Nabi Musa as yang dimuliakan Allah SWT dengan martabat nabi dan rasul ulul ‘azmi itu sanggup meredah daratan, mengharungi lautan untuk menemui Nabi Khidir as dan mempelajari sesuatu daripadanya. Kisah kembara ini yang mengabadikan komitmen keilmuan yang sungguh luar biasa dirakamkan dalam al-Qur’an:
“Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada pembantunya, ‘Aku tidak akan berhenti berjalan sebelum sampai ke pertemuan dua laut; atau aku akan berjalan terus sampai bertahun-tahun’.” (Surah al-Kahfi ayat 60)
Peristiwa ini menunjukkan bahawa, ketinggian martabat nubuwwah yang dicapai oleh Nabi Musa tidak menjadikan dirinya terlalu besar untuk berguru kepada seseorang (Nabi Khidir as) yang dikurnia ilmu tertentu yang belum diketahuiya. Justeru, marilah kita semua sebagai makhluk Allah SWT yang lemah dengan rasa rendah diri untuk mencotontohi para anbiya’ dalam mencintai ilmu Allah SWT. Jangan rasa sombong dan angkuh kerana ia adalah sia-sia dan membawa ke arah kejahilan.
Sidang Muslimin,
Islam sangat memberi penekanan terhadap amalan ilmu yang telah dihadamkan dalam diri. Banyak ingatan dan amaran serta azab pedih yang dipaparkan dalam al-Qur’an bagi orang yang tidak mengamalkan ilmu selari dengan tuntutan ilmu. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 44:
“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan, sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (Surah al-Baqarah ayat 44)
Dalam Surah al-Saff ayat 2 hingga 3 yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Allah amat murka kepada orang yang berkata tetapi tidak melaksanakannya.” (Surah al-Saff ayat 2-3)
Hal ini ditambah pula dengan penegasan Rasulullah SAW:
“Manusia yang paling pedih azabnya kelak ialah orang alim yang tidak memamfaatkan ilmunya.” (Riwayat Tabrani)
Melalui ayat-ayat al-Qur’an dan Hadith tersebut, jelas, terang lagi bersuluh bahawa Islam sangat meninggikan darjat orang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya. Tetapi, Islam juga memberi penghinaan dan kecelakaan kepada orang yang ada ilmu tetapi tidak menggunakan ilmunya untuk kebaikan. Justeru, mimbar ingin menasihatkan diri sendiri dan saudara seIslam agar kita berusaha mencari ilmu dan membudayakannya dalam masyarakat. Maksud Hadith:
“Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW telah bersabda: ‘Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya’.” (Riwayat Muslim)
Muslimin sekalian,
Dalam menuntut ilmu ada adabnya sebagai seorang yang ilmuan. HAMKA dalam bukunya berjudul ‘Lembaga Hidup’ menekankan beberapa adab mulia yang perlu sebagai seorang ilmuan iaitu:
“Jangan diringankan pergaulan dengan guru, walaupun guru memberi hati. Jangan cepat melintas di hadapannya, walaupun dia yang menghulurkan tangan. Jangan berfikir hendak mengalahkan guru, meskipun telah pandai dan otak terang. Jangan bersikap tidak hormat guru, bimbang hilangnya martabat ilmu. Jangan membesarkan guru lebih daripada semestinya, sehingga apa katanya dituruti walaupun salah. Pendapat guru ditampung dengan taklid, tetapi hendaklah bersikap kritis. Terima mana yang rajih tinggalkan mana yang marjuh.”
Menurut HAMKA lagi, proses pembudayaan pengajaran dan pembelajaran mestilah dijalankan dalam suasana yang tertib dan sopan. Ia mempunyai kaitan dengan tradisi pengijazahan dalam budaya ilmu Islam, iaitu antara guru (mursyid) dengan pelajar. Beliau menyatakan pemerkasaan budaya ilmu mestilah berasaskan beberapa perkara yang berikut:
“Hadapi majlis guru dengan penuh khusyuk. Biasakan berfikir jangan lalai. Penuhkan perhatian jangan lengah. Pandang matanya tanda faham. Pandang kitab bila guru membaca kitabnya. Jangan melengong kiri dan kanan. Janganlah malu bertanya di waktu ragu. Jangan dijawab sebelum ditanya. Jangan tertawa dengan tidak ada sebab. Jangan pula bersenda gurau.”
Muslimin sekalian khususnya mahasiswa USM,
Perbanyakkanlah membaca dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan ilmu untuk dipraktikan dan diamalkan. Bukannya untuk peperiksaan sahaja dan untuk mendapatkan PNGK yang lebih baik. Peperiksaan adalah medan ujian kepada kita semua terhadap ilmu yang telah kita pelajari. Perlu diingat, ia bukan stop di atas kertas peperiksaan tersebut, Tetapi perkara yang paling penting adalah ilmu yang diperolehi itu dimanfaatkan dan diamalkan untuk kepentingan diri, keluarga, agama dan negara. Janganlah kita menjadi seperti ahli-ahli sihir Firaun yang mempunyai pola fikir dan orientasi keintelektualan yang rata-rata berbentuk dalam budaya habuan material-duniawi.
Marilah kita berdoa kepada Allah agar kita dihindarkan daripada ilmu yang tidak bermamfaat, hati yang tidak khusyuk, nafsu yang tidak pernah puas dan juga doa yang tidak dimakbulkan.
0 Comments to "Membudayakan Ilmu dalam Kehidupan"
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Catat Ulasan