Aspek Akidah dalam Novel 'Tulis Cinta dalam Hati'


Oleh: Mohd Syahmir bin Alias (Tugasan Aqidah Islamiyyah - Konsep dan Penghayatan)


Bingkisan Sinopsis Novel
 
Novel ini menceritakan mengenai diari hidup seorang gadis yang berusia 19 tahun bernama Umairah atau Mai. Sejak usia kanak-kanak lagi, dia dipelihara oleh umi dan abah, iaitu ibu dan bapa angkatnya. Hal ini kerana abah, abang kepada ibu kandung Mai memujuk agar dia dipelihara oleh abah dan umi kerana mereka tidak mempunyai cahaya mata. Kehidupan Mai pada awal usianya adalah sangat membahagiakan dirinya namun segalanya musnah kerana kedua ibu dan bapa angkatnya terpaksa membawa haluan masing-masing. Dia kemudiannya diserahkan semula kepada ibu bapa kandungnya. Namun, Umairah tidak dapat menyesuaikan diri di rumah emak dan ayah kerana adik-beradiknya yang ramai dan perasaan yang menghantui dirinya bahawa mereka tidak menyayanginya.

Justeru, setelah tamat pengajian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Umairah mengambil langkah untuk berhijrah ke Pulau Pinang dan bekerja di kilang bersama sepupunya, Madihah. Sikap Mai yang kurang ramah dan kisah-kisah yang lampau menyebabkan dia menjadi seorang yang membenci kepada kalimah serta perasaan cinta dan kasih sayang. Tambahan, semasa bekerja di kilang, dia sering diganggu oleh seorang lelaki bernama Azmi. Dia bertekad mahu berhijrah dari tempat kerja lamanya ke suatu tempat yang jauh dengan kerjaya yang berbeza. Mujur, sewaktu berusia 13 tahun, umi dan abahnya pernah menunaikan umrah di Mekah. Di sana, mereka berkenalan dengan Mak Tok dan Mak Cik Fida yang sangat peramah dan mesra. Lalu, Mai cuba menghubungi mereka anak-beranak bagi merapatkan semula sillaturrahim yang telah terputus.
Oleh yang demikian, Mak Cik Fida menawarkan Umairah untuk bekerja di butiknya dan tinggal di rumahnya bersama Mak Tok yang kemudiannya menjadi nenek angkat Umairah. Mak Toklah yang banyak memberi suntikan motivasi kepada Mai sepanjang keberadaannya di sisi Mak Tok. Di tempat kerja baru, Mai berkenalan dengan Ratna, rakan sekerjanya yang mencemburui dirinya kerana dia merasa kedudukannya sebagai pekerja tunggal Mak Cik Fida terancam. Sehingga suatu hari, Heri (teman lelaki Ratna) mengasarinya kerana tidak memberi wang dan Ratna diselamatkan oleh Umairah. Dengan yang demikian, hubungan mereka menjadi lebih akrab sehinggalah watak Azmi muncul semula dan mengganggu Umairah di tempat kerja barunya. Kerana ingin melarikan diri daripada gangguan Azmi, Umairah kemalangan dalam sebuah insiden di jalan raya sewaktu hari hujan.

Semasa di hospital, Umairah mula tersedar dan merasakan dirinya disayangi oleh emak dan ayah. Hal ini kerana dia terdengar perbualan mereka sewaktu bersembang dengan Mak Tok. Ketika itu Mai masih dalam keadaan koma. Umi dan abah juga pasangan masing-masing turut hadir menziarahi Mai di hospital. Setelah mulai sembuh, dia dihantar pulang ke rumah emak dan ayahnya. Di saat itu, Mai baru dapat menerima hakikat kasih sayang keluarga itu tidak dapat diputuskan biarpun bagaimana sifat dan tingkah laku ahli keluarganya. Mai banyak terkesan dengan suntikan rohani yang Mak Tok berikan sepanjang berada di rumah Mak Cik Fida.

Aspek-Aspek Akidah yang Diselitkan dalam Novel

1.      Konsep Ihsan dan Implementasi dalam Kehidupan
Dalam novel ini, penulis ada menyentuh mengenai konsep ihsan yang dibawa melalui watak Umairah. Dalam sebuah dialog:

“Bos memang tidak nampak, tetapi Allah nampak!”

Rasulullah s.a.w bersabda di dalam sebuah hadis iaitu hadis kedua daripada 40 hadis himpunan Imam An-Nawawi:


“Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata: Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Nabi SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: …Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ihsan. Baginda bersabda: Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya Dia melihatmu…” (Hadis riwayat Muslim)

Oleh yang demikian, hadis di atas memberi input mengenai keberkesanan pelaksanaan ihsan dilakukan dengan dua kaedah iaitu, pertama apabila beribadah kepada Allah seolah-olah kita melihat-Nya dan kedua jika kita tidak melihat-Nya maka anggaplah Allah sentiasa memerhatikan gerak-geri kita sebagai hamba-Nya. Hubungan konsep ihsan dengan akidah Islamiyyah sangat berkait rapat. Sekiranya seseorang itu tidak mempunyai keimanan yang tersimpul kuat di jiwanya kepada Allah, mana mungkin dia boleh merasakan Allah memerhatikannya dalam melakukan setiap perbuatannya.

Novel Salina Ibrahim ini juga jelas menjuruskan konsep ihsan ini dalam melakukan pekerjaan harian yang merupakan fardhu kifayah dan juga ibadah umumi bagi seorang muslim. Justeru, dalam ruang lingkup yang sama, Syed Abu Al-A’la Maududi dalam risalahnya ‘Guidelines For Islamic Workers’ telah memberi panduan berhubung membudayakan ihsan dalam pengurusan organisasi iaitu:
·    Sentiasa menghubungkan pekerjaan dengan beribadah kepada Allah supaya pekerjaan yang dilakukan tidak termasuk dalam hukum haram.
·         Berbuat kebaikan agar mendapat balasan yang setimpal pada hari Akhirat.
·    Mengelakkan daripada bersifat takbur serta tidak memperlekeh pekerja-pekerja lain apabila berjaya melaksanakan pekerjaan dengan cemerlang.
·  Mengambil berat kebajikan keluarga sendiri dan rakan sejawat kerana ia menjadi asas keharmonian dalam sesebuah organisasi.
·         Saling bekerjasama dalam melakukan kebaikan.
·   Memberi kritikan yang membina kepada pekerja dalam sesebuah organisasi bagi mengatasi kelemahan mereka.
·         Patuh dan berdisiplin mengikut standard yang ditetapkan dalam organisasi.

Setelah diteliti daripada novel Tulis Cinta dalam Hati, perkara-perkara yang disentuh oleh Abu Al-A’la Maududi ini banyak berkaitan dengan plot cerita novel ini lebih-lebih lagi ketika watak utamanya, Umairah mengharungi alam pekerjaan yang mencabar serta dia didorong oleh Mak Cik Fida, majikan yang banyak memberi suntikan motivasi dan berjiwa besar. Dengan itu, pemahaman terhadap konsep ihsan yang sebenar dan dihayati serta diamalkan dalam seseorang individu Muslim dan sudah pastinya mendapat ganjaran daripada Allah dan juga organisasi yang diceburinya. Kesimpulannya, sekiranya iman atau aqidah itu umpama akar, Islam umpama pokok maka ihsan pula umpama buah yang baik yang dijadikan kerana ketakwaan kepada Allah.

2.      Konsep Takdir dan Keimanan kepada Qada dan Qadar
Selain itu, dalam novel ini, Salina Ibrahim turut mengetengahkan mengenai aspek penenerima hakikat kehidupan atau takdir hidup yang telah ditentukan oleh Allah. Hal ini dipertontonkan melalui watak Mak Tok yang berpesan kepada Umairah:
“Kita tidak boleh pilih adik-beradik. Mereka didatangkan kepada kita oleh Allah. Kita perlu terima mereka seadanya, terima baik dan buruk mereka”

Konsep takdir ini terdapat dalam salah satu rukun iman iaitu ‘percaya kepada qada dan qadar’ menurut sudut pandang Ahli Sunnah wal Jamaah. Dengan yang demikian, setiap mukmin seharusnya memahami konsep takdir serta rukun iman yang keenam kerana ia merupakan perkara asas yang harus diyakini oleh setiap orang yang ingin memelihara akidah yang benar lagi murni. Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan). (Surah Al-Qamar, 54: 49)

Secara dasarnya, takdir dapat dibahagikan kepada tiga jenis iaitu takdir ghaibi, takdir kauni dan takdir syar’i. Justeru, dalam frasa daripada novel di atas, penulis telah berbicara mengenai jenis takdir ghaibi iaitu setiap perkara yang Allah kehendaki terhadap manusia. Ia bersifat rahsia dan akan diketahui setelah terjadinya takdir tersebut. Misalnya, iradah Allah berkenaan jantina, tempat dan tarikh lahir, ibu bapa yang melahirkan dan adik-beradik yang dilahirkan bersama, masa dan tempat kematian. Manusia tidak dapat membuat pilihan terhadap perkara-perkara tersebut sebaliknya Allahlah yang telah menetapkan segala yang sesuatu itu kepada manusia.

Dalam perbincangan yang lain, takdir dibahagikan kepada dua bahagian iatu, qada mubram (takdir yang pasti) dan qada mu’allaq (takdir yang tergantung). Sekiranya dihubungkan dengan konteks perbincangan novel, hal ini bererti Salina Ibrahim telah menyelitkan elemen qada mubram iaitu perlaksanaan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah dan tidak akan berubah. Adik-beradik yang lahir daripada rahim ibu yang sama merupakan suatu takdir yang tidak dapat diubah. Setiap yang berlaku dalam sepanjang kehidupan manusia pasti telah ditetapkan hikmah kebijaksanaan Allah dan Dia sudah pasti tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya. Mafhum firman Allah:
“KeputusanKu itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hambaKu.” (Surah Qaf, 50: 29)

Sungguhpun pada awal penceritaan novel, Umairah kelihatan berat untuk menerima sifat dan peribadi adik-beradiknya, namun, setelah berlaku tragedi kemalangan ke atas dirinya, dia mula menyedari bahawa adik-beradiknya juga menyayangi dirinya. Di akhir plot cerita ini, usaha Umairah untuk memahami jiwa saudara seibu sebapanya telah menunjukkan hasil yang positif dan mula menerima peribadi mereka masing-masing.

Aliran ahli Sunnah wal Jamaah percaya bahawa manusia tidak hanya perlu menyerah semata-mata kepada Allah s.w.t tanpa berbuat apa-apa kerana usaha adalah termasuk dalam takdir Allah s.w.t iaitu Allah telah menetapkan dalam alam ini setiap yang berlaku ada asbabnya, maka atas wujudnya asbabnyalah manusia perlu berusaha. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Tidaklah ada seorang daripada kamu melainkan telah ditetapkan baginya tempat sama ada di syurga atau neraka”. Sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, tidak bolehkah jika demikian kami bertawakkal sahaja?’ Jawab baginda: ‘Berusahalah kerana setiap kamu dimudahkan baginya (berdasar apa yang ditetapkan padanya)...” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3.      Konsep Tawakal dan Bersyukur kepada Allah
Tawakal bereti melakukan sesuatu sebaik-baiknya dan kemudian menyerahkan hasilnya kepada Allah. Disebabkan novel ini banyak menceritakan pengalaman bekerja Umairah di Butik Gaya Kita dan kilang, maka watak utamanya meyakini rezeki itu adalah kurniaan Allah atau dalam erti kata lain konsep bertawakal kepada Allah sangat ditekankan oleh Salina Ibrahim. Misalannya, dalam sebuah perenggan di dalam novel:

‘Alhamdulillah, pelanggan tidak putus sepanjang hari… Sekiranya pada awal pagi ada pelanggan masuk dan membeli, selepas itu tidak putus-putus pula pelanggan masuk dan masuk terus’

Sekiranya manusia menanggapi rezeki itu hanya atas daya usahanya sendiri dan mengenepikan ketetapan Allah yang memberikan rezeki, perkara ini merupakan sesuatu yang boleh merosakkan akidah. Hal ini kerana, tawakal kepada Allah merupakan salah satu ciri iman selain mematuhi perintah-Nya. Firman Allah yang bermaksud:

“… dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)…” (Surah At-Thalaq, 65: 2 – 3)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Dari Umar bin Khattab, Rasulullah s.a.w  bersabda, “Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan tawakal yang bersungguh-sungguh, maka Allah akan memberikan rezeki kepadamu seperti Allah memberikan rezeki kepada burung, pergi pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang.” (Riwayat Tirmidzi)

Berdasarkan analisis di dalam novel ini, dapat dilihat bagaimana kesungguhan Umairah dan rakan sejawatnya Ratna mempromosi serta meyakinkan pelanggan yang datang ke butik untuk melihat pakaian. Hal ini menunjukkan kesungguhan mereka berusaha untuk meyakinkan pelanggan. Seterusnya, mereka hanya bertawakal untuk melepaskan pelanggan mereka untuk membeli atau tidak produk mereka. Demikianlah konsep tawakal yang betul di sisi Islam iaitu berusaha dengan anggota badan untuk meraih sunatullah yang telah ditakdirkan, sedangkan tawakal dengan hati merupakan keimanan kepada Allah s.w.t.

Selain itu, bersyukur adalah satu kewajipan, bermaksud, setiap hamba mestilah bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang telah diberikan. Manusia juga mesti bersyukur dan berterima kasih sesama manusia atas kebaikan dan jasa mereka. Justeru, bertawakal dan bersyukur tidak dapat dipisahkan. Walaupun hasil setelah kita berusaha melakukan sesuatu itu tidak mencapai apa yang diinginkan, manusia perlu bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan. Muslim yang mempunyai akidah yang mantap tentu tidak akan merungut kerana dia yakin dengan setiap apa yang berlaku, pasti mempunyai hikmah kebaikan yang tersembunyi.

Kesimpulan daripada Aspek Akidah dalam Novel


Sebagai konklusinya, keteguhan akidah seseorang individu muslim itu diukur ketika saat dirinya ditimpa musibah bukan pada saat kemenangan atau kejayaan. Kesusahan dalam bekerja itu merupakan lumrah dalam kehidupan. Mengharungi penderitaan belum tentu membuat ketahanan akidah kita berada di tahap yang selamat. Akidah atau tauhid adalah sesuatu yang paling berharga kepada umat Islam. Nabi Muhammad s.a.w. diutus untuk membawa manusia kepada akidah yang murni. Pastinya benih tanaman akidah yang suci dan bersih ini dapat melahirkan bunga-bunga perpaduan dan kasih sayang, keikhlasan dan ketakwaan serta pengorbanan. Novel Tulis Cinta dalam Hati ini sememangnya meletakkan watak utamanya dan beberapa watak sampingan sebagai orang yang memelihara akidahnya. Insan-insan ini jugalah yang berjaya melahirkan keharmonian dalam keluarga dan masyarakat.

0 Comments to "Aspek Akidah dalam Novel 'Tulis Cinta dalam Hati'"

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft