Dua Kejayaan Sebenar Perlu Dicapai [12 Februari 2014]




Mengecapi Kebahagiaan yang Hakiki


Banyak kes pembunuhan diri yang berlaku mutakhir ini berpunca daripada kehilangan rasa bahagia dalam diri pelakunya. Hakikatnya, setiap insan pasti mengharapkan kebahagiaan dalam hidup. Rasa bahagia ini merupakan suatu fitrah insan yang timbul dalam jiwa dan ia berunsurkan kegembiraan rohani. Maka, ia perlu dihubungkan dengan konteks ketaatan kepada Pencipta manusia iaitulah Allah SWT. Dalam Islam, kebahagiaan merupakan manifestasi daripada kejayaan. Malah, terdapat beberapa terminologi yang disebutkan di dalam al-Qur’an untuk menggambarkan kepada manusia mengenai kebahagiaan yang berkait dengan kejayaan seperti an-najah (kejayaan), al-fawz (kemenangan), al-falah (kemakmuran) dan as-sa‘adah (kegembiraan). Secara umumnya, terdapat dua bentuk kejayaan atau kebaikan sepertimana yang sering diminta di dalam doa yang juga firman Allah SWT yang bermaksud:

… ‘Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami daripada azab neraka’.” (Surah al-Baqarah ayat 201)


Dua Bentuk Kejayaan Menurut al-Qur’an

Bentuk pertama adalah kejayaan yang mengambil tempat di dunia yang bersifat sementara ini. Manusia pada hakikatnya tidak menginginkan kehidupannya terumbang-ambing, ditindas, merasai kesakitan dan terancam dengan bala bencana. Allah SWT mengingatkan manusia dalam firman-Nya yang bermaksud:

Katakanlah siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut? Kamu berdoa merayu kepada-Nya dengan merendah diri dan secara bersembunyi: ‘Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami daripada bencana ini nescaya jadilah kami daripada orang-orang yang bersyukur. Katakanlah Allah jualah yang menyelamatkan kamu daripada bencana itu dan daripada segala jenis kesusahan, namun, kamu masih mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Surah al-An‘am ayat 63-64)

Bentuk kedua pula ialah kejayaan yang kekal abadi di akhirat. Kejayaan yang hakiki ini hanya dapat diperolehi dengan tahap keimanan dan ketakwaan yang tinggi kepada Allah SWT. Dalam kata lain, hanya insan yang bertakwa (muttaqin) akan memperoleh kebahagiaan yang sebenar-benarnya iaitu apabila dirinya mendapat pembebasan daripada seksa api neraka. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertakwa dan Kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.” (Surah Maryam ayat 72)

Kebahagiaan di Dunia Menurut al-Farabi

Dalam membincangkan konsep kebahagiaan ini, ahli falsafah Islam, al-Farabi berpendapat bahawa kebahagiaan merupakan kebaikan yang mutlak dan suatu tahap kesempurnaan insan. Kebahagiaan yang tertinggi akan dialami semasa kehidupan di alam akhirat. Namun, ia juga bertitik tolak daripada kejayaan di dunia yang perlu dikecapi melalui empat pendekatan. Pertama, menuntut ilmu dan memahami hakikat ilmu tersebut; kedua, mengamati setiap perkara yang baik dan buruk; ketiga, menjadikan perkara yang baik sebagai akhlak diri; dan keempat, bersungguh-sungguh untuk mengamalkan kebaikan (jihad al-nafs). Justeru, al-Farabi menyarankan agar setiap manusia harus mempunyai guru yang sentiasa menasihati dan memberikan tunjuk ajar kepada mereka untuk memperolehi kejayaan hidup di dunia. Selain itu, beliau menyatakan bahawa kebahagiaan di dunia dapat dirasai apabila seseorang itu melibatkan diri bersama masyarakat. Hal ini kerana, manusia tidak dapat mencapai kebahagiaan tanpa mendampingi individu-individu lain di sekelilingnya.

Kebahagiaan di Akhirat Menurut Imam al-Ghazali

Setelah mengecapi kebahagiaan yang bersifat sementara di dunia ini, menurut Imam al-Ghazali, kebahagiaan yang paling tertinggi adalah keupayaan insan untuk melihat Allah SWT secara terus di dalam syurga. Imam al-Ghazali menyatakan bahawa nikmat tersebut akan menyebabkan manusia lupa tentang kenikmatan lain di dalam syurga kerana melihat Allah SWT merupakan kurniaan yang paling sempurna. Untuk mencapainya, manusia perlu mentaati perintah Allah SWT, sentiasa berbaik sangka dengan-Nya serta memohon keampunan daripada Allah SWT. Hal ini kerana manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan ketika hidup di dunia. Selain itu, menurut Imam al-Ghazali, kebahagiaan di akhirat dapat dicapai apabila seseorang manusia itu mengenal dirinya sendiri, memahami fungsi dan tujuan dirinya diciptakan seterusnya mengenali Penciptanya, Allah SWT (makrifatullah). Sepertimana al-Farabi, Imam al-Ghazali juga menekankan bahawa ilmu pengetahuan merupakan elemen penting untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Oleh itu, manusia perlu melengkapkan diri dengan ilmu mengenal Allah SWT, melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya serta mengamalkan akhlak terpuji agar dikurniakan kebahagiaan yang hakiki di akhirat kelak.

0 Comments to "Dua Kejayaan Sebenar Perlu Dicapai [12 Februari 2014]"

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft