Dualisme dalam Pemikiran dan Amalan
Oleh:
Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba (Sinar Harian)
Dualisme bermaksud suatu keadaan di mana
dua perkara berjalan seiring tetapi tidak wujud keserasian. Dualisme boleh
berlaku dalam pemikiran, ilmu, sikap dan amalan. Umpamanya dalam ilmu, di suatu
sisi ilmu-ilmu tradisi dipelajari dengan tasawwur yang Islami. Di sisi lain
ilmu sekular dan liberal dipelajari dengan pandangan semestanya tidak selari
dengan ilmu tradisi. Natijah akhirnya menghasilkan manusia yang memiliki dua
domain ilmu yang maksudnya tidak sama.
Ketidaksamaan ini boleh menyebabkan
ketidakjelasan dalam pemikiran dan amalan. Yang tradisional berfikir secara
tradisionalnya dan yang moden didapati tidak selari dengan orientasi
tradisional. Ia menyebabkan konflik ilmu terjadi. Lalu perlu ada usaha
menjambatani antara kedua supaya proses integrasi terjadi dan Islamisasi
berlaku. Integrasi bermaksud bagaimana kedua-dua domain orientasi itu ditautkan
dengan suatu tasawwur. Ilmu tradisi perlu diolah agar ada orientasi islah dan
tajdid berlaku supaya ilmu moden yang mekanistik dibina dengan tasawwur yang
Islami.
Sementara Islamisasi ilmu dan pendidikan
pula adalah suatu proses memasukkan tasawwur Islami ke dalam tubuh ilmu supaya
ilmu-ilmu moden memiliki asas-asas manusiawi dan Islami. Teknologi dalam
tradisi Islam selamanya alat. Tetapi aplikasinya dipandu oleh nilai guna yang
bermanfaat akan mengangkat akal budi insan dan memberi faedah dalam
kegunaannya. Aplikasi komputer misalnya mampu membangunkan tradisi ilmu
berasaskan pengolahan program, input dan perisian yang selari dengan tasawwur
memberi manfaat kepada pengguna. Kalau ini tidak berlaku wujud dualisme antara
alat dan juga matlamat.
Akibat dualisme yang tidak dirapatkan
jurangnya menyebabkan konflik dalam pemikiran terjadi dan ia terhubung dengan
binaan sistem. Konflik dalam pemikiran dan amalan boleh diatasi sekiranya asas
makruf yang dikembangkan mengurangkan kemungkaran yang ada dan matlamat
akhirnya dalam pemikiran dan pendidikan ialah menghasilkan modal insan kalis
mungkar dan sentiasa mendukung landasan makruf.
Dualisme bermula dari sistem ilmu dan
pendidikan yang dilalui anak-anak dan generasi muda. Tidak wujud keseimbangan
antara orientasi pendidikan agama, nilai dan etika dengan ilmu-ilmu yang sifatnya
mekanistik. Ilmu moden yang mekanistik perlu diberikan isi dan makna supaya
landasan perkembangannya diberikan asas falsafah, etika dan nilai. Dalam
tradisi Islam, subjek Matematik tidak hanya mempelajari angka dan formula
tetapi terhubung dengan makna ketepatan, keseimbangan dan akauntabiliti. Ia
menjadi sesuatu yang penting memandu hidup supaya aplikasi Matematik membawa
natijah hasabah dan muhasabah, iaitu nilai penanggung jawaban yang tinggi terhadap
Allah dan juga manusia. Hal sama apabila mempelajari Geografi. Dimensi moden
dalam Geografi membawa pelajar mengenali fenomena alam nyata dan dikaji untuk
mendapatkan maklumat daripadanya. Konsep Geografi memberikan asas bahawa bukan
saja alam nyata harus dikaji, tetapi juga terhubung dengan alam ghaib. Seluruh
yang dikaji di alam nyata pada hakikatnya adalah kejadian daripada Pencipta. Apabila
dikaji faktor alam ghaib ini, iaitu Allah, maka terhubunglah hikmah kejadian
dan menyebabkan asas tauhid berkembang kerana tanpa Allah tidak mungkin yang ada
ini berlaku dan keinsafan timbul bahawa alam dan bumi ini adalah amanah perlu
dijaga manusia.
Belajar tentang sejarah, tidak saja
belajar tarikh, zaman, tokoh dan peristiwa. Dalam tradisi Islam al-Quran
menganjurkan kita mempelajari kisah dan al-hadis dikaji sirah. Aspek ini
penting kerana maksudnya ialah supaya manusia memiliki ibrah (teladan dan
peringatan) kerana sifat kisah, sirah malah sejarah adalah berulang. Kisah-kisah
nubuwwah dan kenabian dalam al-Quran menggambarkan cabaran pada zamannya dan boleh
berulang kembali pada zaman terkemudian. Kisah Nabi Lut a.s umpamanya,
disebabkan kaumnya menolak kehidupan yang fitrah amalan hubungan sejenis
terjadi. Allah turunkan musibah kepada kaumnya itu. Hari ini hal yang sama
berbangkit dalam kehidupan umat manusia. Gay dan lesbian berkembang. Natijah
akhirnya Aids/HIV menjadi musibah yang belum ditemui ubatnya dan merosakkan
kehidupan umat manusia.
Oleh itu, integrasi ilmu dan pengislaman
tasawwur atau pandangan semesta adalah jawapan untuk merapatkan jurang dualisme
supaya antara ilmu Islam dan moden berlaku tautan nilai dan etika yang
menjadikan ilmu serta teknologi lebih bermanfaat dan lebih manusiawi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
terima kasih atas pengkongsian yang sungguh indah. bru berjinak mempelajari sirah dan sejarah ketemandunan islam.