Generasi Ulul Albab Penyelamat Ummah [28 Mac 2014]




Membina Pemikiran Bersepadu Generasi Ulul Albab


Dalam Kitab Suci al-Qur’an, Allah SWT memuji suatu golongan dalam kalangan orang-orang beriman yang disebut sebagai golongan ulul albab. Golongan ulul albab ini dari segi bahasanya bermaksud golongan yang mempunyai akal fikiran yang bersih. Dari segi istilahnya, ulama tafsir iaitu Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa golongan ulul albab ini merupakan golongan yang mempunyai pemikiran yang sempurna sehingga mampu memahami hakikat sesuatu perkara dengan sebenar-benarnya, dan membawa mereka kepada kejayaan di dunia dan akhirat. Bagi menunjukkan betapa pentingnya golongan ini, istilah ulul albab diulang sebanyak 24 kali melalui 10 surah dalam al-Qur’an. Antara faktor yang menyebabkan generasi ini dimuliakan oleh Allah SWT dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (ayat-ayat kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi golongan ulul albab; (iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah sesama mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau jadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka’.” (Surah Ali ‘Imran ayat 190-191).


Berdasarkan ayat ini, dapat dinyatakan bahawa generasi ulul albab ini mempunyai tiga ciri utama yang disifatkan oleh Allah SWT sendiri iaitu pertama, mereka sentiasa mengingati-Nya; kedua, mereka juga sentiasa bertafakur; dan ketiga, mereka sentiasa berusaha mendekatkan diri dengan Allah SWT. Ketiga-tiga ciri ini bersepadu antara satu sama lain dalam jiwa insan yang bergelar ulul albab. Secara integratif, golongan ini mengkaji ayat-ayat Allah SWT yang terbahagi kepada dua aspek. Aspek pertama, ayat al-qauliyah iaitu dalil-dalil yang termaktub di dalam al-Qur’an; dan aspek kedua, ayat al-kawniyah iaitu dalil-dalil yang terdapat dalam alam semesta ini.

Sebenarnya penekanan untuk mengkaji ayat al-kawniyah ini telah disebutkan oleh Allah SWT dalam ayat 190-191 daripada Surah Ali ‘Imran yang dikemukakan sebelum ini, manakala pengkajian terhadap ayat al-qauliyah pula ditegaskan dalam firman-Nya yang berikut:

“(Al-Qur’an ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya untuk golongan ulul albab memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan beringat dengan mengambil iktibar.” (Surah Sad ayat 29).

Melalui penelitian terhadap kedua-dua ayat al-Qur’an yang dikemukakan ini, ia menggambarkan bahawa pentingnya proses pemerhatian, penelitian, pemahaman dan perenungan untuk menjadi Muslim yang ulul albab. Secara ringkasnya, proses-proses ini diistilahkan sebagai suatu proses pembacaan. Ia meliputi pembacaan terhadap kalamullah (ayat al-qauliyah) sebagai proses asas, diikuti pula dengan pembacaan terhadap keindahan dan keteraturan ciptaan Allah SWT (ayat al-kawniyah). Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan bahawa manusia diseru untuk ‘membaca’ kedua-dua tanda kebesaran Allah SWT ini. Hal ini selari dengan penekanan dalam wahyu yang pertama sekali diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah al-‘Alaq ayat 1-5).

Berasaskan ayat al-Qur’an ini, dapat disimpulkan bahawa kalimah ‘bacalah’ ini tidak terbatas kepada seruan membaca bahan-bahan yang berunsurkan teks sahaja. Namun, perintah Allah SWT itu juga merangkumi perbuatan memerhati fenomena yang berlaku pada segenap penjuru dalam alam ciptaan-Nya. Hal ini sekali gus membawa ‘pembaca’ tadi untuk memahami dan merenungi kejadian-kejadian alam yang berlaku dalam sistem yang harmoni dan dinamik ini.

Pengkajian terhadap fenomena alam ini pula tidak terbatas kepada ilmu-ilmu dalam bidang sains tulen seperti sains dan teknologi, malah ia juga merangkumi fenomena yang berlaku dalam bidang ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan. Dengan pendekatan yang bersepadu inilah, generasi ulul albab dapat dilahirkan serta mereka mampu menguasai isi kandungan al-Qur’an (Qur’anik), mampu memahami fenomena alam semulajadi melalui cabang-cabang ilmu sains (ensiklopedik), di samping sentiasa berfikir dan berusaha menyelesaikan masalah yang melanda umat Islam khususnya, dan masyarakat dunia umumnya (ijtihadik).

0 Comments to "Generasi Ulul Albab Penyelamat Ummah [28 Mac 2014]"

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft