Konsep Kebahagiaan dari Perspektif Al-Ghazali

Ilustrasi wajah Imam Al-Ghazali
Oleh: Mohd Syahmir bin Alias (Tugasan Pendidikan Nilai Murni dari Perspektif Islam)

KEBAHAGIAAN DAN PERSONALITI INSANI
            Al-Ghazali merupakan seorang ulama dan pemikir Islam yang banyak daripada hasil karyanya mengkaji tentang masalah manusia. Karyanya yang menyelami psikologi manusia dari sudut pandang Islam banyak mengulas mengenai pembinaan personaliti melalui pendekatan kerohanian yang berbeza sekali dengan teori dan kajian pemikir-pemikir Barat yang lebih menekan aspek keperibadian fizikal manusia sahaja.
Kebahagiaan adalah kunci utama konsep keperibadian yang cuba diterapkan oleh Al-Ghazali bila mana ia adalah sesuatu yang dicari di dalam dunia ini dan mungkin akan diperoleh pada hari kemudian dengan keimanan dan ketaatannya kepada Allah s.w.t. Tetapi, kebahagiaan yang sempurna hanyalah diberikan apabila tiba hari akhirat kepada roh yang sedar. Kesedaran di sini bertitik tolak kepada roh yang turut disertakan bersama nafsu, akal dan hati ketika berada di dunia, berjaya mengenal Allah dan mengabdikan diri kepada-Nya yakni kembali kepada fitrah penciptaan manusia. Oleh itu, keseimbangan dalam personaliti seseorang individu akan mendorong perasaan gembira yang dialami sebagai punca daripada keadaan dirinya sendiri dan bukan daripada perkara yang di luar jangkaannya. Maka, adalah perlu untuk manusia mengejar kebahagiaan menurut pandangan Al-Ghazali.

PEMBAHAGIAAN KONSEP KEBAHAGIAAN
            Imam Al-Ghazali membahagikan konsep kebahagiaan daripada Al-Quran kepada dua aspek. Konsep kebahagiaannya mengandungi aspek positif dan aspek negatif. Aspek negatif berhubung dengan kepuasan di dunia. Kepuasan yang timbul ini kerana manusia turut didorong oleh nafsu dan bisikan syaitan yang sentiasa akan menyesatkan manusia.
Pada pandangan Al-Ghazali, dunia hanyalah sebuah tempat yang dilalui oleh pengunjung dalam laluan perjalanan mereka ke ‘negeri akhirat’. Tetapi manusia kadang-kadang terlupa akan tujuannya di dunia ini dan mudah tertipu dengan godaan dunia yakni mereka hanya mencari kenikmatan dan keseronokan duniawi yang ditawarkan. Dalam hal ini, jiwa akan terus berada dalam kehinaan selepas kematian dan merana kesakitan sekiranya rasa cinta yang melampau kepada hal-hal keduniaan
Sungguhpun Al-Ghazali banyak menekankan kebahagiaan akhirat, namun hal ini bukan bererti beliau menolak adanya kesenangan di dunia. Beliau memberikan contoh, misalnya ilmu pengetahuan dan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat kepada manusia itu sendiri seperti kegembiraan dalam perkahwinan, makanan dan pakaian. Perkara-perkara ini semua mesti pada akhirnya menambahkan keimanan kita kepada Allah s.w.t agar kita terselamat daripada seksaannya. Tambahan pula, kebahagiaan dunia ini hanya bersifat majazi manakala kegembiraan akhirat bersifat hakiki.
            Dari sisi yang lain, keselamatan atau kecelakaan yang bakal diterima oleh roh kita bermula apabila seseorang meninggal dunia. Manusia terdiri daripada jasad dan juga roh sedangkan kematian akan memisahkan roh daripada jasad, menyebabkan jasad hilang kemampuannya. Menurut Al-Ghazali, jiwa ataupun roh manusia itu tadi adalah hakikat yang sebenar-benarnya dan kekal abadi. Roh jugalah yang sebenarnya bermain dengan persepsi di sebuah alam sains kepunyaan Allah s.w.t ini dan ia turut merasakan segala keperitan dan kenikmatan dalam setiap jam kehidupan kita.
            Kematiaan seseorang individu akan membongkarkan segala perkara yang tidak pernah diungkapkan semasa hayatnya. Segala kejahatan mahupun kebaikan akan masing-masing mengancam ataupun memberi manfaat kepada dirinya sendiri. Dosa-dosa yang dilakukannya akan menyebabkan dirinya tertanggung rasa kecewa kerana jalan untuk kembali kepada Allah telah tertutup pintunya. Seksaan ataupun ganjaran bermula di alam kubur, kemudiannya kebangkitan semula dan perhitungan amalan di hadapan Allah s.w.t serta berakhir sama ada dia dimasukkan ke dalam syurga ataupun dicampakkan ke dalam api neraka.
KEBAHAGIAAN TERTINGGI
Penting untuk kita fahami bahawa kehidupan di alam akhirat adalah jauh sekali berbeza dengan kehidupan di alam dunia ini. Manusia tidak akan lagi bertanggungjawab ke atas segala perbuatannya, bermaksud tiada lagi kejahatan dan kebaikan. Perkara yang akan mereka hadapi adalah sebagai akibat daripada tindakan yang dilakukannya semasa jangka hayatnya di dunia yang sementara, sama ada kegembiraan yang abadi atau kesedihan yang akan terus menyakiti.
            Al-Ghazali turut menekankan tentang kegembiraan yang paling tertinggi pada waktu itu adalah keupayaan kita melihat Allah s.w.t yang Khaliq yakni manusia dapat mengenali Allah s.w.t secara terus. Hal ini akan menyebabkan manusia lupa tentang kenikmatan lain di dalam syurga kerana ia merupakan kurniaan yang tertinggi. Selain daripada kita mentaati perintah Allah sebagai keperluan yang sangat penting, Al-Ghazali juga mengakui bahawa keampuanan, rahmat dan kasih sayang Allah akan dilimpahkan kepada setiap insan walau apapun perbuatan silamnya. Perkara inilah yang disebut sebagai sikap optimis atau berbaik sangka yang diterapkan oleh Nabi Muhammad s.a.w kepada setiap individu Muslim untuk berpegang kepadanya. Manusia perlu sentiasa memohaon keampunan daripada Allah s.w.t kerana manusia tidak dapat lari daripada kesilapan kerana kita adalah serba kekurangan. Allah sudah pastinya akan mengampuni hamba-hamba yang diciptakan-Nya.
            Pandangan positif yang wujud ini, hasil daripada kesedaran kita bahawa dunia yang fana ini perlu dilalui untuk menemui kebahagiaan di sana. Jelas sekali, menurut Al-Ghazali, kegembiraan dapat dicapai apabila seseorang manusia itu mengenali dirinya sendiri, fungsi dan tujuan dia diciptakan, selain dia mengenal Tuhan yang menciptakannya (makrifatullah), tahu mengenai dunia ini dan akhirat yang bakal dihuni kelak. Di sini Al-Ghazali menekankan bahawa peri pentingnya ilmu pengetahuan untuk mencapai kebahagiaan terutama sekali dari sudut pandang Islam.
Rencana ini berdasarkan analisa buku di atas
KESIMPULAN
            Dapatlah disimpulkan bahawa konsep kebahagiaan yang dikemukakan oleh Imam Al-Ghazali adalah berlandaskan dalil-dalil naqli daripada Al-Quran. Hal ini kerana, apa yang cuba disampaikan oleh beliau bertepatan dengan konsep yang diambil daripada Al-Quran. Selain itu, manusia dijadikan daripada jasad dan jiwa, yang menentukan segala tindak-tanduk jasad adalah jiwanya.
Berbeza sekali dengan idea sarjana Barat yang tidak menekankan aspek kerohanian dalam memahami personaliti manusia dan konsep kebahagiaan yang abadi. Malahan, mencapai kebahagiaan di akhirat merupakan tujuan sebenar hidup manusia. Manusia akan merasakan kebahagiaan yang hakiki di alam akhirat berbeza dengan kebahagiaan di dunia yang bersifat sementara. Pelbagai nikmat tersedia di dalam syurga yang diciptakan khas bagi mereka yang mentaati Allah s.w.t dan sentiasa mensucikan jiwanya, yang puncaknya adalah melihat dan bertemu dengan Allah s.w.t. Sebagai analoginya, apabila seseorang rakyat biasa yang bertemu dengan pemimpin yang dikaguminya pasti akan wujud rasa gembira dalam hatinya. Begitu juga bagi insan yang dapat bertemu dengan Penciptanya, maka kebahagiaan itu pasti akan dihargai dengan sepenuh hatinya.
Sememangnya Al-Quran dan Imam Al-Ghazali sendiri banyak menyentuh tentang kegembiraan di alam akhirat. Tetapi, harus diingatkan agar kita tidak tersasar daripada landasan yang benar kerana manusia sentiasa didorong oleh nafsu dan hasutan syaitan yang menyesatkan. Oleh itu, manusia tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan dan demi mengharapkan redha Allah dan keampunannya, maka perlu untuk setiap Muslim melakukan proses tazkiyat an-nafs secara konsisten. Dengan sentiasa mentarbiyah diri dengan tarbiyyah ruhiyyah yang mapan, perkara ini akan menyelamatkan kita daripada seksaan neraka. Kebahagiaan merupakan suatu keadaan yang wujud dalam hati nurani yang sentiasa yakin dengan Allah serta mereka menunjukkan akhlak sesuai dengan apa yang diyakini oleh hati mereka.
Justeru, dalam pembinaan spiritual, pentingnya keimanan kepada Allah dan makrifatullah. Hal ini akan terpancar pada jasmani yakni ia juga turut membina sebuah personaliti yang sentiasa merasa bahagia di dunia dan akhirat.

1 Comment to "Konsep Kebahagiaan dari Perspektif Al-Ghazali"

  1. Tanpa Nama

    Bagus sekali penulisan nya. teruskan menulis untuk Ummah

Catat Ulasan

© Hakcipta Terpelihara MINDA SARJANA | Direkabentuk oleh: Mohd Syahmir | Converted into Blogger Templates by Theme Craft