Isu-Isu Epistemologi Menurut Perspektif Islam



Suntingan Semula: Epistemologi Menurut Perspektif Islam – Beberapa Isu Pilihan untuk Diskusi
Oleh: Prof  Osman Bakar


Mana-mana epistemologi – teori ilmu – semestinya berkemampuan menghubungkaitkan dengan jelas antara dua perkara, iaitu objek yang diketahui dan subjek yang mengetahui. Perkara yang membezakan sesuatu epistemologi dengan epistemologi yang lain adalah tanggapan terhadap ruang lingkup realiti objek dan ruang lingkup realiti subjek yang dapat diterima sebagai meyakinkan. Aliran utama epistemologi moden umpamanya yang sebenarnya merupakan ciptaan pemikiran Barat didapati berbeza dengan epistemologi Islam pada umumnya dari segi tanggapan terhadap kedua dua ruang lingkup ini. Di Barat terdapat sebilangan ilmuwan dan pemikir yang berpegang pada epistemologi yang hampir serupa dengan epistemologi Islam. Tetapi mereka ini merupakan golongan minoriti.

Akal bukan terletak dalam otak
Adalah jelas bahawa konsep realiti sangat mempengaruhi epistemologi. Bagi majoriti ilmuwan dan pemikir dalam peradaban Barat moden, perkara yang diakui sebagai realiti adalah terbatas kepada apa yang dapat disaksikan oleh pancaindera atau yang dapat disahkan oleh kaedah empirikal. Perkara yang tidak dapat dibuktikan dengan menggunakan kaedah ini disangsikan kewujudannya atau pun ditolak sarna sekali. Kaedah saintifik dijadikan penentu tunggal kewujudan sesuatu. Isunya, konsep pembuktian kebenaran terbatas kepada penggunasuaian kaedah saintifik tetapi makna dan pengertian saintifik itu sendiri disempitkan kepada pengetahuan empirikal. Tegasnya, ruang lingkup realiti objek menurut aliran pemikiran ini adalah terbatas kepada alam fizikal.

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft